KADANGKALA bencana seperti banjir dan tanah runtuh memang di luar jangkaan. Namun, apa yang penting adalah kesediaan kita untuk turun padang dan memberi sumbangan kepada mangsa terlibat.
Ketika inilah perlu ada badan sukarelawan di lapangan bagi membantu mangsa. Ini sebenarnya kerja kebajikan yang boleh dijayakan dengan penuh semangat dan tanggungjawab.
Memang seronok dan puas hati seandainya kita dapat membantu masyarakat yang perlukan bantuan dan pertolongan. Dengan kata mudah, membantu orang lain ketika mereka memerlukan bermakna kita melakukan kerja kebajikan.
Bukankah kita sepatutnya berebut-rebut membuat kebajikan kerana itu adalah amalan mulia? Semua agama menggariskannya begitu.
Hari ini, aktiviti kesukarelaan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Ramai yang sanggup tampil menghulurkan bantuan tatkala melihat kesusahan serta kesengsaraan hidup dilalui orang lain.
Mereka sebenarnya mempunyai jiwa yang murni dan mulia apabila melakukan tugas sukarelawan. Hakikatnya, kegiatan seumpama itu rela dilakukan walaupun disedari yang mereka sebenarnya tidak mendapat apa-apa bayaran, mahupun sebarang pengiktirafan.
Sukarelawan dan kebajikan adalah dua perkara berkait rapat, sepertimana hubungan individu dengan masyarakat. Ini kerana manusia itu sendiri berada dalam masyarakat di sekeliling mereka, mengambil bahagian serta melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.
Kerja-kerja berasaskan kebajikan biasanya lebih berkesan jika dilakukan secara berkumpulan kerana mereka boleh mengumpulkan tenaga yang ramai untuk menyumbang. Namun, tidak dinafikan ada juga yang bergerak dalam satu kumpulan kecil tetapi aktif.
Mereka yang menjadi sukarelawan secara tidak langsung akan bersyukur dengan apa dimiliki dan sentiasa mendidik diri untuk lebih bersabar apabila menghadapi sebarang kesulitan mahupun kesusahan dalam hidup.
Biasanya seorang sukarelawan akan tetap bersemangat melakukan tugasnya walaupun menuntut pengorbanan yang tinggi dari segi tenaga dan masa selain terdedah kepada bahaya dan risiko penyakit. Itulah kelebihan yang ada pada mereka.
Antara program kebajikan yang biasa dilaksanakan ialah ziarah kasih dengan pemberian bantuan baik dari segi kewangan mahupun tenaga. Ia disusuli cadangan kepada penyelesaian masalah bagi golongan memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, warga emas, orang sakit, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) bertujuan meringankan beban dipikul, mengatasi masalah dan melancarkan urusan yang belum selesai.
Sukarelawan juga boleh memikirkan cara dan kaedah untuk menyumbang bantuan segera kepada mangsa bencana alam seperti banjir dan kebakaran.
Banjir di Shah Alam dan Dengkil di Selangor serta di Raub, Lipis, Bentong dan Jerantut di Pahang baru-baru ini adalah contoh terbaik bagi melambai-lambai pasukan sukarelawan untuk membantu mereka yang terlibat.
Sebenarnya, dorongan utama yang merangsang masyarakat kita melaksanakan kerja amal dan kebajikan kerana atas kepercayaan dan sokongan padu rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat keprihatinannya.
PEMURAH
Rakyat Malaysia memang bersifat pemurah dan baik hati. Mereka sentiasa memberi sumbangan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Bantuan melibatkan nyawa dan nilai kemanusiaan tetap diberi keutamaan, termasuk sokongan kewangan untuk disumbang kepada mereka yang memerlukan.
Biasanya apabila berlaku kejadian di luar jangka, bantuan segera akan dihulurkan oleh pasukan sukarelawan. Ketika itu, lebih ramai masyarakat menghulurkan bantuan kebajikan kepada mangsa terlibat demi mengekalkan suasana hidup sejahtera dan harmoni.
Orang yang sentiasa mendambakan diri dengan kerja-kerja amal tentunya akan merasai kepuasan tidak terhingga apabila tenaga mereka dimanfaatkan.
Kepuasan yang sukar diluahkan dengan kata-kata tetapi bersemarak dalam jiwa dan perasaan untuk mereka terus membantu tanpa merungut kepenatan dan keletihan.
Ada juga individu yang bermurah hati menyumbang makanan kepada mereka yang memerlukan terutama golongan gelandangan. Aktiviti sedemikian dilihat begitu sebati dengan budaya rakyat Malaysia. Mereka sentiasa bermurah hati dan berlapang dada berbuat sedemikian.
Ada penyumbang yang menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja kebajikan bukanlah dalam kalangan yang berada dan ternama. Namun, mereka ini suka membantu dan berkongsi rezeki. Amalan yang begitu mulia dan amat dihargai.
Sesetengah individu dan badan sukarelawan ini mengisi masa mereka untuk terus membantu golongan memerlukan. Mereka sebenarnya tidak boleh berdiam diri dan sentiasa menghulurkan bantuan.
Menjadi petugas untuk menguruskan kebajikan dan membantu kerja-kerja sosial ini merupakan suatu yang paling bermakna dalam hidup mereka. Ada individu yang berharap untuk kekal istiqamah sehingga akhir hayat mereka.
Terdapat juga kumpulan kecil yang melakukan kerja amal secara peribadi bersama kenalan rapatnya mengutip sampah di pantai, membersihkan rumah golongan miskin, bantuan pek makanan untuk rumah kebajikan anak-anak yatim dan orang tua.
Kerja sebagai sukarelawan ini merupakan satu kepuasan diri apabila mereka mampu membuatkan orang lain tersenyum dan gembira. Kepuasan diri yang d27imaksudkan adalah perasaan lega dan bangga kerana dapat membantu orang lain.
Apa yang penting, pengalaman sebagai sukarelawan begitu bermakna dalam kehidupan. Melihat mangsa menempuhi kesusahan dan kesengsaraan, ia turut mengingatkan kita kepada realiti kehidupan yang perlu dihadapi dan dicari jalan penyelesaiannya.
DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.










