SEDARKAH kita bahawa negara kini berada di ambang endemik? Dua tahun kebelakang adalah fasa pandemik yang cukup getir apabila kita terpaksa menyaksikan episod penularan wabak Covid-19 secara besar-besaran yang telah mengorbankan sebahagian besar populasi dunia termasuk Malaysia.
Di saat Kementerian Kesihatan mengumumkan sudah tiba masanya untuk negara memasuki fasa endemik, kita harus menerima kenyataan bahawa Covid-19 akan berada di sekitar kita.
Endemik bermaksud kita harus menerima hakikat dan belajar untuk hidup bersama virus tersebut dalam norma baharu. Ia adalah kejadian sesuatu penyakit yang dijangka sentiasa wujud dalam sesuatu masyarakat atau tempat.
Jika disoroti sejarah awal penularan wabak Covid-19 dalam negara kita, ia bermula pada akhir Januari 2020 apabila Kementerian Kesihatan melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menerima laporan terdapat tiga kes iaitu dua di Sabah dan satu di Selangor disyaki dijangkiti coronavirus 2019 (2019-nCoV).
Rentetan itu, jangkitan kes baharu mula berlaku dan kementerian mengenal pasti hospital-hospital di seluruh negara bagi mengendali kes disyaki jangkitan 2019-nCoV yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Jawatankuasa untuk membendung wabak ini turut diselaraskan melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Akhirnya, pada 31 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan coronavirus sebagai darurat kesihatan dunia.
Berikutan ancaman wabak yang semakin menular dalam negara, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dalam empat fasa selama 47 hari, mulai 18 Mac sehingga 3 Mei 2020.
Setelah itu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei hingga 9 Jun 2020 tetapi seluruh rakyat tidak dibenarkan merentas negeri dan umat Islam juga tidak boleh pulang ke kampung meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaannya.
Pada 1 Januari 2021, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara diperkenalkan sehingga akhir Mac 2021.
Terkini, negara memasuki fasa pemulihan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang terdapat empat fasa. Fasa 1 melibatkan PKP menyeluruh dan pembukaan perkhidmatan perlu sahaja.
Fasa 2 pula meliputi perluasan senarai positif yang mana sektor sosial kekal ditutup. Pada fasa 3, ia melibatkan senarai negatif yang mana sektor sosial dibuka secara berperingkat manakala fasa 4 bakal menyaksikan pembukaan penuh sektor sosial.
PPN adalah langkah keempat dalam Strategi Pemulihan Ekonomi Negara yang melibatkan 6R (resolve, resilience, restart, recovery, revitalise dan reform). Ia diintegrasikan sepenuhnya dengan inisiatif memperkasa di bawah Bajet 2022 dan inisiatif menyusun semula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, RMK12 dirangka dengan mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih cerah.
Strategi PPN merangkumi empat fasa dan membabitkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
Kejayaan negara mengharungi fasa pertama disebabkan oleh negeri-negeri telah memenuhi indikator nilai ambang kes harian terbaru, penurunan penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan peningkatan kadar vaksinasi. Terkini, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa telah melebihi 86 peratus dan sebanyak 94 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagaimanapun, disebabkan penularan varian Delta, langkah kerajaan adalah memastikan populasi penduduk yang telah divaksin adalah seramai mungkin. Sebelum ini, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan peralihan fasa telah diumumkan oleh Perdana Menteri bagi negeri-negeri fasa 1, 2, 3 dan 4 termasuk di Terengganu.
Selain pelaksanaan PPN, hebahan melalui siaran digital dan media sosial giat dijalankan untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada seluruh rakyat.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga mencadangkan mewujudkan pusat kawalan komunikasi (CCC) bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat kepada golongan sasar.
Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri (DCCJPM) sentiasa giat menyokong inisiatif kerajaan dengan berkongsi pelbagai maklumat sahih dan turut bersama melakukan hebahan di media sosial.
Rakyat pula diharapkan dapat menyahut usaha kerajaan melalui budaya komunikasi berhemah. Segala maklumat sahih mengenai inisiatif kerajaan, program kesihatan, kaedah penjagaan keselamatan diri ketika di luar rumah perlu sentiasa dikongsi bersama ahli keluarga.
Komuniti di kejiranan pula perlu saling bertanya khabar dan pihak bertanggungjawab perlu tangkas dalam membantu komuniti yang terjejas agar tiada lagi episod kibaran bendera putih berlaku.
Keputusan kebenaran untuk merentas negeri yang bakal diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh Keluarga Malaysia.
Dalam kita merancang perjalanan balik ke kampung atau bercuti, pematuhan kepada SOP harus sentiasa diingat. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh Keluarga Malaysia dalam melindungi diri daripada varian Delta yang cepat merebak dan bermutasi.
Bersedia atau tidak, seluruh Keluarga Malaysia perlu bersama-sama mengharungi fasa endemik dengan semangat Keluarga Malaysia yang sentiasa cintakan kebersamaan, pematuhan kepada undang-undang, keprihatinan terhadap persekitaran serta mempraktikkan budaya tolong-menolong sesama kita.
Setelah melalui fasa pandemik yang menekan, semua pihak telah bersolidariti atas semangat Keluarga Malaysia untuk bangkit. Inilah antara nilai unik Keluarga Malaysia.
Kesimpulannya, kita harus sentiasa berbangga dan menyemat kemas saat disatukan sebagai Keluarga Malaysia.
Anjakan ke fasa endemik ini tidak akan sesekali merubah nilai-nilai kekeluargaan malah menjadi semakin subur apabila konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan.
Ia umpama selembar benang, lama-lama menjadi kain. Ayuh Keluarga Malaysia! Bersama kita mengharungi cabaran endemik ini demi mencapai komuniti yang progresif dan berdaya saing.
DATUK Seri Dr. Junaidy Abu Bakar ialah Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri (DCCJPM) dan Dr. Suharmili Rosle ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).











