Sorok stateless bawah karpet? - Utusan Malaysia

Sorok stateless bawah karpet?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SELEPAS mengakhiri temu bual bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), DATUK HISHAMUDDIN HASHIM, beliau sempat menunjukkan video yang dimuat naik oleh media antarabangsa di media sosial berkaitan isu rakyat tanpa warga­negara
di Sabah.

Secara jelas, pengacara itu mendedahkan, kira-kira 10 juta rakyat tanpa warganegara atau stateless berada di Sabah selain mempersoalkan pengabaian akses pendidikan dan kesihatan kepada golongan tersebut.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, FARIZWAN HASBULLAH, beliau menyatakan, satu tindakan drastik perlu diambil kerajaan dalam menangani isu sejagat tersebut memandangkan media luar sudah mula mencari kelemahan dalam pentadbiran negara ini.

Katanya, isu ini tidak lagi boleh disorok di bawah permadani kerana ia melibatkan maruah negara, lebih-lebih lagi Malaysia baru memenangi kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024.

Hishamuddin juga berharap kerajaan tidak sekadar berjuang dan hanya mahu nampak sempurna di mata dunia tetapi pada masa sama isu dalam negara diabaikan.
Ikuti temu bual tersebut di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh ceritakan sejarah kedatangan golongan stateless di negara ini?
HISHAMUDDIN: Mereka wujud sekitar 1970-an di Sabah. Ketika itu kerajaan membenarkan pelarian dari selatan Filipina masuk atas faktor peperangan. Mereka diberikan dokumen IM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Sabah.

Kemudian pada hujung 1990-an, berlaku peperangan di Kemboja melibatkan pemerintahan kejam rejim Pol Pot. Malaysia ketika itu membuka pusat transit atau kem pelarian Champa di Cherating, Pahang.

Pada asalnya mereka bukanlah golongan stateless kerana mempunyai kewarganegaraan. Mereka hanya menjadi pelarian dan datang ke Malaysia akibat peperangan. Kita tak boleh kata pendatang asing kerana mereka masuk dengan kebenaran.

Yang menjadi punca kepada stateless ini adalah generasi seterusnya, iaitu anak dan cucu. Mereka ini tidak diterima di negara asal.

Sebelum ini, pelarian ini memegang dokumen IMM 13. Mereka juga ada dokumen Jabatan Ketua Menteri (JKM), JKM Task Force dan Banci. Namun, pada 2013, IMM 13 dihentikan dan menjadi punca golongan ini terabai tanpa dokumen serta dilabel stateless.

Pada masa sama pula, mereka hanya ada sijil surat beranak.

Kad pengenalan adalah dokumen penting. Ini bermakna golongan ini tercicir dalam serba-serbi?
Betul. Tanpa dokumen yang sah akan memberi kesan buruk, malah boleh menimbulkan pelbagai krisis kemanusiaan.

Apabila tiada dokumen, mereka akan jadi manusia yang tidak mempunyai hak seperti manusia lain. Ia seolah-olah menghilangkan nilai kemanusiaan terhadap seseorang kerana tidak dibenarkan mendapat akses kepada pendidikan, kesihatan, pekerjaan.

Rata-rata anak-anak pelarian Champa tidak bersekolah. Apabila peluang pendidikan disekat, sudah tentu mereka tiada peluang untuk memajukan diri. Jika mereka diberi akses kepada pembelajaran, sudah tentu mereka dapat membaca, melakukan kerja-kerja asas dan memuat naik aplikasi MySejahtera.

Paling penting, jika tanpa pelajaran, bagaimana mahu memberi kesedaran terhadap program kerajaan, sekali gus menjejaskan aspirasi negara.

Begitu juga kesihatan. Golongan ini tercicir daripada menerima vaksin Covid-19. Bagaimana mereka nak dapatkan vaksin jika tiada dokumen? Kira-kira 80 peratus golongan tanpa warganegara ini masih tidak divaksin.

Saya percaya mereka tidak menerima suntikan pelali kerana ada bertanya kepada saya, bagaimana mahu ambil vaksin.

Benarkah golongan ini kurang beradab dan terlibat dengan pelbagai jenayah serta masalah sosial?
Inilah yang saya katakan, tanpa dokumen pengenalan diri, mereka mudah diperdaya oleh sindiket kerana tiada pelajaran. Bila tiada pelajaran, mereka tidak boleh bekerja.

Jika tidak bekerja, mereka melakukan apa sahaja untuk sara hidup. Itu yang membuatkan mereka terlibat dengan jenayah.

Ada kanak-kanak yang hisap gam dan tidak mustahil apabila besar nanti mereka ambil dadah.

Apabila dapat tahu perkara ini, kita marah. Kita marah mereka menyumbang kepada kes jenayah, tapi apa yang kita lakukan? Bagaimana mereka mahu menjadi manusia normal jika asas utama iaitu pendidikan pun terlepas, sedangkan pendidikan adalah hak asasi.

Mereka ditindas, mereka tidak dibayar gaji malah segelintir anggota polis mengambil kesempatan dengan ‘pau’ golongan ini termasuk mengugut hanya kerana mereka tiada dokumen.

Bayangkan dengan pemerasan, tidak dibayar gaji, ditipu dan dizalimi, sudah pasti mereka akan develop satu perasaan dendam dan akhirnya mereka membalas dendam kepada orang lain pula.

TIDAK BOLEH USIR

Tidakkah usaha MHO membantu stateless dianggap cubaan menutup kesalahan mereka?
Saya dikecam. Orang tidak faham kenapa kita membantu golongan ini. Bagaimana mahu usir mereka apabila tiada negara penerima? Bahkan mereka dilahirkan dan dibesarkan di sini.

Masyarakat memang suka menyalahkan orang lain tetapi tidak ada usaha untuk membantu. Bagaimana kita mahu menafikan mereka sedangkan mereka memang ada di sini?

Ingin saya bawa satu naratif, Malaysia pada Oktober lalu memenangi kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebut tentang isu kekejaman krisis di Myanmar dan Palestin di PBB.

Kita setuju (dengan kenyataan dan usaha) dalam menjuarai hak asasi, cuma jangan lupa ada berlaku perkara sama di Malaysia. Jangan sampai suatu hari nanti ada pihak luar membuka kelemahan yang ada di Malaysia yang menyebabkan negara malu kerana tidak menjaga isu-isu hak asasi terutama stateless.

Bagaimana mereka boleh bertahan?
Mereka buat apa jua kerja untuk bertahan, bekerja ala kadar sahaja. Ada juga terpaksa meminjam identiti orang lain untuk jadi pemandu e-hailing.

Mereka seolah-olah tidak mempunyai masa depan. Perlukah kita gembira apabila membiarkan satu kumpulan manusia tidak ada masa depan, anak cucu mereka juga tiada masa depan dan potensi?

Orang Malaysia terlalu fobia, takut terhadap individu asing kerana beranggapan mereka boleh menjejaskan peluang ekonomi sedangkan ketakutan itu tak munasabah. Dalam dunia global, perlu mempunyai sinergi dengan orang asing. Buktinya, negara maju menjalin kerjasama dalam pelabur asing demi bangunkan ekonomi.

WUJUD SEMULA IMM 13

Apa kerajaan perlu buat?
Isu ini kalau kecil kita boleh pejam mata. Di seluruh negara terutama di Sabah ada stateless. Sudah sampai generasi kelima di negara ini.

Bila kerajaan mahu tangani perkara ini? Mahukah lihat jumlah mereka makin bertambah? Justeru, ia perlu diletakkan noktah dengan menerima isu ini sebagai masalah yang perlu diselesaikan, bukan menyembunyikan seolah-olah ia tak wujud. Ia perlu dilakukan secara holistik.

Datuk sebut ‘sembunyi’, ada kaitan dengan politik?
Sembunyi kerana politik, kerana takut perubahan pola pengundi, kerana takut terhadap gabungan parti politik dengan menafikan golongan stateless sebagai manusia.

Sedangkan apa yang kami perjuangkan tidak akan menggugat keamanan negara apatah lagi kacau undian pada mana-mana pilihan raya.

Jadi, apa yang MHO mahu perjuangkan?

Mahu satu penyelesaian yang tuntas diambil oleh kerajaan. Kita cuma minta kerajaan memberikan golongan ini satu dokumen bersifat menang-menang kepada rakyat, kerajaan dan industri iaitu dengan membolehkan mereka mendapat akses kepada kesihatan, pekerjaan dan pendidikan selain membenarkan mereka hidup secara aman tanpa ditangkap.

Kita tidak perlukan satu dokumen baharu yang perlu mengambil masa lama dan pengeluaran wang kerajaan yang banyak, sebaliknya kembalikan semula IMM 13 yang diberi nafas baharu.

Kerajaan boleh mengetatkan syarat seperti hanya untuk mereka yang lahir di Malaysia, tidak mempunyai kerakyatan mana-mana negara serta perlu melepasi tapisan keselamatan.

Jangan risau, kami tak minta diberikan taraf warganegara kepada mereka. Kita juga tidak mahu kumpulan ini menjejaskan isu keselamatan, mengganggu pola pengundian, malah tidak mahu mereka terlibat dalam politik kepartian selain tidak mahu mereka menjadi pesaing kepada sektor ekonomi warga tempatan.

Ada jumpa menteri?
Ada. Kami telah menulis surat tapi seperti tidak dilayan. Pun begitu, ia tidak akan membuatkan kami berhenti berjuang. Kami tidak akan penat dan berhenti bercakap isu ini sehingga diselesaikan secara holistik.

Tidak pasti mengapa tiada maklum balas, mungkin mereka anggap isu ini tidak penting sedangkan ia merupakan satu fardu kifayah yang perlu diperjuangkan.

Kerajaan perlu malu apabila sibuk memperjuangkan isu kemanusiaan membabitkan negara luar sedangkan masalah di Malaysia sangat besar. Sepatutnya berilah keutamaan kepada negara sendiri.

Kami merayu kepada kerajaan agar tidak melengah-lengahkan lagi untuk menyelesaikan masalah stateless khususnya dalam hal dokumentasi.

Kewajaran beri dokumentasi stateless?
Kita perlu tangani isu ini. Kita tak boleh sembunyikan mereka di bawah karpet. Isu ini semakin besar, bahkan media luar juga sudah highlight isu ini. Tidak malukah kita?

Selain itu, mereka adalah sumber tenaga di dalam negara. Jadi, mengapa tak manfaat mereka sebagai tenaga buruh dan secara tidak langsung boleh menyumbang

kepada negara?
Kerajaan tidak perlu takut kerana mereak tidak boleh pergi ke mana-mana.

Dokumen itu juga penting agar mereka tidak dimanipulasi oleh sindiket. Jika tidak, mereka akan menjadi alat kepada keganasan, kartel rokok atau dadah. Kita patut lihat bagaimana Eropah membuat dasar berkaitan isu ini yang dianggap sejagat.

BAGI MEREKA KERJA

Datuk setuju jika kita beri peluang pekerjaan kepada stateless daripada import pekerja asing?
Setuju kerana pertama, setiap pendapatan yang diterima akan dibelanjakan sepenuhnya di negara ini. Jika ambil pekerja asing, mereka hanya berbelanja sedikit di negara ini, selebihnya dihantar kepada keluarga di kampung. Itu satu kerugian kepada ekonomi negara kerana aliran duit dibawa ke luar.

Kedua, golongan ini boleh mengisi kekosongan sektor 3D (kotor, berbahaya, rumit) yang tidak diminati rakyat Malaysia.

Malah golongan tanpa warganegara ini juga boleh mengisi kekurangan 32,000 tenaga kerja dalam industri perladangan. Bahkan, mereka telah hidup dan membesar di negara ini, malah lebih memahami budaya dan norma masyarakat tempatan berbanding warga asing yang hendak dibawa masuk.

MHO sanggup menjadi pemudah cara untuk membantu kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan stateless.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×