WALAUPUN dalam keadaan negara masih bergelut dengan wabak Covid-19, setelah saya berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kita meneruskan penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada tahun ini.
Ia bermula 22 Oktober lalu sehingga semalam dan disiarkan pukul 9 malam di saluran rasmi TV1 dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia.
Penganjuran pada tahun ini berlangsung dalam suasana norma baharu dan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Majlis tilawah al-Quran kali ini ada sedikit kelainan yang ditampilkan. Pada malam-malam tersebut, kita mendengar alunan bacaan ayat al-Quran daripada johan-johan qari dan qariah majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dari seluruh negara.
Ia berkonsepkan persembahan bacaan dan tidak melibatkan sebarang pertandingan. Ia juga sebahagian pengiktirafan kerajaan kepada jasa para qari dan qariah negara yang sentiasa memartabatkan ilmu pengajian al-Quran.
Selain bacaan ayat al-Quran, kali ini Jakim dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat inovasi dalam aspek persembahan tadabbur (perenungan) al-Quran menggunakan teknik kesan visual realiti terimbuh atau augmented reality (AR), di mana objek visual janaan komputer akan ditambah pada pemandangan dunia sebenar.
Saya mahukan inovasi ini dilakukan untuk menarik lebih ramai tontonan anak muda bagi menghayati inti pati kandungan al-Quran. Inilah antara usaha yang akan terus dilakukan oleh agensi hal ehwal Islam secara berterusan.
Ketika ucapan saya merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim ke-29 baru-baru ini, saya menyeru para graduan huffaz untuk turun ke lapangan dakwah mendekati anak-anak muda menyebarkan kemuliaan mukjizat al-Quran termasuk di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan TikTok.
Apabila diundur terowong waktu, majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan adalah salah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh kerajaan sejak 1960 manakala peringkat antarabangsa kali pertama dianjurkan pada 9 Mac 1961.
Maka tidak hairanlah, majlis tilawah al-Quran yang dianjurkan negara telah menjadi model rujukan dunia dalam penganjuran majlis tilawah di negara-negara Islam.
KITAB PANDUAN
Al-Quran menjadi pedoman kehidupan buat orang yang bertakwa. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’, ayat 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”
Majlis tilawah al-Quran ini ingin mengajak umat Islam agar sentiasa menekuni dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran. Dalam keadaan masyarakat sedang berhadapan dengan krisis kesihatan, tentunya al-Quran perlu menjadi sahabat setia yang akan memberikan ketenangan apabila dibaca.
Apabila al-Quran ditadabbur, ia akan menyuntik keinsafan selain menjadi sumber ilmu. Umat Islam perlu kembali berpegang kepada ajaran al-Quran.
Al-Quran yang diturunkan bukan setakat mengandungi ajaran mengenai akidah dan akhlak semata-mata tetapi juga menjadi suluhan dalam lapangan kehidupan dan sumber tamadun yang syumul.
Apabila menghayati nilai-nilai panduan al-Quran, kita semua dapat menikmati sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera, bersatu padu, hormat-menghormati serta saling bertolak ansur sesama kita.
Sebagai contoh, formula Ilahi yang terakam dalam surah Al-Hujurat ayat 11 sehingga 13, mengangkat tema adab bermasyarakat.
Melalui ayat-ayat tersebut, terdapat tujuh adab bermasyarakat yang dipandukan oleh al-Quran:
1. Jangan mencemuh dan merendah-rendahkan pihak lain.
2. Jangan membuka keaiban orang.
3. Jangan memanggil gelaran buruk kepada orang.
4. Jauhilah sangkaan buruk kepada orang.
5. Jangan mencari-cari kesalahan orang.
6. Jangan mengumpat orang.
7. Bertaaruf, saling berkenalan antara satu sama lain.
Saya ingin mencadangkan supaya surah Al-Hujurat ini dijadikan pengisian tadabbur yang dibacakan di rumah bersama keluarga termasuk dikupas para penceramah di masjid dan surau agar ia dijadikan suluhan akhlak dalam berkeluarga dan bermasyarakat.
Inilah asas al-Quran mengajarkan manusia agar sentiasa hidup dalam keadaan harmoni.
Baginda Nabi SAW sentiasa mengajarkan kita supaya menyebarkan kasih sayang dan kebahagiaan. Sabda Nabi SAW dalam sebuah riwayat yang direkodkan Imam al-Tirmizi bermaksud:
“Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh Al-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah mereka yang berada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di atas langit.”
PERANAN AGENSI HAL EHWAL ISLAM
Agensi-agensi hal ehwal Islam akan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh menyantuni masyarakat, membawa mesej kasih sayang dan menyatupadukan masyarakat.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memperhebatkan siri kempen menghidupkan masjid dan surau.
Aktiviti pengimarahan perlu digerakkan semula dengan SOP yang ditentukan pihak berkuasa. Masjid dan surau mesti menjadi nadi dan jantung umat Islam.
MEDAN PENYEBARAN ILMU, PENYATUAN UMMAH
Selain itu, Jawi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggerakkan program-program seperti agihan makanan Jawi Foodbank, Dapur It’am, Gerobok Rezeki dan sebagainya. Begitu juga para asnaf dan pihak yang terjejas dengan Covid-19 dibantu.
Sebagai rekod, sebanyak RM555. 4 juta agihan zakat oleh MAIWP bermula 1 Januari sehingga 30 September lalu menerusi pelbagai skim.
Baru-baru ini, Lembaga Tabung Haji menyumbangkan katil-katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bernilai RM2 juta kepada hospital Kementerian Kesihatan.
Inilah hala tuju agensi Islam untuk terus turun ke lapangan membawa mesej kesejahteraan dan kebahagiaan, juga membantu masyarakat.
SENATOR Idris Ahmad ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).











