SEAWAL usia 18 tahun, anak-anak muda di Malaysia berpeluang sama-sama mencorak pemerintahan negara melalui undi bermula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal menjelang. Sumbangan mereka besar.
Dikatakan purata kuasa undi di tangan mereka (berusia 18 hingga 21 tahun) adalah sekitar 30 peratus di setiap kawasan pilihan raya negeri dan Parlimen terutama di bandar. Sokongan mereka tentulah akan menampilkan manifestasi cita rasa dan kemahuan mereka terhadap pola kuasa politik tanah air.
Memungkinkan suasana ‘segar’ dan ‘muda.’ Baguslah! Barangkali boleh menjadikan gerak urus tadbir yang lebih mantap, kemas dan bergaya.
Jika itu berlaku, maka ternyatalah konsep Undi18 akan berjaya. Mampu menambah suburkan suasana kehidupan di bumi Malaysia khususnya menerusi anutan politik.
Anak-anak muda ini dikatakan akan bangkit menyumbang ke arah kehidupan lebih selesa dan bertenaga. Dan mereka tahu tahap ukuran keselesaan yang mereka mahu.
Namun, di sana sini mula menyuarakan kebimbangan. Ramai yang sangsi dengan daya kesedaran berpolitik dalam kalangan anak-anak muda untuk mereka membuat pilihan pada hari mengundi. Sejauh mana pedulinya anak-anak muda seawal usia 18 tahun ini terhadap kepentingan mengundi? Undi untuk calon mana, dari parti mana?
Tahukah mereka tentang kaitan politik dan kuasa?
Apa pun, ketetapan Undi18 sudah dibuat. Cabaran besar bagi kalangan anak-anak muda yang diberi kelayakan mengundi ini adalah untuk membuktikan peluang yang mereka peroleh itu dapat diterjemahkan dalam erti kata dapat menyumbang demi menambah kesejahteraan negara atau sebaliknya mengundang bimbang dan kesangsian sama ada mereka boleh membentuk suatu landskap politik selari dengan aspirasi serta keperluan asas struktur kenegaraan yang sedia dianuti sejak sekian lama.
Cabaran juga bagi mereka untuk menangkis persepsi umum bahawa kalangan mereka hanya tahu berpelesiran, berhibur atau bermotosikal tanpa arah tujuan. Apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang terjebak dengan najis dadah. Kebanyakan mereka adalah Melayu?
Dengan berpandukan corak pemikiran politik anak-anak muda pada PRU-14 lalu, ada pemerhati mendapati ramai anak muda yang layak mengundi seawal usia 21 tahun membuat pilihan dengan pengaruh sentimen dan emosi. Umpamanya, ada yang terikut-ikut dengan isu-isu seperti kleptokrasi.
Mereka membenci, marah dan mencemuh mana-mana parti atau pemimpin ekoran dipengaruhi rakan atau kenyataan-kenyataan negatif melalui media sosial. Jauh sekali untuk mereka memikirkan tentang survival bangsa.
RASIS
Sedangkan kelayakan mengundi yang diperoleh mana-mana individu tanpa mengira usia perlu dihadirkan bersama perasaan penuh bertanggungjawab dalam membuat pilihan, bukan sekadar menunaikan hak yang dimiliki. Mereka tidak perlu terdorong oleh hasutan pihak-pihak tertentu yang tersirat agenda tidak sihat seperti berbaur rasis atau perkauman.
Ada yang membuat perbandingan tahap pemikiran politik anak-anak muda di beberapa negara luar. Misalnya, melalui perbualan dengan anak-anak muda di bawah usia 20 tahun di United Kingdom. Didapati anak-anak muda di sana sangat matang membezakan ideologi politik. Tahu apa itu ideologi kiri atau kanan atau tengah dan memahami istilah nasionalis atau rasis.
Mereka rata-rata dikatakan sudah tahu menilai apa itu janji-janji pilihan raya dan sejauh mana janji-janji itu ditunai. Pun juga, mereka dikatakan pandai menilai di antara berita-berita palsu atau sahih dan mengenali berita-berita yang berbentuk meracun pemikiran.
Di sesetengah negara, pendidikan politik diajar sejak usia 10 tahun. Ada kalangan kanak-kanak ini boleh berbicara tentang politik secara terbuka di televisyen. Sementara itu, Australia boleh dijadikan rujukan dalam isu pendidikan sivik dan pengundi. Pusat Pendidikan Pilihan Raya Kebangsaan Australia bertanggungjawab memberi pendidikan pengundi bagi mempelajari apa itu demokrasi dan makna pilihan raya.
Lalu dalam konteks di Malaysia, ramai yang menyarankan sebarang ketetapan mana-mana peraturan yang dibuat mesti diiringi atau disertai dengan proses mendidik, memandu arah supaya matlamat sebenar dapat dicapai. Rakyat tidak mahu lagi mendengar istilah ‘terlanjur’ atau ‘kesal’ seperti “Kenapa dimansuhkan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA)?”, “Kenapa digantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST)?” dan beberapa contoh lain.
Peranan besar sekarang terletak pada institusi-institusi tertentu bagi memberi panduan kepada golongan Undi18 ini termasuk keluarga, pendidikan, agama, agensi atau jabatan serta individu berpengaruh. Mereka perlu dipandu agar peluang mengundi yang diberi benar-benar membawa manfaat kepada agama, bangsa dan tanah air.
Tegasnya, isu Undi18 perlu ditangani dengan padu dan cermat. Kata sesetengah pemerhati, Undi18 secara automatik ada risiko dan boleh menjadi gempa yang tidak dijangka. Beringat-ingatlah!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










