POLIS Diraja Malaysia (PDRM) adalah agensi penguat kuasa yang sentiasa menarik perhatian serta cukup rapat dengan rakyat. Itulah sebabnya ada slogan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.
Tiada siapa akan mempertikaikan sumbangan dan peranan signifikan pasukan polis dalam menjaga keamanan serta melindungi keselamatan rakyat dan negara.
Namun, isu salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis sering menghantui dan menjejaskan imej, reputasi serta nama baik pasukan sang saka biru ini.
Misalnya, baru-baru ini Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan isu salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai polis masih berada pada tahap serius apabila 88 peratus daripada 750 aduan yang diterima oleh EAIC dalam tempoh 11 bulan tahun ini melibatkan agensi itu.
Salah laku melibatkan pasukan keselamatan itu berjumlah 659 aduan diterima suruhanjaya berkenaan sejak Januari sehingga November lalu.
Jumlah itu tidak termasuk tambahan 122 aduan yang hanya diterima sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 sehingga November ini.
Antara salah laku yang biasa kita dengar termasuklah mereka yang didapati terbabit dalam jenayah seperti pemerasan, ugutan, sindiket pengedaran dadah dan gejala rasuah.
Selain PDRM, pelbagai aduan turut diterima melibatkan Jabatan Imigresen apabila 36 aduan direkodkan dalam tempoh sama serta sebanyak 21 aduan diterima membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) masing-masing 17 aduan. Jelas sekali aduan salah laku membabitkan anggota polis cukup membimbangkan.
Justeru, walaupun selama ini pelbagai usaha pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan untuk menangani masalah salah laku dalam kalangan anggota polis, kita tidak boleh berputus asa atau kecewa.
Sebaliknya kita berharap pasukan polis di bawah pentadbiran Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani terus bersemangat untuk mengekang dan membanteras segala jenis salah laku membabitkan anggotanya seterusnya memperkasa imej dan reputasi pasukan penguat kuasa ini.
Buktikan kepada masyarakat bahawa pasukan polis tidak akan berkompromi soal integriti dan salah laku dalam kalangan warga kerjanya.
Ironinya, saya percaya seluruh rakyat memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan pasukan polis dalam mengambil tindakan tegas dan keras ke atas mana-mana pegawai atau anggota yang masih degil dan terbabit dengan salah laku.
Justeru, proses pemutihan perlu terus dipergiatkan dengan cara membersihkan polis daripada segelintir individu yang mencemarkan nama baik pasukan itu.
Kita tidak mahu disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Untuk itu, kita berharap pihak pengurusan polis akan terus menyiasat dan mendedahkan salah laku anggotanya walaupun ia kelihatan membuka pekung sendiri kerana memelihara imej pasukan polis jauh lebih penting daripada kita risau dengan imej individu yang bermasalah.
Tindakan seperti ini juga akan membuktikan kepada rakyat bahawa polis serius menangani isu ini serta tidak memilih bulu, di samping boleh menjadi pengajaran serta menimbulkan rasa takut kepada anggota lain agar menjauhi segala jenis salah laku.
Dari segi tindakan juga diharap hukuman tatatertib lebih keras dikenakan termasuklah menamatkan perkhidmatan bagi kes serius dan terbukti salah.
Tiada keperluan untuk kita berasa simpati terhadap individu seperti ini kerana tindakan mereka bukan sahaja mencemarkan nama baik polis malah boleh diumpamakan harapkan pagar, pagar makan padi.
Percayalah, rakyat masih yakin dengan kredibiliti serta meletakkan harapan besar kepada pasukan polis.
Maka eloklah buat operasi secara besar-besaran untuk membersihkan pasukan polis daripada individu yang tidak sayangkan kerja serta sanggup mengkhianati amanah rakyat dan negara.
TUPAI
Pada masa sama, anggota polis yang terlibat ataupun baru hendak mencuba perlu sedar, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Jangan ingat selamat dan terlepas beberapa kali bermaksud kita akan selamat selama-lamanya. Tindakan kita mengkhianati amanah rakyat dan negara pasti akan mendapat balasan yang setimpal suatu hari nanti.
Maka segeralah kembali ke pangkal jalan, bermuhasabah dan fikir-fikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul serta apa tujuan asal kita masuk perkhidmatan polis.
Masih belum terlambat untuk kita kembali memperkukuh nilai integriti dan jati diri sekali gus melaksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas.
Jadikanlah integriti serta maruah diri dan keluarga sebagai perisai hidup supaya kita tidak tergelincir dari landasan yang betul.
Dalam pada itu, kita juga berharap anggota masyarakat terus memberikan suntikan motivasi dan sokongan moral kepada anggota dan pasukan polis secara keseluruhannya.
Jangan kerana tindakan segelintir anggota, kita menjatuhkan hukuman kepada keseluruhan pasukan sebaliknya kita wajar memberikan semangat kepada anggota yang berkhidmat dengan amanah dan jujur serta menyokong penuh segala usaha pasukan polis menangani isu salah laku ini.
Tuntasnya, walaupun pendedahan statistik salah laku anggota polis ini cukup serius, itu bukanlah gambaran menyeluruh tentang etika kerja majoriti anggota polis yang masih berpaksikan budaya kerja profesional dan berintegriti tinggi.
Apa pun, tindakan tegas perlu diteruskan ke atas individu yang terlibat dan pihak polis perlu terus melipatgandakan usaha untuk memperkasa imej dan reputasi pasukan.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.











