Skema, nakal: Mana pilihan majikan? - Utusan Malaysia

Skema, nakal: Mana pilihan majikan?

SETIAP pelajar perlu memiliki keseimbangan dalam hal ehwal pembelajaran mahupun aktiviti di luar bilik kuliah. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMESTER pertama sesi 2021/2022 sudah pun bermula di kebanyakan institusi pengajian tinggi.

Bagi pelajar kemasukan baharu yang memakai tag nama ‘mahasiswa’, perlulah sedar dan tahu apakah matlamat dan perjuangan yang perlu diangkat sepanjang berada di universiti.

Apakah strategi dan kaedah pembelajaran yang perlu dibudayakan agar di penghujung destinasi pengajian kelak akan membuahkan sesuatu yang bermakna sebagai bekal memasuki fasa seterusnya iaitu semasa bekerja?

Tidak kiralah sebelum atau selepas negara dilanda pandemik Covid-19, menjadi satu kebiasaan untuk kita bertemu dengan dua kutub personaliti dalam kalangan mahasiswa.

Pertama, ulat buku yang kelihatannya sangat cenderung kepada perkuliahan, pembacaan, setia menelaah dan mensintesis setiap inci ilmu yang diperturunkan oleh pensyarah.

Golongan ini lazimnya juga dipanggil ‘skema’ (nerd) lantaran dedikasi tinggi mereka dalam akademik.

Aktiviti selain akademik tidak dipandang, bahkan dianggap mengganggu fokus mereka untuk meraih keputusan cemerlang setiap semester.

Golongan kedua, mereka yang terfokus kepada aktiviti selain di bilik kuliah (‘nakal’), tidak kiralah sibuk berpersatuan, menyertai pelbagai aktiviti kesukanan, mahupun aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Pada hemat golongan ini, minat dan kecenderungan perlu dirai, lantaran medan dan peluang sangat terbuka luas disediakan, digabung pula dengan sifat keremajaan mereka yang suka bereksperimentasi dengan sesuatu yang baharu.

Namun, persoalannya di sini, benarkah ulat buku akan selalunya mendominasi pentas kejayaan apabila bergelar pekerja kelak?

Begitu juga halnya dengan mereka yang terlalu aktif berpersatuan dan menjalani aktiviti luar, bolehkah mereka berdiri di atas kaki sendiri atau mempunyai kelebihan untuk memenangi hati bakal majikan bila tamat pengajian tanpa keputusan peperiksaan secemerlang ulat buku?

Memetik pandangan cendekiawan Islam, Yusuf al-Qardhawi, satu-satu generasi yang mengikuti sesebuah sistem pendidikan perlu bersandarkan kepada realiti dan keilmuan.

Generasi ini adalah generasi yang berlepas daripada segala sangkaan dan berhukum dengan keilmuan dan kebenaran yang nyata.

Pelajar di universiti merupakan generasi yang dimaksudkan oleh Yusuf al-Qardhawi dengan syarat mereka tidak terlalu ekstrem kepada salah satu daripada dua kutub personaliti yang disebutkan di atas tadi.

EMOSIONAL

Persatuan Psikologi Amerika Syarikat (AS) menjalankan kajian pada 2015 dalam kalangan alumni universiti-universiti di seluruh negara itu mengenai bakat, kebolehupayaan dan kebolehpasaran mereka dalam tempoh lima tahun pertama bekerja.

Salah satu daripada dapatan kajian menyerlahkan hampir 85 peratus alumni yang baru sahaja bekerja ini percaya keseimbangan dalam konteks akademik dan bukan akademik atau kokurikulum sepanjang pengajian di universiti sangat-sangat membantu menyerlahkan potensi, kompetensi dan sikap yang dikehendaki oleh majikan mereka.

Islam adalah agama fitrah, dan fitrah manusia selalu menginginkan keseimbangan. Dengan keseimbanganlah alam ini berjalan teratur.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan(mu), dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?” (Al-Mulk: 3).

Sesungguhnya, keseimbangan yang disebut Allah SWT inilah yang menjadi roh dan inti pati ajaran Islam.

Sebagai seorang bakal graduan di universiti awam mahupun swasta, setiap pelajar perlulah memiliki keseimbangan dalam hal ehwal pembelajaran mahupun aktiviti lain di luar bilik kuliah, bukan terlalu fokus kepada salah satu daripadanya.

Tuntasnya, keseimbangan yang harus ada pada seseorang pelajar itu terbahagi kepada dua dimensi utama iaitu, keseimbangan dalaman dan keseimbangan luaran.

Keseimbangan dalaman diperihalkan melalui kemampuan memenuhi hak peribadi secara adil dalam aspek fizikal (kesihatan tubuh badan), emosional (perasaan yang bersih), mental (fikiran yang jernih) dan spiritual (hubungan dengan Allah SWT yang terbaik).

Keseimbangan luaran pula adalah kemampuan memenuhi hak-hak manusia lain yang berada di sekeliling pelajar tersebut.

Berteraskan nilai keseimbangan dalam kehidupan sebagai pelajar di universiti, peluang yang luas telah sekian lama diberikan oleh universiti untuk menonjolkan diri dalam bidang berteraskan akademik, keusahawanan, inovasi, kebudayaan, kepimpinan, pengurusan, sukan dan lain-lain.

Peluang-peluang ini bertujuan membentuk graduan yang holistik dan seimbang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Graduan berkenaan memiliki disiplin ilmu yang relevan, akhlak dan penetapan minda sesuai, tingkah laku dan beradab untuk memajukan diri bagi membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemajuan keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global.

Kesepaduan dalam menyediakan pelbagai inisiatif dan program mencipta ruang yang luas untuk pelajar berdikari, membina keupayaan diri, serta berkarya mengikut kekuatan diri masing-masing.

Natijahnya, lahirlah generasi pelajar yang bukan sekadar menjadi tokoh dalam aspek akademik malah menjadi profesional yang seimbang dalam penglibatan dan sumbangan bukan akademik untuk berjasa kepada bangsa dan negara serta menjadi penyelesai kepada masalah ummah.

Kepada semua mahasiswa baharu, selamat datang ke dunia pengajian tinggi.

DR. Khairunneezam Mohd. Noor ialah Ketua Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×