Meraikan bulan kelahiran Rasulullah - Utusan Malaysia

Meraikan bulan kelahiran Rasulullah

GUA Hira’ tempat turunnya wahyu pertama sekali gus mengesahkan pelantikan insan mulia, Muhamad bin Abdullah sebagai nabi akhir zaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap tahun apabila masuk bulan Rabiulawal, pasti umat Islam akan memperingati peristiwa keputeraan Nabi Muhammad SAW di Mekah. Insan istimewa, kekasih Allah yang membawa rahmat ke sekalian alam.

Ia sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sungguh Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. (al-Anbiya’: 107)

Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan. Ia dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT.

Jika ditelusuri sejarah pada zaman jahiliah, selain penuh dengan kesyirikan kerana menyembah berhala, manusia hidup bergelumang dengan dosa. Arak, zina dan penindasan terutama terhadap wanita amat berleluasa.

Baginda SAW melalui dakwah yang penuh dengan pancaroba selama kira-kira 23 tahun akhirnya berjaya mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

Risalah tauhid itu pula disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun mendapat manfaat. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

Rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW mengatasi segala pemikiran dan sempadan berpandukan wahyu dan hidayah Allah SWT.

Melalui wahyu dan petunjuk Allah SWT sahajalah akan membawa manusia kepada jalan kebenaran dan kejayaan.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah beramal dengan sunnah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW, para sahabat baginda dan para salafusoleh yang telah dapat petunjuk daripada Allah SWT.

Ahli sejarah berbeza pandangan tentang tarikh keputeraan baginda SAW. Antara pandangan itu ialah 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 531 Masihi. lni adalah pandangan lbn lshaq, al-Zahabi dan al-Tabari.

Satu lagi tarikh yang disebut ialah 9 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 571 Masihi. Ini adalah pandangan Sheikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya Al-Rahiq AI-Makhtum.

Di Malaysia, kita menyambut Maulid Rasul pada setiap 12 Rabiulawal bersamaan 19 Oktober ini. Namun, sejarawan sepakat tentang tahun kelahiran baginda iaitu Tahun Gajah.

Walaupun, kita menyambut ulang tahun kelahiran baginda SAW setiap tahun, masih ramai yang gagal mengenali ciri-ciri dan keperibadian baginda, insan mulia penutup segala nabi.

CIRI FIZIKAL NABI SAW

Daripada Rabiah bin Abdul Rahman, beliau mendengar Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan pendek. Warna kulitnya tidak terlalu putih dan tidak terlalu merah. Rambutnya tidak keriting dan tidak pula terlalu lurus. ALLAH SWT mengutuskan Baginda sebagai Rasul ketika umurnya 40 tahun. Lalu Baginda tinggal di Makkah selama 10 tahun dan di Madinah selama 10 tahun. Baginda diwafatkan ALLAH SWT pada umur 60 tahun. Di kepalanya dan di janggutnya tidak sampai 20 helai uban. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengenai kulit baginda sebagai tidak terlalu putih dan tidak terlalu merah membawa maksud kulit Nabi SAW berada di pertengahan antara putih dan merah iaitu putih kemerah-merahan.

Walaupun ramai yang beranggapan Nabi Yusof adalah yang paling kacak dalam kalangan para nabi, sebenarnya Rasulullah SAW juga adalah manusia kacak yang diibaratkan wajahnya cantik bak bulan.

Ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ishak, dia menceritakan seorang lelaki bertanya al-Bara’ bin Azib r.a: Adakah wajah Rasulullah SAW umpama pedang (iaitu bercahaya atau berkilat seperti pedang atau panjang sepertinya)? Jawab beliau: Tidak, akan tetapi wajah (baginda) seperti bulan. (Sahih al-Bukhari)

AMALAN NABI

Orang yang kasihkan Nabi SAW akan sentiasa mencontohi amalan baginda. Antaranya, mengerjakan solat malam. Walaupun ia sukar dilaksanakan tetapi kita mestilah berazam menunaikannya kerana qiamullail itu amalan orang beriman. Mulakanlah dengan solat sunat yang ringan supaya tidak rasa terbeban.

Ini juga disebut dalam hadis baginda SAW yang bermaksud: Apabila seseorang daripada kamu bangun pada waktu malam (untuk mengerjakan solat malam), mulakanlah solat dengan rakaat yang ringkas. (Sahih Muslim)

Antara hikmahnya adalah tidak menimbulkan kejutan pada badan dan otot-otot dengan terus melakukan ibadat yang berat. Ini juga supaya kita dapat mengekalkan momentum beribadat dan menambahkan bilangan solat sunat sedikit demi sedikit tetapi istiqamah.

Solat malam Nabi SAW adalah 11 rakaat. Satu rakaat daripadanya adalah solat witir.

Selain mencontohi baginda dalam ibadat fardu, marilah berazam mencontohi baginda dalam ibadat-ibadat sunat. Selain itu sentiasa basahkan lidah dengan berselawat ke atas baginda. Ini juga antara bukti kita cintakan Nabi SAW.

INFO

Nabi Muhammad SAW
» Nama: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf.
» Nama Gelaran Lain: Al-Amin, As-Saadiq, Rasul Allah dan Abu al-Qasim
» Tarikh Lahir: Subuh Isnin 12 Rabiulawal/20 April 571M (dikenali sebagai Tahun Gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang Kota Kaabah).
» Tempat Lahir: Di rumah Abu Talib, Mekah.
» Nama Bapa: Abdullah bin Abu Muttalib bin Hashim. Meninggal dunia ketika baginda dalam kandungan.
» Nama Ibu: Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf. Meninggal dunia ketika nabi berusia 6 tahun.
» Pengasuh Pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah)
» Ibu Susu Pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
» Ibu Susu Kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Aa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)
» Nabi SAW mempunyai 11 isteri. Yang pertama ialah Khadijah Khuwailid. Hanya seorang yang dara semasa bernikah dengan baginda iaitu Aisyah Abu Bakar.
» Baginda mempunyai lapan anak (tujuh daripadanya daripada perkahwinan dengan Khadijah dan seorang anak bersama Mariyah al-Qibtiyah).
» Mempunyai sembilan cucu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×