Perkukuh perpaduan dalam kepelbagaian - Utusan Malaysia

Perkukuh perpaduan dalam kepelbagaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 memberikan kita ilham untuk menilai siapa yang harus kita hargai dan ingati dan siapakah yang masih mengingati kita. Adakah kita masih mementingkan isu berlainan kaum, bangsa dan agama semasa pandemik? 

Adakah Covid-19 berjaya meruntuhkan tembok sifat individualistik dalam diri kita? Komunikasi silang budaya merupakan komunikasi yang melibatkan individu daripada latar budaya yang pelbagai seperti bangsa, ras, etnik, jantina, bahasa, agama, tahap pendidikan dan status sosial.

Kepentingan komunikasi silang budaya untuk mempererat tali silaturahim dan memperkukuh ukhuwah dalam masyarakat. Bagaimanakah kita mengukur pola komunikasi kita pada hari ini? Adakah kita selesa berkomunikasi melalui pelbagai gajet atau masih memilih untuk berkomunikasi secara bersemuka? Komunikasi mereka semakin kurang nilai ketimuran terutama apabila remaja berkomunikasi dengan golongan tua dalam pelbagai bangsa.

Perpaduan amat penting dengan adanya penghayatan prinsip kelima Rukun Negara dalam komunikasi remaja? Adakah golongan remaja kita lengkap menghayati Rukun Negara? Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum. Rukun Negara adalah warisan khazanah negara yang besar maknanya kepada setiap rakyat. 

Semangat penghayatan Rukun Negara telah menyatukan hati-hati kita selama beberapa dekad. Semangat ini perlu dibajai agar tetap menyatukan hati-hati kita selama beberapa abad. Semua memahami bagaimana sejarah kita bermula dan takdir menyebelahi kita untuk bernaung di negeri yang istimewa ini. Usah diragui sejarah yang telah kita pelajari melalui silibus pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, sememangnya berhasrat melahirkan warganegara yang cintakan negaranya tetapi turut cakna akan sejarah negaranya dan matlamat kita mengukuhkan perpaduan akan dapat kita realisasikan selama-lamanya.

Ekstrem kepada sejarah juga boleh meruntuhkan benteng kasih sayang yang terjalin kukuh antara kita selama ini. Sejarah empayar Melaka contohnya diakui sebagai titik mula di mana kepelbagaian kaum telah subur dan bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca semasa itu. Bahasa Melayu bukan sahaja dianggap sebagai bahasa perhubungan sesama isi manusia dalam empayar Melaka itu, tetapi bahasa Melayu sebagai instrumen penting memperkukuh empayar Melaka dan rentetan sejarah lebih 600 tahun ini disulam dengan pelbagai pancaroba yang sebenarnya membijaksanakan kita hari ini dan generasi seterusnya, khususnya tentang menghayati perpaduan.

Lihat di luar sana, suria memancar sangat indah. Betapa istimewanya tanah tempat kita berpijak ini. Terjalin kemas budaya Barat dan Timur dalam sanubari kita. Sesungguhnya budaya Timur yang kita warisi ini, tidak pernah mengajar mana-mana individu untuk menjadi seorang yang kasar dan tidak bersopan. Cintakan negara ialah obor keamanan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Obor ini akan terpadam dengan pengkhianatan terhadap negara. 

Sepanjang masa diterapkan semangat cintakan negara. Kami cadangkan supaya diperbanyakkan kempen cintakan negara bukan sehari tetapi setiap hari. Perkenalkan Hari Patriotisme dan angkat sejarah ke peringkat tertinggi dalam akal pemikiran kita. Entah apa yang tidak kena tentang sikap kita kepada sejarah. Ramai dalam kalangan kita khususnya generasi muda belia hari ini, tidak begitu mendalam penghayatan kepada sejarah berbanding minat atau kecenderungan mereka memerihalkan politik dan lingkaran tampuk kuasa. 

Tanpa disedari politik juga berpaksikan sejarah yang telah kita lalui selama ini. Oleh yang demikian, dalam kehidupan serba moden dan canggih digabung jalin dengan kesatuan budaya Barat dan Timur, kita muncul dengan acuan pemerintahan yang unik iaitu sistem demokrasi raja berpelembagaan. Budaya menghormati institusi raja adalah perkara pokok yang difahami oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Raja ibarat akar tunjang yang terus memunculkan gagahnya pohon perkasa negara yang akan meranting dahankan beribu-ribu helai daun kebijaksanaan kepada kepimpinan politik demokrasi dan impaknya pula sudah pasti akan dinikmati oleh rakyat Seri Paduka.

Sangat menarik apabila kita memperkatakan tentang hubungan raja dan rakyat sehingga terbitnya kata-kata bijaksana iaitu raja dan rakyat berpisah tiada. Ini bukan kata-kata yang berpura-pura tetapi kami berdua meneropongnya dengan sandaran akal dan mata hati, raja yang menjadi payung rakyat adalah paksinya horizon perpaduan di cakerawalakan dalam minda dan hati kita semua. Melalui bahasa juga merupakan jambatan raja memupuk membajai cinta rakyatnya kepada negara. 

Kami berdua mengakui memang sentiasa sahaja sebenarnya ternanti-nanti titah Yang di-Pertuan Agong Agong di kaca-kaca televisyen atau di mana-mana pelantar digital yang merentas sempadan dunia, kami yakin anda juga begitu. Di mana sahaja rakyat berada di seluruh dunia, jika dapat menatap raja menyampaikan titah, tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, nikmat kesejahteraan melalui perpaduan ini mengalir daripada doa dan daulat tuanku. Daripada bahasa yang dititahkan itu jugalah paksi perpaduan rakyat sedikit pun tidak terancam.

Mari bersama-sama kami bawakan kepada anda tentang Perkara 152 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan sangat jelas menyatakan ‘Bahasa Kebangsaan Ialah Bahasa Melayu’ dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Rakyat yang mencintai negara wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Ramai yang memahami perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hal tanah dan terbaru, mula melihat Perkara 145, Peguam Negara.

Warganegara tidak sedar atau pura-pura tidak tahu mengenai kedaulatan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu akan terus dipinggirkan rakyat jika tiada usaha mendaulatkannya dan tidak menghayati perlembagaan. Bagaimanakah kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara bangsa Malaysia? Adakah kita meletakkan bahasa Melayu pada tempatnya? Sejarah dunia mengajar kita bagaimana bangsa-bangsa asing berjaya mengangkat martabat bahasa mereka di peringkat antarabangsa sehingga menjadi bahasa utama dunia.

Saranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP kepada kerajaan untuk meminda Akta DBP bagi membolehkan badan berkanun itu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan adalah satu cadangan bernas. Cadangan ini pastinya menjadi langkah terbaik yang akan menjadi batu asas untuk mengangkat martabat bahasa Melayu di negara kita. Pihak awam iaitu kerajaan adalah diperlukan untuk sastera terus mekar dengan identitI dalam persada keunggulannya. Bahasa Melayu ialah bahasa perpaduan untuk mengeratkan perpaduan dalam kepelbagaian. 

Erti kemerdekaan sebenar pada generasi kini membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi kepelbagaian perpaduan dan pembinaan jati diri dengan semangat patriotisme sentiasa mekar di hati. 

Malaysia Merdeka Negara Berdaulat. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-64.

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri & Perhubungan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

RABI’ AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya