Jelmaan misteri di lombong tinggal - Utusan Malaysia

Jelmaan misteri di lombong tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya ingat lagi kata-kata arwah ayah ketika hayatnya, sesiapa yang ‘gila’ memancing kenalah pergi ke tempat yang betul untuk memancing. Jangan sesekali singgah di tempat yang ‘salah’, kelak boleh mendatangkan risiko dan pelbagai masalah.
Ayah pesan begitu kerana dia tahu aku ini seorang kaki pancing tegar. Dia tidaklah marah atau melarang hobi aku ini, cuma kadang-kadang sahaja dia bising jika seharian suntuk aku tidak pulang ke rumah. Waktu itu memang teruk aku kena soal siasat.
Memang betul kata ayah. Jika memancing salah tempat maka terimalah padahnya. Aku sendiri pernah melalui pengalaman sebegitu. Kisah yang cukup menakutkan sehingga meninggalkan kesan trauma sepanjang hidupku. Begini kisahnya…
Malam itu aku bersama seorang rakan, Ziman pergi memancing di sebuah kawasan lombong tinggal tidak jauh dari rumah kami di pekan Kampar, Perak. Ini kali pertama kami turun memancing di situ kerana sebelum ini kami hanya memancing di laut dan sungai.
Semuanya gara-gara seorang rakan sekampung, Khalil yang membawa pulang berpuluh kilo ikan tongsan dan rohu ketika memancing di situ minggu lalu. Terus kami rasa teruja dan tak sabar untuk ‘beraksi’ di situ.
Walaupun sebelum ini pelbagai kisah aneh tentang lombong tersebut kami dengari, namun langsung tidak mematahkan semangat kami untuk ke sana. Bagi kami itu hanyalah mitos dan bualan kosong daripada kaki-kaki pancing. Mungkin mereka tidak mahu orang lain datang ke situ untuk memancing dan mengganggu kawasan tersebut.
Sebaik selesai memasang umpan kami melepaskan joran masing-masing. Sambil menunggu umpan di makan ikan kami berbual kosong untuk menghilangkan rasa bosan.
Kami menunggu dengan penuh sabar. Sesekali kelihatan kocakan air di tengah lombong tanda adanya ikan yang sedang naik ke permukaan.
“Eh, hari sudah gelap ini. Jom kita pasang lampu,” kataku sambil mengeluarkan pelita karbaid dari dalam raga yang dibawa.
Ziman mengeluarkan pemetik api lantas menyalakan pelita karbaid yang dibawa. Walaupun cahayanya tidak sebesar mana namun masih mampu menerangi kawasan persekitaran kami.
Suasana persekitaran cukup sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi unggas dari belukar dan hutan berdekatan. Aku tinjau sekeliling, tidak nampak sesiapa. Rasanya hanya kami berdua sahaja di situ. Mungkin pemancing lain sudah pulang ke rumah agaknya.
Kami menunggu penuh sabar. Sesekali kedengaran Ziman mengomel sambil menampar lengannya yang dihinggapi nyamuk. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagatnya.
Sedang asyik melayan perasaan tiba-tiba rongga hidungku tercium bau yang amat harum. Kami toleh ke arah Ziman.
“Kau ada tercium apa-apa tak?” tanya Ziman kepadaku.
Aku tidak menjawab pertanyaannya, tetapi sekadar menganggukkan kepala.
“Aku rasa tak sedap hati lah… kau rasa macam mana? Nak tunggu lagi ke atau kita balik?” tanyaku lagi.
Ziman tersengih kelat. Aku tahu dia tidak bercadang untuk pulang, tambah pula bila kami masih belum berjaya menaikkan walau seekor tangkapan.
“Sekejap lagilah beb. Selagi tak dapat baung dengan lampan 30 kilo, selagi itulah kita jangan balik,” katanya tertawa.
Aku tergelak kecil. Memang begitulah sikapnya. Setiap kali pergi memancing dia tidak akan pulang selagi tidak dapat apa yang diidamkan. Sebab itulah dia sanggup menunggu sehari suntuk.
Penantian kami akhirnya berbaloi. Tidak lama kemudian umpan kami mula mengena. Bersilih ganti aku dan Ziman menaikkan hasil tangkapan. Kami mula rasa seronok sehinggakan lupa kepada bau harum yang semakin lama kuat menusuk rongga.
“Beb, kau tunggu sekejap. Aku nak buang air kejap. Tak tahan dah ni,” kata Ziman kalut. Aku tersengih melihat gelagatnya.
Hampir 10 minit berlalu, namun kelibat Ziman masih belum juga muncul. Aku garu kepala sambil tinjau sekeliling.
Tiba-tiba aku tersentak. Nun di hujung tebing aku terlihat kelibat seseorang yang seakan meninjau sesuatu di permukaan lombong. Aku amati dan teliti. Sah, Ziman! Tetapi dengan siapa pula dia berbual. Aku keliru.
Walaupun suasana sudah gelap ketika itu, namun aku masih mampu melihatnya dengan jelas. Sesekali kedengaran dia ketawa dan berkata sesuatu. Pelik pula aku, siapalah temannya.
Aku bingkas bangun dan menuju ke arahnya. Dalam hati tertanya-tanya ingin tahu siapakah yang bersama Ziman ketika itu. Aku fikir mungkin dia terjumpa pemancing lain di situ. Aku melangkah laju ke arahnya.
Sebaik menghampirinya aku terkedu. Nampak jelas dia sedang berbual dengan seseorang. Tetapi yang menjadi tanda tanya aku langsung tidak melihat sesiapa di situ kecuali Ziman. Jadi dengan siapa pula dia berbual. Aku keliru.
Dari sebalik belukar aku nampak dia bersungguh-sungguh bercerita. Aku intai merata kalau-kalau terlepas pandang kelibat temannya berdekatan, namun tidak nampak sesiapa.
Beberapa minit kemudian suasana bertukar sunyi. Aku lihat Ziman berdiri bercekak pinggang di tepi tebing sambil memerhati sesuatu ke arah permukaan lombong yang tenang.
“Ziman… Ziman,” panggilku ke arahnya.
Serta merta Ziman menoleh ke arahku. Wajahnya terpinga-pinga.
“Eh, bila masa pula kau muncul di belakang ini. Sekejapnya kau turun dalam air ini,” kata Ziman garu kepala.
Aku memandangnya dengan seribu persoalan. Tidak tahu apa yang dimaksudkan olehnya ketika itu.
“Err… bila pula aku turun ke lombong? Kau jangan buat pasal pula. Aku ini dari tadi tunggu kau di hujung tebing itu. Tadi kau kata nak buang air tup-tup kau lepas sampai ke sini pula,” kataku lagi.
Ziman terpinga-pinga. Lantas dia merenung ke arah lombong yang tenang di hadapannya.
“Eh, sudah beb. Jom kita balik.Kita ambil pancing dan terus balik,” katanya sambil menarik lenganku.
Aku tidak membalas kata-katanya. Namun aku tahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku ketika itu. Aku dan Ziman terus ke tempat kami memancing tadi. Sebaik sampai dia bergegas mengemaskan barang-barangnya.
Kami tidak terus pulang tetapi menuju ke gerai Haji Hussin berdekatan rumah. Lantas Ziman buka mulut dan menceritakan apa yang berlaku.
Menurut Ziman ketika dia selesai buang air kecil, dia didatangi seseorang yang wajahnya mirip ‘aku’. Katanya sosok tersebut beritahu tali joran miliknya tersangkut di dasar lombong dan minta dia bantu untuk dapatkan.
Katanya lagi sosok mirip ‘aku’ itu minta dia untuk turun menyelam ke dasar lombong kerana katanya aku pandai berenang dan menyelam. Namun Ziman tidak bersetuju kerana dia tidak biasa dengan suasana di lombong tersebut.
Akhirnya sosok tersebut setuju untuk menyelam dan minta Ziman menunggunya di tebing.
“Macam itulah ceritanya. Nasib baiklah kau datang cepat, kalau tidak aku tak tahulah apa yang jadi,” kata Ziman kepadaku.
Aku terdiam. Patutlah aku lihat beria-ia Ziman bercakap di hujung tebing tadi, rupa-rupanya dia sangka sedang berbual denganku. Aku hela nafas panjang, seakan tidak percaya dengan apa yang ku dengar ketika itu.
Aku tahu Ziman takkan menipu atau mengada-adakan cerita. Dalam hati aku terfikir, makhluk apakah yang datang menyerupaiku tadi. Dan jika benar apa yang diperkatakan Ziman itu, pastinya lombong ini menyimpan seribu misteri yang tidak diketahui.
Sejak itu aku nekad tidak jejakkan kaki lagi di lombong tersebut. Peristiwa tersebut cukup meninggalkan kesan mendalam buatku. Bagi mereka yang ingin memancing di situ, silakan… semoga mereka dilindungi dan tidak mengalami peristiwa menakutkan seperti yang berlaku kepadaku dan Ziman. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya