Anggota, pegawai SPRM gagal capai BMI 27 tidak layak naik pangkat - Utusan Malaysia

Anggota, pegawai SPRM gagal capai BMI 27 tidak layak naik pangkat

AZAM Baki (kiri) bersalaman dengan pegawai SPRM Majlis Persaraan-Bakti Disanjung, Budi Dijunjung Sempena Persaraan Pengarah SPRM Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak layak menerima kenaikan pangkat bermula Januari tahun depan jika tidak menepati polisi indeks jisim badan (BMI) 27.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata, arahan itu bertujuan mencegah warga SPRM yang merupakan penjawat awam daripada obesiti.

“Jadi kita beri masa selama enam bulan kepada seluruh anggota dan pegawai SPRM untuk mencapai berat badan ideal.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melaksanakan arahan BMI 26. Jadi, kita laksanakan di SPRM kerana SPRM merupakan satu jabatan yang penting dalam kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Persaraan-Bakti Disanjung, Budi Dijunjung Sempena Persaraan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain di Kompleks SPRM Kelantan di sini hari ini.

Azam memberitahu, setiap bahagian SPRM sama ada di ibu pejabat atau negeri selepas ini perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan di hospital kerajaan.

“Penjawat awam yang ada masalah berat badan sudah tentu akan ada banyak penyakit. Obesiti dalam perkhidmatan awam perlu dicegah dan tidak patut ada.

“Apabila anggota dan pegawai SPRM mempunyai berat badan yang baik dan berketerampilan, ia lebih memudahkan penyampaian segala aspek kerja kepada orang awam,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN