Bukan semua suka ditegur - Utusan Malaysia

Bukan semua suka ditegur

MAJLIS Penyampaian AIGA 2020 disempurnakan oleh Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada 26 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANUGERAH Integriti Governans dan Antirasuah (AIGA) bukan sekadar anugerah tetapi satu lonjakan anjakan paradigma baharu dalam menginovasikan dan memperkasakan integriti dan tadbir urus, sekali gus memerangi rasuah.

AIGA merupakan satu inisiatif meningkatkan pembudayaan integriti dan tadbir urus, menerusi pemberian pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan integriti, tadbir urus terbaik dan inisiatif antirasuah dalam organisasi.

Dilancarkan pada 2020, AIGA bermula di peringkat negeri Pahang dengan usaha sama Yayasan Pahang bersama rakan strategik termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) dan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).

AIGA terbahagi kepada empat kategori iaitu Platinum, Emas, Perak dan Gangsa berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Penilaian AIGA 2020 adalah bersifat 360 darjah dan sangat holistik.

Ini kerana kriteria-kriteria penganugerahannya mengambil kira elemen pensijilan MS ISO 37001:2016, Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

Amalan Tatacara Mencukupi (Adequate Procedure) melalui prinsip T.R.U.S.T turut disuntik dalam penilaian AIGA 2020. Anugerah ini juga diperkukuhkan dengan dimasukkan elemen undang-undang terutama Seksyen 17A Akta SPRM 2009 mengenai liabiliti korporat.

Anugerah yang buat julung kali diadakan ini mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila 41 organisasi dari sektor awam dan swasta di Pahang menyertainya.

Kesemua organisasi terbabit dinilai dengan mengukur usaha atau inisiatif dalam meningkatkan integriti, keberkesanan sistem pengurusan dalaman berfokuskan tadbir urus terbaik serta keberkesanan sistem kawalan dalaman bagi mengekang berlakunya rasuah.

Selain itu, penilaian dijalankan secara lebih inklusif merangkumi semua aspek meliputi pengurusan integriti, tadbir urus dan antirasuah. Kriteria yang ditetapkan mengambil inspirasi ABMS, Kod Tabir Urus Korporat Malaysia (2017) serta beberapa lagi keperluan undang-undang lain.

Majlis Penganugerahan AIGA diadakan pada 26 Oktober lalu menyaksikan 11 organisasi merangkul Anugerah Emas antaranya Majlis Daerah Cameron Highlands, Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.

Sebanyak 14 organisasi pula menerima Anugerah Perak dan lapan Anugerah Gangsa. Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

MEMACU

Dalam ucapannya, Mohd. Zuki berkata, penganjuran AIGA 2020 di peringkat negeri merupakan permulaan untuk mengangkat anugerah integriti itu di peringkat kebangsaan.

IIM menyambut baik cadangan untuk membawa AIGA ke peringkat seterusnya kerana ia merupakan platform terbaik untuk memacu agensi-agensi awam dan swasta ke arah membentuk organisasi berintegriti, tadbir urus baik dan menyokong inisiatif antirasuah.

Ia secara tidak langsung memberi kesan positif kepada peningkatan ranking Persepsi Indeks Rasuah (CPI) negara pada masa hadapan.

Melihat kepada kriteria yang ditetapkan serta sesi penilaian yang komprehensif, AIGA meletakkan satu standard yang tinggi di mana hanya organisasi yang benar-benar layak yang akan menerima anugerah.

Selain itu, setiap organisasi yang menyertai AIGA akan mendapat gambaran jelas mengenai kedudukan masing-masing iaitu sejauh mana keberkesanan usaha memantapkan integriti, tadbir urus dan antirasuah telah dilaksanakan.

Keterbukaan semua organisasi yang telah dan akan menyertai AIGA juga perlu diberi pujian kerana lumrahnya tidak semua suka dinilai dan menerima teguran.

Bukan sekadar teguran, organisasi yang menyertainya turut memperoleh banyak input yang dikongsikan oleh para penilai dan boleh dimanfaatkan dalam memperbaiki segala kekurangan.

Bagi organisasi yang mendapat Anugerah Emas, mereka tidak seharusnya berasa selesa dan mendabik dada, tetapi perlu terus konsisten dan komited untuk mendapatkan anugerah dalam kategori yang lebih baik pada masa hadapan.

Paling utama menetapkan tujuan yang jelas bahawa segala usaha yang dibuat bukanlah mendapatkan anugerah semata-mata, namun untuk meningkatkan integriti, tadbir urus dan antirasuah dalam organisasi masing-masing.

Bagi yang tidak berjaya pula, masih ada ruang dan peluang untuk mereka memperbaiki dan berusaha mencapai tahap lebih baik.

Usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Yayasan Pahang bersama IIM melaksanakan AIGA juga perlu dijadikan contoh.

Diharapkan lebih banyak agensi kerajaan dan bukan kerajaan tampil untuk sama-sama melaksanakan AIGA di peringkat lebih tinggi.

AIGA 2020 diharap menjadi penanda aras kepada kejayaan negara dalam meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan antirasuah bagi sektor awam dan swasta.

Malah, AIGA juga bertepatan dengan aspirasi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu Malaysia yang dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.

Sebagai sebuah agensi yang diamanahkan untuk membangunkan kapasiti dan kompetensi sektor awam dan swasta di Malaysia, AIGA merupakan salah satu inisiatif penting dianjurkan oleh IIM selain penawaran khidmat konsultansi, instrumen penilaian integriti dan program latihan.

IIM berharap usaha murni ini akan mendapat sokongan semua pihak dan cadangan membawa AIGA ke peringkat kebangsaan dapat direalisasikan sekali gus memberikan impak positif kepada negara dalam mengekang isu-isu salah laku rasuah, pecah amanah dan pelbagai lagi.

Dengan niat dan tujuan yang jelas, tidak mustahil pada masa akan datang AIGA akan menjadi agenda utama negara kita!

PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif IIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×