PADA Isnin ini, tumpuan seluruh rakyat sudah pasti ke arah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat.
Setelah hampir dua tahun dibadai pandemik Covid-19 yang memberi kesan buruk kepada ekonomi, rakyat ingin tahu apa perancangan kerajaan bagi memastikan pembangunan negara tidak tergugat.
RMK atau Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) adalah perancangan jangka sederhana yang diperkenalkan setelah penubuhan Malaysia pada 1963 bagi menyokong pelaksanaan perancangan jangka panjang negara yang ditetapkan setiap 10 tahun.
Asas kepada RMK-12 dari 2021-2025 dan RMK-13 (2026-2030) selepas itu adalah bagi merealisasikan perancangan jangka panjang Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang bermatlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat dalam tempoh 10 tahun akan datang.
RMK sebelum ini pula berasaskan kepada perancangan jangka panjang lain iaitu RMK-10/RMK-11 (Dasar Transformasi Negara 2011-2020), RMK-8/RMK-9 (Dasar Wawasan Negara 2001-2010) dan RMK-6/RMK-7 (Dasar Pembangunan Nasional 1991-2000).
Sebanyak empat RMK selama 20 tahun iaitu RMK-2, RMK-3, RMK-4 dan RMK-5 adalah bagi merealisasikan Dasar Ekonomi Baru 1971-1990.
Strategi, program dan projek jangka pendek yang diluluskan dalam belanjawan tahunan termasuk Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini pula akan menyokong pencapaian RMLT.
Berdasarkan taklimat kepada media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini, RMK-12 akan memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara sejajar dengan WKB 2030 yang dilancarkan pada 2019 turut mengambil kira Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
SDG mula dirancang ketika Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2015 yang menetapkan 17 matlamat perlu dicapai menjelang 2030 membabitkan kemiskinan, kesihatan, pendidikan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.
Menurut Mustapa, antara kandungan RMK-12 yang sejajar dengan matlamat SDG adalah meningkatkan pendapatan, melenyapkan kadar kemiskinan di negara ini dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah.
Tumpuan lain adalah untuk membina semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 supaya ia lebih kukuh bertapak dan bersifat kompetitif.
KELUARGA MALAYSIA
Ia juga bermatlamat memastikan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi yang inklusif dan akan menghasilkan perpaduan dalam kalangan rakyat sejajar dengan konteks Keluarga Malaysia.
Apabila menyentuh Keluarga Malaysia, sebenarnya semua perancangan ekonomi terbabit adalah sumbangan para penggubal dasar yang datang daripada pelbagai parti politik sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).
Jika kita mengimbau sejarah, RMK-1 dari 1966-1970 diperkenalkan bagi mengatasi isu dan cabaran berkaitan ketidakseimbangan ekonomi dan masalah sosial. Namun, ia tidak dapat menangani sepenuhnya cabaran sosioekonomi ketika itu.
Sehubungan itu, perancangan jangka panjang yang pertama selepas penubuhan Malaysia iaitu DEB telah dirangka dengan matlamat mencapai perpaduan negara melalui strategi serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Ia kemudian disusuli dengan tiga perancangan jangka panjang lain sehingga 2020. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 11 RMK atau perancangan jangka sederhana dirangka sebagai sokongan.
Ketika tempoh itu, Malaysia melalui pelbagai perubahan dari sudut ekonomi, sosial dan alam sekitar, seiring dengan trend peralihan global. Dalam tempoh 1960-an dan 1970-an, kerajaan memberi tumpuan mempelbagaikan komoditi pertanian dan perlombongan.
Strategi untuk beralih kepada sektor perindustrian dilaksanakan pada 1980-an bagi mengurangkan kebergantungan kepada komoditi. Pada 1989, pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM4.5 bilion iaitu peningkatan lebih sekali ganda berbanding 1980.
Dari sudut pembangunan sosial, rakyat yang berada dalam kategori miskin pada 1989 adalah sebanyak 16.5 peratus iaitu pengurangan melebihi sekali ganda berbanding 1979.
Dalam tempoh 1990-an, pengukuhan ketersambungan menjadi strategi penting bagi menyokong pertumbuhan sosioekonomi menerusi pelaksanaan beberapa projek mega negara seperti lebuh raya dan infrastruktur digital melalui Koridor Raya Multimedia.
Penumpuan kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan, terutama subsektor kewangan bermula dalam tempoh 2000-an. Sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 57.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dan mewujudkan lebih sejuta pekerjaan baharu.
Melangkah ke hadapan, pembangunan akan berlandaskan matlamat negara makmur, inklusif dan mampan. Seiring dengan perkembangan semasa, peralihan kepada ekonomi digital dan ekonomi kitaran akan diberi penekanan.
Usaha akan terus dilipatgandakan bagi mencapai sasaran status negara maju berpendapatan tinggi dan memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat.









