Selangor pintar sepenuhnya 2025 - Utusan Malaysia

Selangor pintar sepenuhnya 2025

FAHMI NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

 

IMPIAN Selangor menjadi negeri berdaya huni bertaraf dunia dilengkapi infrastruktur kelas pertama berasaskan penggunaan teknologi digital hampir menjadi kenyataan menerusi usaha kerajaan negeri di bawah program Smart Selangor. Program yang sering disebut dan dijadikan rujukan ini sedang dilaksanakan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sebuah anak syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Menurut Pengarah Urusan SSDU, DR. FAHMI NGAH, konsep smart state (negeri pintar) yang pertama kalinya diperkenalkan bukan sahaja mampu mengubah kualiti sistem penyampaian perkhidmatan digital kerajaan negeri tetapi juga akan merubah gaya hidup rakyat ke arah lebih sejahtera, inklusif, harmoni dan menjamin kelestarian alam sekitar.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, AFIQ RAZALI di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh kongsi secara ringkas mengenai Smart Selangor?
FAHMI: Program ini untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah smart state yang berdaya huni di ASEAN pada 2025. Penggunaan terma smart state adalah lebih tepat berbanding negeri pintar kerana istilah pintar tidak mencakupi keseluruhan maksud smart yang bukan sahaja bermaksud pintar tetapi juga segak dan kemas.

Konsep smart state yang diperkenalkan ini adalah unik daripada konsep smart cities (bandar pintar) yang sedang dibangunkan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT). Smart state akan memperkasakan lagi tahap perkhidmatan kerajaan di smart cities menerusi penggabungan dan perkongsian data antara kerajaan negeri dan PBT dengan penggunaan beberapa infrastruktur digital terpilih secara berpusat.

Program yang direncanakan seawal 2016 menerusi Blueprint Smart Selangor ini diberikan nafas baharu pada 2020 di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mahukan program ini diberikan lebih fokus agar sasaran 2025 itu dapat dicapai sepenuhnya.

Bagaimana perkembangannya sehingga hari ini?

Daripada 60 inisiatif yang dicadangkan dalam Pelan Tindakan Smart Selangor 2025, 60 peratus telah dibangunkan manakala pelaksanaannya untuk seluruh Selangor hanyalah pada tahap 35 peratus pada masa ini. Pelaksanaan ini sedikit terbantut akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 2020 dan 2021.

Antara contoh awal inisiatif Smart Selangor yang telah dilaksanakan untuk penggunaan di seluruh Selangor adalah penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang hari ini mempunyai sejumlah 1.8 juta pengguna, penggunaan sistem Intelligent Response Selangor (i-RS) oleh 39 entiti kerajaan negeri untuk pengurusan pelaporan dan penampalan jalan berlubang yang menggunakan kaedah pelaporan awam dari pelbagai saluran seperti panggilan telefon, Waze dan sebagainya dan penggunaan aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) yang memaklumkan waktu ketibaan bas Smart Selangor di perhentian bas.

Adakah sistem ini diterima baik penduduk?
Setakat ini orang ramai menyambut baik dan menggunakan aplikasi serta kemudahan ini. Sebagai contoh, aplikasi SSP sahaja mempunyai 1.8 juta pengguna di kawasan bandar dan luar bandar. Perhentian bas Smart Selangor juga mencatatkan jumlah pengunjung seramai 600 orang sehari sebelum tercetusnya pandemik Covid-19.

Cabaran pelaksanaan?
Cabaran untuk melaksanakan inisiatif Smart Selangor ini ada dua. Pertama, untuk membangunkan sebuah pelan atau blueprint yang harus mengambil kira keperluan dan keutamaan rakyat pelbagai peringkat. Ini juga memerlukan sedikit kajian mengenai konsep-konsep luar yang boleh digunapakai untuk dilaksanakan di Selangor.

Keduanya pula adalah pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang ditetapkan itu ke pelbagai peringkat pentadbiran kerajaan negeri agar tahap perkhidmatan yang lebih baik dapat dirasai rakyat. Ini hanya boleh berlaku dengan adanya kerjasama dan tahap kepercayaan yang baik di antara SSDU dan penjawat awam pelbagai peringkat.

Sudahkah rakyat Selangor bersedia ke arah digital sepenuhnya?

Saya berpendapat majoriti rakyat Selangor amat mengharapkan suatu pembaharuan untuk tahap perkhidmatan dan kualiti hidup lebih baik. Saya percaya Smart Selangor dapat memenuhi harapan mereka, setidak-tidaknya sebagai suatu identiti atau paradigma baharu yang hanya ada di Selangor yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Selangor.

INISIATIF TERBAHARU

Apa perancangan terbaharu?
Beberapa perancangan telah dirancang dan akan dijayakan, antaranya:

E-kupon parkir
Bermula 1 Januari tahun depan, kerajaan negeri tidak akan membenarkan lagi penggunaan kupon kertas dan mesin syiling untuk membayar parkir di tempat letak kereta on-street. Pengguna boleh membayar menerusi aplikasi SSP ataupun e-kupon yang bakal diperkenalkan nanti.
Satu program latihan dan lantikan ejen-ejen e-kupon sedang dilaksanakan di setiap kawasan PBT agar ejen-ejen kupon kertas ini dapat dilatih untuk menjadi ejen e-kupon pula.
Dengan cara ini, hasrat untuk merealisasikan perkhidmatan parkir berasaskan digital akan dapat dilaksanakan sepenuhnya di Selangor.

E-bike
Kita sedang meneliti pelaksanaan motosikal elektrik (e-bike) yang boleh disewa awam. Langkah ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran Bandar Rendah Karbon dengan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik. Ia akan dimulakan untuk peringkat awal di Shah Alam dan Cyberjaya dengan sasaran sebanyak 200,000 motosikal elektrik menjelang 2025.

Kitar Semula Berbayar
Satu program kitar semula berbayar akan diwujudkan pada awal tahun depan. Program ini akan membolehkan penduduk menawarkan bahan kitar semula terpilih untuk dibeli oleh pengusaha-pengusaha bahan kitar semula setempat menerusi suatu aplikasi. Ini akan merealisasikan konsep Waste is wealth dan meningkatkan lagi kadar kitar semula negeri kepada sasaran 30 peratus pada 2025 nanti.

Harapan anda?
Semoga pemegang taruh di kerajaan negeri, agensi, badan berkanun dan anak syarikat terus memberikan komitmen untuk menjayakan program ini. Di samping itu, kita berharap agar rakyat Selangor akan terus menyokong usaha ini untuk kita sama-sama merealisasikan visi Smart Selangor untuk menjadikan Selangor sebagai smart state yang berdaya huni di ASEAN pada 2025 nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×