Merakyatkan khidmat pengangkutan bas - Utusan Malaysia

Merakyatkan khidmat pengangkutan bas

ZACHARY ISMAIL ZEE ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KETIKA hampir separuh daripada syarikat bas menghentikan operasi kerana ketiadaan penumpang semasa pandemik Covid-19, Mara Liner Sdn. Bhd. (Mara Liner) bertindak sebaliknya kerana berpegang kepada agenda melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner, ZACHARY ISMAIL ZEE ISMAIL yang baru tiga bulan menjawat jawatan itu mengakui pihaknya terpaksa lebih kreatif ‘mencari wang’ bagi menampung kos operasi dan setakat ini boleh berbangga tidak menghentikan operasi bas henti-henti dan masih mengekalkan 463 kakitangan yang 70 peratus adalah pemandu bas.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM serta jurugambar AMIR KHALID, beliau menegaskan, sudah sampai masanya dilakukan transformasi besar-besaran terhadap industri pengangkutan bas ekspres yang dilihat masih menggunakan sistem ketinggalan zaman.

WUJUD SEBELUM MERDEKA

UTUSAN: Boleh ceritakan latar belakang syarikat?
ZACHARY ISMAIL: Mara Liner ialah syarikat pengangkutan awam milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara). Ia adalah anak syarikat Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp).

Sebab itu ahli lembaga syarikat merangkumi wakil daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Mara Corp, Mara dan Kementerian Kewangan.

Jadi, objektif penubuhan Mara Liner adalah untuk membantu memberikan perkhidmatan bas di luar bandar. Jadi, kalau kita tengok, sebelum pengkorporatan syarikat ini pada 2013, ia dikenali dengan nama Kenderaan Bas Mara (KBM).

Sejarah KBM itu sendiri, ia telah wujud seawal 1956 sejajar dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) yang kemudiannya menjadi Mara.
Kalau boleh saya sebutlah, KBM sebenarnya telah melahirkan otai-otai (orang-orang lama) dalam industri bas ini kerana banyak datang daripada KBM.

Apakah perubahan setelah dikorporatkan?
Pada 2013, ia telah dikorporatkan menjadi Mara Liner supaya lebih efisien dengan jumlah kenderaan yang dioperasikan lebih kurang antara 355 hingga 400 buah.

Setelah dikorporat, memang betul kita (kena) berniaga, tetapi kita bukan sekadar berniaga nak buat untung, kita berniaga dan pada masa sama kita membawa asid deoksiribonukleik (DNA) Mara yang mempunyai tanggungjawab sosial yang berat.

Walaupun sebanyak 50 peratus daripada agenda (masih lagi) tanggungjawab sosial, Mara Liner tetap kena menjadi syarikat perkhidmatan pengangkutan bas yang menarik sejajar dengan kehendak pasaran, kalau tidak orang tidak naik.

TIGA TERAS PERNIAGAAN

Boleh beritahu jenis perniagaan syarikat?
Teras perniagaan kita ada tiga iaitu pertama, bas henti-henti yang melibatkan lebih kurang 83 laluan dengan kira-kira 150 bas yang boleh dikatakan satu pertiga atau satu perempat daripada jumlah laluan seluruh negara.

Kedua, bas ekspres dan kalau ikutkan dalam rekod, kita ada lebih kurang 117 bas dan hampir setiap pelosok kita masuk.

Ketiga, perkhidmatan myBAS dengan 27 bas di Perlis dan 15 buah di Kuala Terengganu.

TIADA PEMBUANGAN PEKERJA

Bagaimana pula dari segi bilangan kakitangan?
Jumlah keseluruhan kakitangan Mara Liner lebih kurang 463 orang termasuk pentadbiran dan 70 peratus adalah pemandu bas yang gaji dibayar penuh (ketika pandemik Covid-19).

Saya amat bangga mengatakan kami mungkin satu-satunya syarikat (bas) yang masih lagi membayar gaji penuh dan tidak buang orang. Itu adalah mandat dan amanat daripada Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf sendiri. Beliau berkata, kena jaga kebajikan pekerja, teruk macam mana pun, jangan buang, jangan potong gaji.

Kita tidak bergantung kewangan dengan pihak Mara. Kita punya fitrah dan kebanggaan adalah tidak bergantung dan kena bertahan sendiri.

Sebab itulah kami kena keluar pergi berniaga, terpaksa bekerja keras dan lebih kreatif daripada syarikat lain agar kita sentiasa meraih pendapatan untuk menampung kerugian. Ini kerana anggaran kos operasi setiap bulan agak tinggi kerana pemandu merangkumi 70 peratus pekerja. Kebanyakan tenaga kerja (pemandu) kami berumur 35 ke atas, maksimum boleh kerja sampai usia 60 tahun.

Kita juga membuat penjimatan kos dengan tidak membayar kerja lebih masa dan meletakkan semula (sebahagian) pemandu bas ke tempat lain.

RUGI SEPANJANG MASA

Adakah perniagaan bas henti-henti menguntungkan?
Bas henti-henti ini, memang betul-betul tidak buat duit, tiap-tiap tahun rugi. Jadi, apa yang cuba kita buat adalah keuntungan (sebelum pandemik Covid-19) yang kita dapat daripada bas ekspres (digunakan) bagi menampung kerugian bas henti-henti.

Sepanjang pandemik ini, bas henti-henti, orang tak naik kerana takut nak keluar, tambahan pula jumlah tempat duduk dikurangkan kepada 50 peratus. Dari segi jumlah penumpang, berkurangan kira-kira 90 peratus, jadi kutipan tiket memang terjejas teruk yang amat sangat.

Disebabkan 50 peratus DNA Mara Liner adalah tanggungjawab sosial untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk luar bandar, kita jalan juga walaupun dalam keadaan rugi dan orang tak ada.

Memang kerajaan ada bayar tetapi sekadar subsidi minyak sahaja. Kita juga ambil duit dana (lain) daripada kerajaan (melalui Mara), cumanya dana itu tidak mencukupi untuk menampung pembiayaan operasi.

Bagaimana pula bas ekspres?
Bas ekspres kita kebanyakan baharu sebab diganti setiap 10 tahun oleh kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Rancangan Malaysia (RMK). Tetapi baharu sahaja tidak mencukupi, kita kena pastikan perkhidmatan pelanggan kita bagus dan trip sentiasa dijaga sebab kita bersaing di pasaran terbuka yang sangat mencabar dengan syarikat bas lain terutama waktu Covid-19.

Bas ekspres sekarang memang kita terjejas yang amat teruk kerana orang tak naik. Kalau ada perjalanan pun sekarang melibatkan jangka pendek, lebih kurang sejam atau satu jam setengah. Kita hanya berjalan kira-kira 30 peratus daripada laluan sedia ada.

Berikutan tanggungjawab sosial yang tinggi, kita masih beroperasi di laluan yang kita tahu orang guna untuk pergi kerja walaupun penumpang tidak ramai seperti Melaka ke Kuala Lumpur, Raub ke Kuala Lumpur dan Tanjung Malim ke Kuala Lumpur. Pelanggan kita ialah pelajar, pasangan jarak jauh (PJJ) dan orang awam secara umumnya.

Apa itu perkhidmatan myBAS?
Ia adalah perkhidmatan bas henti-henti yang kita dapat (berikan) setelah menang tender kerajaan yang dibuat secara adil sejak 2015 di Perlis dan Kuala Terengganu.

Di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST), kita sediakan perkhidmatan secara kontrak dengan kerajaan. Kementerian Pengangkutan akan membayar kepada kita mengikut kilometer perjalanan dan apabila mendapat duit kutipan tiket, kita pulangkan balik.

Perkhidmatan ini boleh bertahan dan kerajaan perlu memperluaskan myBAS mengikut perancangan asal untuk mewujudkan perkhidmatan ini di setiap ibu negeri sejajar dengan rancangan kerajaan bagi memberi perkhidmatan bas henti-henti yang baik di luar Lembah Klang.

PPV BERGERAK

Apakah idea kreatif bagi meraih pendapatan?
Untuk terus bertahan, kita terpaksa buat sewa khas. Antara inisiatif utama yang kita buat adalah menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pergi ke merata-rata tempat untuk beri vaksin dos pertama dan kedua.

Pada masa sama, kita juga bekerjasama dengan lembaga kemajuan wilayah seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Di bawah inisiatif PPV bergerak, setakat ini aset yang kita gerakkan sebanyak lapan bas. Cuma kekangan yang kita ada yang inginkan saya maklumkan di sini adalah kita masih lagi mengharapkan kuota (tambahan) vaksin daripada Kementerian Kesihatan.

HARAPAN KEPADA KERAJAAN

Apakah harapan kepada KPLB?
Kita sebenarnya amat teruja kerana seorang menteri yang berpengalaman (Datuk Seri Mahdzir Khalid) sekarang ini menerajui kementerian. Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menjadi menteri di KPLB.

Kita menyokong dan menyambut baik Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berharap lebih banyak lagi inisiatif disediakan kerajaan bagi membantu bukan sahaja Mara Liner tetapi pekerja syarikat bas dan juga rakyat.

CONTOHI AIRASIA, MALAYSIA AIRLINES

Apakah pengalaman yang boleh dibawa sebagai bekas Pengurus Besar Korporat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)?
Saya melihat bas ekspres ini sama konsep (dengan industri penerbangan). Kalau kita tidak tawarkan perkhidmatan yang baik dan harga (tiket) yang menarik, pelanggan tak naik.

Tetapi pada masa sama, disebabkan kita (Mara Liner) ini milikan kerajaan, kita sedikit sebanyak kena memainkan peranan untuk membangunkan industri dan menjadi penentu trend.

Mara Liner mesti menerajui perubahan dengan menyediakan perkhidmatan bagus yang secara tidak langsung akan mendorong syarikat-syarikat bas lain untuk membuat perkara sama.

Sebenarnya aspirasi saya adalah untuk menjadikan Mara Liner sebagai pemangkin (perubahan) kepada industri. Buat masa ini, cara industri bas ekspres ini beroperasi masih lagi tradisional atau cara lama yang menggunakan kaedah manual.

Industri perlu berubah ke arah digital seperti pengalaman pelanggan yang berurusan dengan syarikat penerbangan macam AirAsia Group Berhad (AirAsia) dan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines). Kita nak gabungkan semua orang, supaya kita boleh berkongsi perkhidmatan termasuk pengeluaran tiket.

KERJASAMA INDUSTRI

Adakah ini bermaksud pergabungan syarikat bas?
Saya tak nak guna perkataan konsortium, tetapi satu kolaborasilah, yang kita nampak kita boleh bekerjasama untuk menjadikan industri ini lebih mampan kerana bilangan syarikat antara 155 hingga 160 buah agak banyak manakala bilangan penduduk Malaysia bukan besar sangat.

Sebagai syarikat yang sekian lama berkecimpung dalam industri, kita tidak mahu bergaduh dengan siapa-siapa sebaliknya dalam perancangan strategik jangka panjang Mara Liner nanti, kita hendak berkolaborasi kerana dengan cara itu sahaja, industri boleh bertahan.

Apakah bentuk kolaborasi itu?
Selain perkhidmatan bas, tentulah kita ada penyelenggaraan dan pembaikan (MRO). Bengkel kita ini ada sampai 17 buah.

Kenapa mesti membuat pembaikan untuk kita sahaja? Kenapa tidak berkongsi perkhidmatan ini bersama syarikat-syarikat lain? Walaupun kita bersaing tetapi dari segi MRO, mungkin kita boleh bantu dengan kadar harga berpatutan. Kapasiti kita (yang digunakan) antara 40 hingga 50 peratus, jadi masih ada ruang pihak luar datang dan menyelenggara kenderaan.

Bagaimana pula idea lain?
Kita sudah mula bergerak ke fasa endemik dan orang ramai boleh pergi melancong. Kita mahu memberi peluang kepada rakyat menggunakan bas ekspres untuk melawat tempat cantik dalam negara dan negara jiran.

Kita kena tingkat keselesaan, mudahkan pelanggan beli tiket dan kemudahan lain pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×