SETIAP negara mempunyai visi atau wawasan tersendiri dalam membentuk pentadbirannya agar lebih efisien dan berdaya saing. Tidak terkecuali Turki yang sentiasa menjadi bualan dan perhatian dunia.
Visi Turki 2023 atau Turkiye Hazir, Hedef 2023 yang bakal tiba setahun lebih nanti sangat menarik untuk dibahas melihatkan ia mencakupi aspek-aspek penting. Visi yang dicadangkan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2010 itu memfokuskan kepada ekonomi, tenaga, polisi luar negara, kesihatan, pelancongan dan pengangkutan.
Menariknya, 2023 dipilih seiring dengan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Republik Turki pada 29 Oktober 1923 menggantikan Empayar Turki Uthmaniyah yang runtuh setelah menguasai dunia lebih 600 tahun.
Berbicara dari sudut ekonomi, Turki menyasarkan menjadi antara 10 negara dengan ekonomi terbesar dunia.
Namun, melihat dalam konteks negara-negara Islam, ekonomi Indonesia adalah yang terbesar memintas Arab Saudi dan Turki beberapa tahun lepas.
Bagaimanapun, terdapat pelbagai rintangan dan cabaran dalam mengukuhkan ekonomi Turki seperti krisis mata wang lira yang turun mendadak sejak beberapa tahun lalu dan kegagalan kudeta untuk menjatuhkan Presiden Erdogan pada 2016. Selain itu, keutamaan pelaburan infrastruktur (lebuh raya, kereta api, lapangan terbang, empangan dan pengairan) yang akan menyokong produktiviti ekonomi secara sederhana dan penuh turut diberi perhatian serius.
Kota metropolitan Istanbul pula diharapkan menjadi salah satu daripada 10 pusat kewangan tertinggi di dunia. Untuk tujuan tersebut, perkara-perkara utama seperti sumber manusia, fizikal, teknikal, undang-undang dan langkah-langkah cukai ditumpukan.
Visi Turki 2023 turut meletakkan sasaran untuk mencipta sekurang-kurangnya 10 jenama tempatan yang dikenali di seluruh dunia. Antaranya sudah tentu dalam industri fesyen dan jenama pakaian yang rata-ratanya dikenali rakyat kita bahkan ada beberapa cawangan di tanah air seperti LC Waikiki, De Facto dan Mavi.
Pengangguran disasarkan berada pada paras lima peratus sementara golongan yang bekerja 50 peratus.
Dalam artikel lepas, saya berkongsi kejayaan sistem pertahanan Turki yang semakin gah mendapat perhatian dunia seperti keupayaan dron Bayraktar TB2. Kejayaan awal ini menunjukkan Turki sedang berada di landasan yang tepat dalam pembangunan sistem pertahanan kebangsaan dan cuba memonopoli pasaran dunia.
Baru-baru ini, saya menemu bual seorang pelajar Malaysia di Turki, Nuramirah Shahrin, 30, bagi mendapatkan pandangannya tentang visi Turki 2023. “Tumpuan dari segi kebajikan rakyat dan pendidikan masih diteruskan. Program biasiswa Turki masih wujud dalam memberi peluang kepada pelajar dari seluruh dunia dan rakyat tempatan menuntut di Turki.
“Tambahan pula, sasaran untuk memperkenalkan bahasa dan budaya Turki juga dilihat berjaya dengan penubuhan Institut Yunus Emre (YEE) di 48 negara dengan 58 pusat budaya,” kata pelajar tahun ketiga ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sejarah di Universiti Ibn Haldun, Istanbul itu.
Menurutnya, menjelang 2023, sebanyak 100 lagi pusat kebudayaan dirancang untuk dibuka.
FILEM
Bercakap tentang pusat kebudayaan, sebenarnya sejak sedekad lalu Turki memulakan kaedah kuasa lembut dalam memenangi hati masyarakat dunia menerusi filem-filem yang semakin hari semakin terkenal terutama dalam kalangan negara-negara Islam seperti Pakistan dan Malaysia. Apa yang lebih menarik, filem-filem Turki yang ditayangkan di seluruh dunia adalah berkualiti tinggi memfokuskan sejarah Islam era Uthmaniyah seperti Ertugrul, Kurulus Osman, Selcuk dan Payitaht.
Bayangkan, filem-filem ini berjaya mendorong orang kita melancong ke Turki termasuk anak-anak muda untuk melanjutkan pengajian ke sana.
Selain itu, kelas bahasa Turki juga tumbuh bak cendawan di setiap pelosok dunia termasuk Afrika. Di Malaysia, selain YEE, bahasa Turki juga sudah mula diajar di beberapa universiti seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Management and Science University (MSU).
Nuramirah yang juga graduan ijazah sarjana dalam bidang Sejarah Islam, Universiti Marmara, Istanbul pada 2019 turut menyatakan, visi Turki 2023 dapat memberi kesan secara langsung kepada Malaysia dalam beberapa aspek.
“Pertama, dari segi pertahanan di mana lebih banyak kerjasama antara kerajaan dan swasta kedua-dua negara boleh dijalin. Pembelian aset ketenteraan serta pertukaran teknologi menjadi agenda utama Malaysia dan Turki.
“Kedua, dari segi ekonomi di mana sejak perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia dan Turki, banyak syarikat Turki melabur dalam pasaran Malaysia dan kita dapat lihat peningkatan dalam aktiviti import dan eksport antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Hasrat Turki untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) merupakan antara visi yang menarik untuk dikupas. Menurut Ketua Editor Tamindir, Ramazan Kahraman, setelah krisis ekonomi 2008, pandangan Eropah terhadap Turki berubah sama sekali.
“EU sentiasa cuba menghalang Turki daripada bergabung dengannya sejak awal lagi. Selain itu, Eropah berasa rungsing melihatkan jumlah perwakilan di Parlimen berdasarkan jumlah keseluruhan penduduk telah mencukupi,” katanya.
Maka, sekiranya Turki menjadi anggota EU, ia akan menjadi salah satu negara dengan perwakilan paling banyak di Parlimen.
“Saya tidak fikir mana-mana negara Eropah inginkan keputusan EU dipengaruhi oleh Turki,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, integrasi penuh dengan EU boleh menghancurkan keseluruhan ekonomi Turki. Paling tidak, ia dapat memusnahkan daya saing pengeluaran tempatan sepenuhnya.
“Pendek kata, tidak mungkin untuk Turki menjadi anggota EU dalam masa terdekat. Lebih-lebih lagi, tidak ada parti politik di Turki yang membuat kenyataan mengenainya,” ujarnya.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










