Bijak pandai tontonlah Upin & Ipin - Utusan Malaysia

Bijak pandai tontonlah Upin & Ipin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini saya menerima mesej WhatsApp daripada seorang sahabat yang mengulas laporan Utusan Malaysia pada 27 November lalu mengenai kisah Bigfoot yang menggemparkan negara kira-kira 20 tahun lalu.

Dia meluahkan kehairanan kerana misteri itu masih tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang sedangkan terdapat ramai bijak pandai dan pelbagai teknologi yang telah tersedia seperti kamera automatik yang diguna Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang berjaya menangkap gambar pelbagai jenis haiwan.

Laporan akhbar ini adalah berdasarkan temu bual dengan penduduk Kampung Mawai, Kota Tinggi, kira-kira 56 kilometer dari bandar raya Johor Bahru yang masih menganggap makhluk terbabit wujud.

Sebelum ini, pada 2005 sekumpulan pekerja mendakwa terserempak dengan satu keluarga Bigfoot di kampung itu.

Makhluk seakan-akan manusia tetapi setinggi hampir empat meter dan badan dipenuhi bulu perang dan hitam. Terdapat juga kesan tapak kaki bersaiz besar ditinggalkan makhluk terbabit.

Sekitar awal 2006, kisah sama disiarkan akhbar-akhbar tempatan berdasarkan laporan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dengan pantas mencetuskan fenomena menggemparkan, bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Pelbagai nama diberikan kepada makhluk ini seperti Orang Lenggor dan Orang Mawas manakala di peringkat antarabangsa digelar Yeti dan Sasquatch.

Bigfoot juga digambarkan bermata merah, memiliki gigi besar dan makan pucuk kayu, durian serta ikan. Makhluk misteri itu juga didakwa hidup dalam kumpulan dan sering berpindah-randah untuk bersembunyi daripada dilihat manusia.

Satu hakikat yang harus diakui, walaupun sepasukan saintis dan pakar tempatan ditugaskan kerajaan Johor pada 2006 bagi menjalankan ekspedisi mengesan Bigfoot, sehingga kini ia masih kekal misteri kerana tiada makhluk aneh itu ditemui.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman baru-baru ini turut menjelaskan, pada 2010 pihaknya sendiri pernah melakukan ekspedisi untuk mengesan makhluk itu di Hutan Simpan Panti berdekatan Kampung Mawai, namun gagal menjumpai apa-apa petunjuk.

Membincangkan isu ini, saya ingin menyentuh dua filem yang menampilkan makhluk berkenaan sebagai antara watak utama.

Filem keluaran 2009 bertajuk Geng: Pengembaraan Bermula. Skrip ditulis oleh Muhamad Anas Abdul Aziz mengisahkan kanak-kanak kembar, Upin dan Ipin terserempak dengan anak Bigfoot yang dikenali dengan nama Oopet bersama ibunya.

Digambarkan makhluk terbabit tinggal di alam lain yang penuh berwarna-warni. Ketika mengejar serangga yang serupa kupu-kupu, Oopet melalui gerbang ke dunia kita secara tidak sengaja.

Satu lagi filem adalah Abominable pada 2019 mengenai tiga remaja membantu seekor Yeti melarikan diri dari menjadi bahan uji kaji sebuah makmal di China dan kembali ke tempat asal di Gunung Everest.

Mereka berjaya setelah makhluk itu menggunakan pelbagai kuasa ajaib untuk mengelak ditangkap.

HARAM

Filem Geng: Pengembaraan Bermula boleh ditonton tetapi tidak Abominable disebabkan telah diharamkan di Malaysia, Filipina dan Vietnam kerana ada babak memaparkan peta bergaris sembilan mengenai tuntutan negara komunis itu di Laut China Selatan dengan dua garisan secara jelas menceroboh perairan Sabah dan Sarawak.

Kedua-kedua filem itu, sama ada secara sengaja atau tidak memberi petunjuk yang boleh digunakan bijak pandai yang berminat menyelesaikan misteri kewujudan Bigfoot.

Menurut pemenang Hadiah Nobel bagi bidang perubatan pada 1981, Dr. Roger W. Sperry, otak manusia mempunyai dua bahagian iaitu kanan dan kiri yang perlu digunakan sepenuhnya.

Kita boleh mendapat petunjuk dari otak kanan yang selalunya disampaikan melalui filem dan muzik. Kita tidak boleh hanya bersandarkan kepada otak kiri yang lebih kepada aktiviti analisis dan kajian saintifik semata-mata bagi menyelesaikan masalah.

Dalam pada itu, pelbagai pendapat dikemukakan berhubung kewujudan makhluk misteri terbabit termasuk teori menyatakan ia mungkin sejenis monyet gergasi prasejarah yang terselamat daripada pupus dan menyembunyikan diri.

Bagaimanapun, saya tertarik dengan Multidimensional Bigfoot Theory yang menyatakan ia ialah makhluk yang dapat bergerak dari satu alam ke satu alam lain.

Ini selari dengan cerita Orang Asli di Johor yang menggelar makhluk itu sebagai Hantu Jarang Gigi yang menunjukkan komuniti berkenaan tahu bahawa ia sama seperti hantu yang berasal dari alam dimensi lain.

Ini kerana berdasarkan kajian penyelidik, makhluk itu tiba-tiba muncul dan hilang tidak seperti haiwan lain.

Jejak tapak kaki yang ditinggalkan hanya bersifat setempat tanpa jejak lain yang menunjukkan dari mana ia datang dan ke mana ia pergi. Terdapat juga laporan Bigfoot melangkah di belakang pokok dan kemudian hilang.

Teori ini disokong ahli sains sosial dan pakar antropologi dari Amerika Syarikat, Jack A. Lapseritis yang mengkaji Bigfoot sejak 58 tahun lalu.

Beliau yang diiktiraf sebagai pakar rujuk antarabangsa dalam bidang berkenaan pernah mengembara ke Banjaran Himalaya bagi menyiasat kewujudan Yeti pada 1968.

Penulis banyak buku mengenai Bigfoot itu menggelar bidang kajiannya sebagai kriptoantropologi iaitu penyelidikan mengenai kewujudan makhluk menyerupai manusia yang tidak dapat dipasti wujud atau tidak.

Katanya, setelah berpuluh-puluh tahun membuat kajian dan mengembara ke seluruh dunia, beliau amat yakin Bigfoot ialah makhluk antara dimensi yang sukar dilihat oleh manusia biasa. Makhluk itu mempunyai keupayaan bergerak antara alam fizikal dan bukan fizikal.

Oleh itu, jika ada lagi ekspedisi lain pada masa depan ke hutan-hutan Johor bagi mencari Bigfoot, mungkin boleh berjaya jika dibawa bersama pawang, ustaz atau ahli psikik yang berupaya berkomunikasi dengan alam ghaib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×