Sedarlah, politik bukan segala-galanya - Utusan Malaysia

Sedarlah, politik bukan segala-galanya

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS politik yang sedang berlaku perlu diselesaikan secepat mungkin supaya ekonomi negara tidak terus terjejas dan dapat dipulihkan semula dengan segera. Hal ini penting kerana semua pihak perlu sedar ketidaktentuan politik memberikan kesan langsung yang sangat mendalam terhadap kedudukan ekonomi sesebuah negara.

 Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang cukup serius sejak setahun lalu susulan serangan pandemik Covid-19 di seluruh dunia. Akibatnya ekonomi negara dan rakyat terjejas teruk, misalnya kadar pengangguran meningkat, bilangan rakyat yang hilang kerja dan pendapatan secara mengejut turut membimbangkan di samping peluang pekerjaan menjadi sangat terhad.

 Ironinya, rakyat kini berada dalam situasi yang sangat sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing. Ini sekali gus memberikan tekanan yang hebat sehingga ramai dilaporkan murung dan akibatnya juga kes bunuh diri dilaporkan turut meningkat.

 Tuntasnya, kemelut politik yang sedang berlaku langsung tidak membantu proses pemulihan ekonomi negara dan rakyat, sebaliknya semakin menjejaskan kedudukan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

 Misalnya, indeks FBM KLCI Bursa Malaysia jatuh ke paras bawah 1,500 mata buat pertama kali sejak hampir sembilan bulan ketika ditutup minggu lalu yang dengan jelas memperlihatkan impak negatif segera secara langsung apabila setiap kali berlakunya krisis politik. Untuk rekod, kali terakhir indeks Bursa Malaysia mencatatkan mata bawah 1,500 pada 4 November lalu, iaitu sekitar 1,464.61 mata.

Pada minggu-minggu berikutnya juga dijangka Bursa Malaysia bakal menyaksikan urus niaga berhati-hati berikutan pergolakan terkini politik negara yang dijangka berlarutan sehingga Parlimen dibuka semula yang akan menentukan status kedudukan Perdana Menteri dan juga kerajaan  memerintah.

 Hakikatnya, ketidaktentuan politik semasa boleh mencetuskan risiko kepada penurunan pertumbuhan ekonomi negara untuk suatu jangka masa  panjang. Para pelabur asing misalnya sudah tentu akan memantau rapi perkembangan situasi politik semasa di Malaysia kerana ia akan mempengaruhi prestasi pasaran modal negara. Mereka akan berfikir dengan teliti sebelum menjalankan pelaburan di sesebuah negara dengan melihat dan menilai risiko yang akan dihadapi oleh mereka. Logiknya, siapa mahu melabur jika sesebuah negara itu sedang berhadapan krisis politik?

 Krisis politik ini juga dijangka memberikan kesan yang cukup besar kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada September dan Oktober kelak. Bayangkan apa akan terjadi kepada RMK-12 jika berlaku perubahan kerajaan pada September di mana ia akan menangguhkan proses pembentangan RMK-12 seperti dijadualkan? Akibatnya para pelabur boleh jadi tidak begitu yakin untuk melabur di Malaysia dalam tempoh masa terdekat.

Jika krisis ini berlarutan sehingga Oktober, maka pembentangan Belanjawan 2022 juga akan turut terjejas dan ini sekali gus akan mengganggu proses pemulihan ekonomi untuk tahun berikutnya.

 Akibatnya, pada akhirnya ketidaktentuan prestasi ekonomi negara yang berpunca daripada krisis politik akan menyebabkan rakyat terus menderita dan sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

 Jadi, jelas sekali krisis dan ketidaktentuan politik memberikan kesan negatif yang cukup membimbangkan terhadap ekonomi rakyat dan negara. Analogi mudah ialah, mana mungkin ekonomi rakyat dapat dipulihkan andai ekonomi negara terjejas teruk. Sektor perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pastinya akan terus merudum dan sukar dipulihkan di samping kita tidak mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya graduan baharu.

 Harus diingat, kita juga khuatir krisis politik ini turut boleh menjejaskan pelaksanaan lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara. Segala bantuan dan insentif yang telah diumumkan akan menjadi tanda tanya dalam kalangan komuniti perniagaan dan rakyat sama ada dapat dilaksanakan sepenuhnya ataupun tidak seperti dijanjikan.

 Oleh itu, kerajaan dan semua parti politik terlibat perlu melihat perkara ini secara serius. Sedarlah, politik bukan segala-galanya. Tatkala rakyat dan negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan yang serius dalam sejarah, elaklah segala jenis ketidaktentuan dan polemik politik yang langsung tidak menguntungkan rakyat dan negara.

 Sepatutnya semua ahli politik melakukan gencatan senjata dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk menangani pandemik Covid-19 sekali gus memulihkan ekonomi rakyat dan negara. Ketepikanlah sejenak segala perbezaan ideologi dan pandangan sebaliknya duduk semeja berbincang untuk mencari jalan penyelesaian bagaimana boleh menangani wabak dan memulihkan ekonomi rakyat.

 Kasihanilah rakyat yang semakin terdesak untuk meneruskan kehidupan. Inilah masanya untuk semua ahli politik meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi dengan bertindak seperti negarawan yang berjiwa besar.

Besarlah harapan kita agar kemelut politik ini dapat dinoktahkan dengan segera supaya kita dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil sekali gus meyakinkan para pelabur dan memulihkan kembali ekonomi rakyat dan negara.

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN