Ubah sindrom tunggu dahulu laporan - Utusan Malaysia

Ubah sindrom tunggu dahulu laporan

PIHAK berkuasa hanya bertindak terhadap sesuatu isu hanya selepas menerima laporan dan ia menjadi punca banyak masalah mengambil masa lama untuk diselesaikan. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA  terpanggil untuk memberikan pandangan tentang senario tunggu laporan sebelum bertindak yang menjadi trend dalam agensi penguatkuasa. Adakah ia sudah lama dikuatkuasakan dan menjadi amalan penguatkuasaan?

Peningkatan amalan rasuah, pelbagai aktiviti jenayah, kerosakan kemudahan awam serta kerosakan alam dikhuatiri menjadi punca  sesebuah agensi menjadi tidak proaktif ekoran hanya kerana mengamalkan konsep menunggu laporan. 

Sekiranya tiada laporan diterima, maka tiada tindakan susulan seperti menyiasat dan tindakan selanjutnya.

Sindrom menunggu laporan sepatutnya diubah kepada sesebuah agensi itu membuat laporan dengan mencari masalah. Kemudian kemukakan (masalah itu) kepada pihak terlibat untuk langkah pembaikan. 

Kita menyedari hanya segelinitir yang peduli tentang masalah di sekeliling mereka. Contoh mudah ialah tentang kerosakan jalan yang lambat dibaiki sehingga membawa kepada kemalangan. Pihak penyelenggaraan jalan tidak akan mengetahui tentang kerosakan jalan jika tiada laporan daripada pengguna jalan raya atau apabila sudah berlaku kemalangan. Maka, cara terbaik adalah agensi itu sendiri yang mencari maklumat  dan bertindak membaiki jalan tersebut berbanding menunggu laporan kerosakan jalan tertentu.

Banyak isu yang berlaku sekarang seperti dadah, pencerobohan tanah  seperti di Raub, Pahang dan Bukit Malut di Langkawi serta kemiskinan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ramai yang terpaksa mengibarkan bendera putih. Senario ini berlaku disebabkan sindrom  menunggu laporan. 

Sudah sampai masanya agensi kerajaan dan pihak berkepentingan mengubah sistem kerja agar segala permasalahan dapat diatasi dengan segera. 

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya