PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu menyaksikan banyak sektor perniagaan sama ada kecil atau besar di negara ini terus terjejas malah ada yang terpaksa menutup operasi. Kesannya, ramai kehilangan pekerjaan, pengecilan jumlah pekerja dan juga yang memindahkan operasi ke luar negara.
Jika dilihat secara kasar, kesan pandemik ini turut menyebabkan ekonomi seluruh dunia ‘lumpuh’ dan Malaysia tidak terkecuali menerima kesan awal apabila PKP 1.0 dilaksanakan Mac tahun lalu apabila sebahagian besar sektor ekonomi ditutup sementara. Banyak sektor tertentu yang selama ini bergantung kepada pergerakan orang ramai seperti penerbangan, pelancongan, perhotelan dan sebagainya terkesan.
Usaha ke arah pemulihan ekonomi juga belum menampakkan hasil apabila kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat setiap hari hingga mencecah lebih 21,000 kes ketika kerajaan mula melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu. Meskipun sektor perniagaan menerima sedikit kelonggaran atau ‘bernafas semula’, namun ia bersifat sementara. Natijahnya, untuk sesebuah syarikat atau organisasi perniagaan untuk ‘bangkit’ semula daripada kejatuhan akibat pandemik akan mengambil masa lama.
Berbeza dengan operasi syarikat-syarikat besar, mereka bergantung kepada tender-tender besar sama ada daripada swasta ataupun kerajaan mahupun syarikat kecil yang menjalankan pelbagai operasi perniagaan.
Adakah mereka juga terjejas? Bagaimana mereka harus mencari ‘dana’ untuk meneruskan kelangsungan hidup kakitangan mereka yang memang bergantung penuh dengan ‘gaji’ daripada pekerjaan mereka?
Justeru timbul persoalan, adakah rasuah masih berlaku ketika negara melaksanakan PKP di mana pergerakan orang ramai dibataskan dan hanya sektor-sektor tertentu dibenarkan beroperasi?
Dapatan KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013, sebanyak 80 peratus responden menyatakan suapan dan rasuah dalam sektor korporat meningkat sejak 2010. Sebanyak 90 peratus daripada responden percaya penipuan korporat, merujuk kepada suapan dan rasuah adalah masalah utama bagi sektor perniagaan di Malaysia.
PricewaterhouseCoopers Global Economic Crime and Fraud Survey 2020 (PwCs 2020) melaporkan, jumlah responden yang berdepan jenayah ekonomi meningkat kepada 43 peratus berbanding 41 peratus pada 2018.
Kajian PwCs 2018 turut mendapati 11 peratus responden kehilangan peluang perniagaan disebabkan syarikat pesaing membayar suapan dan jumlah itu meningkat kepada 30 peratus pada 2020.
Berdasarkan kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung jumlah kes rasuah membabitkan organisasi komersial swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi 2019 sehingga Jun 2021, penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,462 kes, kertas siasatan (566 kes) dan tangkapan (671 kes).
BARAH
Berdasarkan statistik terkini itu, sebanyak 232 kertas siasatan dibuka pada 2020 berbanding 200 kes (2019) manakala jumlah tangkapan pada 2020 ialah 262 kes berbanding 267 kes (2019).
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, penerimaan aduan/maklumat adalah 678 kes dan kertas siasatan (134 kes) manakala tangkapan 142 kes.
Berbanding jumlah kes rasuah yang membabitkan organisasi komersial bagi 2014 sehingga 2018, penerimaan aduan/maklumat adalah 1,517 kes, kertas siasatan (900 kes) dan tangkapan (782 kes).
Ini menunjukkan masalah rasuah dalam sektor perniagaan sebelum penularan Covid-19 sudah berada pada tahap membimbangkan dan jumlah kes dilihat masih tinggi meskipun ketika negara masih bergelut memerangi pandemik.
Jumlah kes tangkapan sebanyak 142 bagi tempoh enam bulan pertama 2021 membuktikan jenayah rasuah masih berlaku dalam waktu pandemik walaupun negara melaksanakan PKP 3.0 yang mengurangkan pergerakan orang ramai sama ada merentas daerah atau negeri.
Justeru, pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa 1 Jun 2020 adalah wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Tidak kiralah anda hanya seorang individu yang membekalkan peralatan tulis atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang cuba mendapatkan tender daripada mana-mana syarikat kini tertakluk kepada peruntukan berkenaan.
Pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 adalah sangat bertepatan pada masanya ketika negara sedang membuka semula pintu ekonomi yang terjejas akibat krisis Covid-19. Ini kerana kita sedia maklum, sektor komersial mempunyai risiko yang tinggi terdedah dan terbabit dalam aktiviti rasuah membabitkan isu tender projek atau kontrak mencecah nilai berjuta-juta ringgit.
Dengan adanya akta ini, kes rasuah dalam sektor komersial dapat dikurangkan dan diatasi dengan cara lebih menyeluruh. Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru, semua pihak khususnya pihak pengurusan syarikat boleh menjadikan amalan menjauhi rasuah ini sebagai norma baharu yang perlu dipatuhi setiap masa sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka ketika penularan Covid-19 ini.
Rasuah jika dibiarkan boleh menjadi barah, bukan sahaja merosakkan nilai atau integriti seseorang malah seluruh masyarakat di sekelilingnya.
DATUK Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










