MUKADIMAH
BEKAS Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang membidas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, DATUK SERI AB. RAUF YUSOH dengan dakwaan sering campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Dakwanya, apa sahaja persetujuan yang termaktub dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dikatakan perlu mendapat ‘perkenan’ Ab. Rauf terlebih dahulu.
Ab. Rauf yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sidang akhbarnya sebelum ini menafikan dakwaan berkenaan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AMRAN MULUP, bekas Setiausaha Kerja UMNO itu mengulas lanjut perkara itu dalam pertemuan di Villa D’Aqua, Masjid Tanah, semalam.
UTUSAN: Idris sekali lagi mendakwa Ketua Menteri hanya mengikut arahan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Komen Datuk Seri?
AB. RAUF: Saya tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh bekas Ketua Menteri yang mengatakan ada campur tangan saya dalam urusan kerajaan negeri. Saya yakin, sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri pun, beliau tahu peranan seorang Ketua Menteri dan perjalanan mesyuarat Exco itu sendiri.
Saya secara peribadi tidak pernah campur tangan dalam urusan harian kerajaan negeri. Saya hormati kerajaan negeri dan tahu peranan saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, iaitu menjaga hal politik negeri, bukan menjaga hal ehwal kerajaan yang diterajui oleh Sulaiman.
Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Ketua Menteri tetapi saya menghormati kedudukan beliau. Saya tidak pernah campur tangan dalam mana-mana urusan.
Saya juga menyatakan urusan-urusan kerajaan ini adalah yang diuruskan oleh seorang Ketua Menteri dan barisan Exconya.
Dari segi tanggungjawab Datuk Seri sebagai Yang Dipertua DUN, ada campur tangan?
Secara rasmi saya telah dilantik sebagai Speaker, saya menggariskan satu garis panduan yang patut dan layak sebagai seorang Speaker serta patut dan layak sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Walaupun Ketua Menteri itu adalah salah seorang ahli politik, datang dari Masjid Tanah tetapi saya menghormati kedudukan beliau selaku ketua kerajaan negeri. Beliau seharusnya dihormati. Jadi, saya menyarankan bekas Ketua Menteri (Idris) ini mestilah faham dengan perjalanan kerajaan negeri yang pernah beliau terajui dan bagaimana keputusan-keputusan Exco dibuat.
Saya menjadi pelik, kalau beliau tidak berpuas hati dengan perjalanan kerajaan yang diterajui Sulaiman selama 19 bulan, sepatutnya mestilah disuarakan dalam tempoh tersebut.
Jadi, apa tujuan sebenar Idris?
Beliau menjalankan gerakan untuk meruntuhkan kerajaan negeri dan bekerjasama dengan parti-parti yang pernah menerajui kerajaan negeri sebelum ini. Hari ini, beliau mendedahkan yang pada hemat beliau kerosakan yang telah dibuat oleh Ketua Menteri sedia ada. Saya yakin usaha Idris untuk menghalalkan ini, hanyalah untuk mencapai matlamat, dialihkan isu kepada saya.
Isu sebenarnya, beliau berhasrat untuk menjadi Ketua Menteri balik. Apabila hasrat itu tidak tercapai, maka beliau mengalihkan pandangan dalam satu tohmahan yang dibuat. Jelas kita dapat menilai keperibadian beliau sebagai Ketua Menteri yang pernah menerajui kerajaan negeri.
Bagaimana Datuk Seri menghadapi situasi ini?
Sebagai seorang ahli politik, saya menerima apa juga tohmahan dan cemuhan kerana sebagai seorang pemimpin politik, kita mesti bersedia untuk menerima cemuhan dan juga asakan daripada mana-mana pihak yang menganggap kita sebagai ancaman kepada karier politik seseorang itu.
Dalam isu ini, saya sangat terbuka melihat asakan dan cemuhan ini sebagai satu cabaran kepada saya untuk menerajui Barisan Nasional (BN) bagi memenangi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Jadi, Datuk Seri hanya akan mendiamkan diri?
Saya boleh bercakap macam-macam pasal beliau, tetapi perlukah saya memberi maklum balas dengan apa yang diperkatakan kepada saya? Perlukah saya menceritakan pula keburukan beliau? Itu bukan cara saya. Kata orang Melayu, hendak tahu perkara yang baik, tanya rakan yang baik. Tapi kalau hendak tahu perkara tidak baik, tanyalah rakan yang menceritakan segalanya tidak baik.
Jadi, saya harap rakyat Melaka dapat menilai kerosakan yang telah dibuat dengan terbina kerajaan yang saya katakan selama ini, tidak dapat dalam mana-mana penggal pilihan raya yang lepas. Apabila sebuah kerajaan yang 100 peratus di dalamnya adalah kepimpinan daripada ADUN Melayu, diruntuhkan oleh ADUN-ADUN yang bersama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk meruntuhkan kerajaan negeri.
Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri yang memberikan penerangan yang jauh terbabas daripada agenda sebuah perjuangan yang telah diasuh dan dididik oleh UMNO untuk membela masyarakat dan menerajui sebuah kerajaan negeri.











