Parti teras tanpa ugutan, ancaman - Utusan Malaysia

Parti teras tanpa ugutan, ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SATU perkara dibangkitkan berulang kali oleh Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, DATUK SERI MOHAMAD HASAN tentang keperluan sebuah parti teras untuk rakyat Melaka.

Katanya, BN mempunyai rekod lebih 60 tahun mentadbir negara dan negeri Melaka. Namun, BN tidak dapat berbuat apa-apa apabila pada 2018, rakyat hendak berubah.

Cuma sepatutnya berubah ke lebih baik, tapi beralih kepada keadaan yang lebih teruk pula.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL yang menemuinya di BN Command Center di Ayer Keroh, Melaka, semalam, Mohamad berharap rakyat Melaka dapat menilai secara bijaksana tawaran-tawaran dengan janji yang didatangkan dalam manifesto.

“Tawaran-tawaran ini (manifesto) mesti berpijak di bumi nyata, bukannya menawarkan bulan dan bintang kepada pengundi. Apakah masa depan Malaysia/Melaka?

“Orang ramai mahu lihat apa yang parti itu boleh buat untuk kesejahteraan mereka. Rakyat hendak membina kehidupan semula selepas Covid-19 melanda,” kata beliau.

UTUSAN: Esok sehari sahaja lagi kempen PRN Melaka, adakah BN yakin dapat membentuk kerajaan negeri?
MOHAMAD: BN mencuba sebaik mungkin untuk tubuhkan kerajaan, iaitu dengan memperoleh sekurang-kurangnya 15 kerusi (majoriti mudah) atau lebih daripada itu. Kalau tidak, kita tak boleh tubuh kerajaan.

Apa maklum balas yang Datuk Seri dan jentera BN peroleh daripada orang ramai sepanjang kempen ini?
Rakyat mahu supaya UMNO menguruskan negeri. Rakyat hendakkan sebuah kerajaan yang stabil. ‘Kestabilan demi kemakmuran’ sesuai dengan manifesto kita (BN).

Manifesto BN merupakan aku janji yang realistik dan mampu siap dalam tempoh lima tahun akan datang selain tidak dirangka secara semberono, sebaliknya mengambil kira semua keperluan rakyat.

Ada yang bercakap perlunya orang Melaka kepada parti teras, pandangan Datuk Seri?
Itu perkataan saya, iaitu parti teras yang boleh mentadbir. Dengan itu kita tidak perlu terpaksa minta belas ihsan daripada mana-mana pihak untuk tubuh kerajaan. Jika tidak, ia tidak akan mendatangkan kestabilan politik kerana siapa-siapa sahaja yang mentadbir negeri tanpa sebuah parti teras akan sentiasa diugut dan diancam.

Jadi, parti teras ini perkara cukup penting?
Ya, rakyat Melaka mesti berikan mandat yang baik kepada satu parti teras supaya parti teras ini boleh tubuh kerajaan dengan sendiri. Dan BN sebagai parti yang sudah berpengalaman, dah lama mentadbir negeri serta telah dapat memajukan Melaka, perlu diberi mandat jika rakyat Melaka mahu melihat negeri ini terus dibangunkan serta menikmati kemakmuran.

Barangkali ketiadaan parti teras ini menjadi punca dalam tiga tahun ini terjadi pertukaran kerajaan sampai tiga kali?
Umpama badan yang tiada tulang belakangnya akan lemah. Kerana itu baik kerajaan Pusat atau kerajaan negeri atau mana-mana negara sekali pun, mesti ada satu parti yang menjadi tulang belakang. Iaitu parti teras yang menguat dan memperkasakan kerajaan dan negara.

Tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlaku 9 Mei 2018, bagaimana BN tafsirkan?
Keadaan negara teruk sebab ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak membantu dari segi dasarnya yang tidak menentu. Daripada sebuah kerajaan yang terbukti ekonominya yang baik, rakyat hidup selesa dan tenteram hasil pentadbiran kerajaan BN, tapi bila datang PRU-14, tiba-tiba bertukar kerajaan. Kerajaan (PH) waktu itu mempunyai agenda yang bermacam-macam. Lebih pada agenda politik daripada agenda membangunkan negara. Keadaan negara bertambah teruk lagi akibat pandemik Covid-19. Umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah teruk, diserang pulak wabak Covid-19, bertambah lagi teruk.

Kelihatan rakyat kehilangan UMNO waktu itu?
UMNO sebuah parti yang berasaskan kepada menjaga kesejahteraan rakyat. Walaupun bukan kita tidak mampu buat semua orang kaya, tapi rakyat sejahtera.

Kesejahteraan rakyat penting dengan negara aman dan ekonominya baik. Negara dimakmurkan, semua orang dapat faedah, manfaatnya. Walaupun kalah pada 2018, UMNO terus menjaga rakyat dengan apa yang kita termampu. Rakyat Melaka boleh menilai siapa yang boleh menguruskan negeri, siapa yang tidak.

Cuma cabarannya, prosedur operasi standard (SOP) kempen oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan pergerakan calon terhad, benarkah begitu?
Yang saya hairan, jentera kempen tidak dibenar bergerak dari rumah ke rumah. Bermesyuarat pun tak dibenarkan. Tapi orang makan ikan bakar dekat Kampung Alai dengan asam pedasnya begitu ramai. Bila hendak berkempen, kena ikut SOP. Sendiri nilailah apa yang kerajaan lakukan. Kita pun sudah melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Pahang (4 Julai 2020) dan PRK Slim, Perak (29 Ogos 2020) dengan SOP iaitu lokasi berkempen mestilah tertutup ataupun berpagar, kehadiran tidak melebihi 250 orang dan menyediakan pencair pembasmi kuman. Dan BN akur serta hormati SOP dalam dua PRK ini yang dikuatkuasakan oleh pemantau-pemantau (dari SPR). Waktu itu belum ada vaksin pun, tapi sekarang sudah 97 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa. Saya tak faham apa yang kerajaan cuba lakukan. Baik usah ada pilihan raya.

Mengapa PRN Melaka penting?
Mandat telah dipulangkan semula kepada rakyat kerana ada pihak menukar-nukar kerajaan. Mendapatkan mandat rakyat suatu perkara yang perlu sebagai negara yang amalkan demokrasi. Keputusan itu perlu diberi semula kepada rakyat, biar rakyat tentukan siapa yang benar-benar layak untuk diletakkan kepercayaan mentadbir negeri.

Berhati-hati pilih mana satu orang yang boleh bercakap apa sahaja, janji macam macam. Mana satu parti yang cakap tak serupa bikin. Ada satu parti yang gagal urus negara, manakala satu lagi parti (BN) yang benar-benar mempunyai track record (rekod) yang sudah lama stabilkan negara. Mesti kita kena fikir elok-elok.

Dan perlu berikan mandat yang kuat kepada parti teras tersebut( BN) supaya rakyat tak perlu lagi risau kerajaan (negeri) itu diganggu-gugat untuk lima tahun akan datang. Ya, sebuah parti teras yang dapat mandat dan kepercayaan akan dapat tumpukan sepenuh perhatian mereka untuk pastikan Melaka stabil demi kemakmuran rakyat.

UMNO tak bimbangkah jika peratusan keluar pengundi tidak seberapa?
Nadi ekonomi Melaka adalah pelancongan. Kita harapkan orang datang ke Melaka berbelanja. Mereka takkan pergi ke tempat, negeri atau negara yang politiknya tak stabil. Tambahan pula pelabur-pelabur mahu bergiat sama dengan kita dalam agensi pelancongan. Maka, rakyat Melaka mesti berjaya tubuhkan sebuah kerajaan dengan meletakkan kepercayaan kepada satu parti teras untuk mentadbir.

Jadi, rakyat jangan ingat bila sudah undi pada Sabtu ini (20 November), dia sudah lepas daripada tanggungjawab. Itu satu perkara. Yang kedua dan lebih penting lagi, jika rakyat Melaka gagal berikan suara majoriti yang baik kepada satu parti teras, maka keadaan dan kestabilan di Melaka tidak akan dapat dicapai. Sekali gus akibatkan kesusahan pada rakyat.

Adakah Melaka akan jadi penanda aras (benchmark) kepada pilihan raya Pusat?
Ya, besar kemungkinan benchmark kepada PRU-15. Banyak orang nak ukur keupayaan bersaing, kukuhkan kekuatan parti masing-masing. Melaka medan kepada pelbagai uji kaji kepada bukan sahaja parti, tetapi pada rakyat.

Saya harap rakyat di Melaka benar-benar gunakan undi mereka untuk beri signal (isyarat) yang kuat bahawa ‘cukup-cukuplah’, kita perlukan kerajaan yang stabil. Untuk capai itu, rakyat Melaka mesti memberi mandat kepada satu parti teras yang boleh dengan sendirinya menubuhkan kerajaan tanpa terpaksa meminta belas kasihan daripada parti lain.

‘Pembunuhan karakter’ memang rancak

Dakyah yang disebar terutama elemen ‘pembunuhan karakter’ (character assasination) berlaku semasa kempen ini. Pandangan Datuk Seri?
Surat layang berupa tohmahan, fitnah dan apa jua character assasination memang rancak masa musim pilihan raya. Jangan terus percaya. Periksa dulu betul, tak betulnya.

Dalam dunia media sosial sekarang, dari 10, lapan berita palsunya. Jangan terpedaya dan terus sebarkan berita-berita yang belum tentu kesahihannya. Dunia sudah macam ini sekarang. Dunia zaman media sosial sekarang berleluasa, tak dapat kita nak menahan.

Kita perlu miliki kekuatan menilai. Jangan dapat sahaja, kita terus terima bulat-bulat sehinggakan berita Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kononnya meninggal dunia pun disebar. Gila punya kerja kan, padahal Pak Lah sihat sahaja di rumah. Tapi peliknya ada yang percaya. Dunia dah masuk era zaman fitnah. Fitnah berleluasa. Kita sebagai orang yang menerima berita-berita itu perlu guna kebijaksanaan dan siasat dulu sama ada betul atau tidak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN