MUTAKHIR ini, persoalan ‘kebahagiaan’ atau ‘kesejahteraan’ semakin hangat dibahaskan oleh golongan cerdik pandai dan penggubal dasar di dunia Barat.
Profesor Richard Layard dari Pusat Pengajian Ekonomi London (LSE) ada menyebut dalam bukunya, Happiness: Lessons from a New Science. Terdapat suatu percanggahan (paradox) dalam kehidupan kita (hari ini). Kebanyakan orang mahukan pendapatan yang lebih tinggi dan berusaha untuk mendapatkannya. Namun, apabila masyarakat Barat semakin kaya, mereka tidak menjadi lebih bahagia.
Jauh lama sebelum Layard, E.F. Schumacher, seorang ahli ekonomi memberi amaran kepada masyarakat Barat sejak 1970-an kepada persoalan ini. Ternyata, ketika ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tahap kesengsaraan dari sudut kemurungan, kebimbangan, serangan panik dan tekanan meningkat secara mendadak bahkan sebelum wabak Covid-19 bermula.
Kita harus sedar dalam sejarah hadarah atau peradaban Barat, pada suatu ketika mereka tidak memisahkan soal kebahagiaan dengan kehidupan amali. Ahli falsafah agung Barat seperti Plato dan Aristotle 2,500 tahun dahulu, kemudiannya bapa ekonomi Barat, Adam Smith juga tidak menyingkirkan soal kebahagiaan daripada kehidupan ekonomi dan politik.
Bagaimanapun, cerdik pandai Barat hari ini tidak dapat memberi takrifan serta huraian yang jelas tentang kebahagiaan oleh sebab proses pensekularan yang telah mengaburi hakikat maknawi dari perspektif selain hadarah Barat. Sekiranya diteliti penggunaan istilah kebahagiaan atau kesejahteraan dalam wacana semasa, sering didapati ada kalanya ia difahami sebagai ‘nasib yang baik dan kemakmuran’, ada yang memahaminya sebagai ‘keadaan emosi yang bercirikan perasaan gembira dan kepuasan’ dan ada juga yang menggambarkannya sebagai ‘suasana senang dan aman, aman damai serta gembira.’
Dalam Pandangan Alam Islam, terdapat beberapa fahaman atau istilah kunci yang membentuk corak kehidupan kaum Muslimin pada zaman silam, khususnya fahaman kebahagiaan atau kesejahteraan seperti difahami oleh alim ulama muktabar dalam sejarah dan pandangan alam Islam terangkum dalam makna istilah sa’adah. Kaum Muslimin mempunyai takrifan dan pengertian yang jelas tentang kebahagiaan berdasarkan kerangka atau pandangan alam Islam seperti difahami oleh leluhur Islam dan akhirnya junjungan besar kita Nabi SAW.
SYAK
Perkara ini dijelaskan secara tuntas oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam penulisannya Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam, di mana beliau menyebut kesejahteraan merujuk kepada ‘keyakinan diri terhadap kebenaran terakhir, yakni al-Hak, dan penunaian amalan yang dikerjakan oleh diri itu berdasarkan keyakinan itu.’
Beliau juga menjelaskan makna kesejahteraan sebenar merujuk kepada keamanan dan kedamaian dan ketenteraman kalbu akibat terhapusnya syak dan dugaan perihal kebenaran yang ditanzilkan Tuhan melalui datangnya hidayah atau apa yang disebut sebagai keadaan beriman dan keadaan yang disebut adil. Inilah kebahagiaan yang dikenali serta dialami dan disedari dalam diri mereka yang benar-benar pasrah pada Allah SWT dan mentaati hidayah-Nya.
Merujuk tafsiran ulama silam seperti al-Ghazali juga, Profesor Al-Attas menjelaskan, terdapat dua peringkat kesejahteraan yang boleh dicerap.
Peringkat pertama merujuk kepada perasaan dan emosi yang dialami apabila diri itu mencapai segala keperluan – peringkat nafsi yang bermula dan berakhir dari saat ke saat (perasaan dan cita rasa), dan ia dapat dicapai dengan tercapainya segala yang diperlukan dan diinginkan menurut perilaku yang baik berasaskan kepada sifat-sifat mahmudah.
JASMANI
Peringkat kedua ialah peringkat rohani yang kekal, dialami secara sedar yang menjadi landasan hidup di dunia ini. Maka kebahagiaan rohaniah bererti ketenteraman kalbu, akal yang digunakan utk mencapai keluhuran pemikiran demi ketenangan nafsu yang akhirnya akan mendorong kesejahteraan badan jasmani.
Peringkat kedua ini apabila dicapai, berlaku bersamaan dengan peringkat pertama, hanya segala yang diingini (wants) kian berkurangan dan segala yang diperlukan (needs) sudah mencukupi. Dari segi penzahirannya pula, kefahaman terhadap erti kebahagiaan dalam Islam akan menatijahkan suatu corak kehidupan yang lebih beradab dan adil, yakni adab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar.
Jika diri ditadbir dengan baik kerana memahami hakikat kesejahteraan itu bergantung kepadanya, ia akan menghasilkan perlakuan berakhlak berasaskan pada pengenalannya akan sifat-sifat mazmumah (vices) dan mahmudah (fadilah atau virtues). Oleh itu, jika kita menelusuri pengalaman kehidupan sejarah dalam tamadun Islam, jelas membuktikan dan menunjukkan bahawa ia mesra insan atau bersetujuan dengan fitrah insan, mencerminkan sifat-sifat mahmudah,serta bersetujuan dengan erti kebahagiaan yang ingin dicapai dalam pandangan alam Islam.
Dari sudut sektor kesihatan, terdapat banyak pusat kesihatan dipanggil darussifa yang mengambil pendekatan holistik terhadap kesihatan dan penyembuhan. Para tabib dan pelbagai pakar perubatan disediakan, pemuzik dan kakitangan lain pula berusaha untuk menyumbang kepada kesembuhan jiwa pesakit. Malah reka bentuk bangunan dan taman darussifa ini juga diambil perhatian untuk mewujudkan ekologi atau suasana yang menenangkan.
Untuk bacaan lanjut, lihat buku Miri Shefer-Mossensohn bertajuk Ottoman Medicine: Healing and Medical Institutions, 1500-1700. Dari sudut kesenian sebagai contoh, zaman Uthmaniyah menghasilkan keindahan dalam pelbagai bentuk yang membawa ketenangan dalam kehidupan. Guru-guru seni merupakan dalam kalangan alim ulama atau guru tasawuf yang menjadikannya sebahagian daripada amalan pendidikan mereka untuk melahirkan insan-insan beradab.
Bagi mereka, seni ini membina sifat-sifat terpuji seperti kesabaran, disiplin serta dianggap antara amalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Oleh itu, sekiranya kaum Muslimin berupaya untuk memahami fahaman bahagia atau sejahtera secara menyeluruh dalam kerangka pandangan alam Islam dan berusaha untuk memastikan bidang profesional masing-masing disesuaikan supaya secocok dengan fahaman dan kerangka ini, saya yakin kita akan berupaya untuk menzahirkan suatu sistem dan corak kehidupan yang menyumbang kepada matlamat didambakan masyarakat dunia hari ini – kesejahteraan rakyat dan alam sekitar yang menenangkan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











