POLITIK baharu semakin menjadi sebutan apabila rakyat sudah semakin rimas dengan kemelut politik yang sedang memuncak dan semakin celaru. Mereka semakin hilang kepercayaan kepada ahli politik.
Bagaimanapun, perlantikan Perdana Menteri kesembilan meredakan sedikit keadaan. Namun, siapa pun yang dilantik menjadi Perdana Menteri dalam keadaan politik yang getir ini dalam suasana pandemik, pasti tidak akan dapat lari daripada kritikan dan cabaran.
Dalam proses penggantian Perdana Menteri yang baharu selesai, semakin terlihat betapa perpecahan dalaman dan antara parti adalah suatu yang amat ketara dan jelas membuktikan tiada parti mempunyai dominasi, sokongan dan dukungan yang selesa.
Perbezaan yang amat tipis antara pembangkang dan kerajaan sebelum ini semakin terserlah ketika proses pemilihan calon Perdana Menteri.
Proses ini memberikan satu mesej yang jelas bahawa siapa pun, dari parti mana pun yang akan membentuk kerajaan, pasti akan menerima banyak halangan dan tentangan.
Satu-satunya cara untuk mengelakkannya atau paling tidak mengurangkannya adalah dengan membentuk kerajaan perpaduan atau campuran dengan melantik ahli Kabinet daripada kedua-dua pihak.
Amalan ini bukan suatu yang asing. Di negara-negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat malah di negara jiran sekalipun, Indonesia, amalan ini sudah terlaksana sebagai manifestasi kematangan ahli politik mereka yang seterusnya menyumbang kepada proses pentadbiran dan pengurusan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan dengan adanya budaya semak dan timbang serta bipartisan.
Menariknya, kerajaan perpaduan ini sudah pernah dikemukakan sebelum ini atas sebab yang sama di mana tiada parti yang mempunyai status majoriti atau sokongan yang kuat.
Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan andainya ia sudah mula dilaksanakan ketika mula disebut dua tahun lalu, keadaan politik kita mungkin tidak segetir ini.
Namun begitu, kali ini dengan perlantikan Perdana Menteri baharu yang mewakili parti yang dilihat mempunyai banyak isu dalaman dan keadaan politik yang masih kuat berjalan atas dasar parti dan blok pembangkang dan kerajaan, dan ketika Malaysia masih lagi bergelut menangani pandemik Covid-19, sekarang ini adalah masa terbaik untuk memulakan apa yang amat-amat diperlukan iaitu jajaran dan naratif politik baharu dengan merealisasikan Kabinet perpaduan.
Ini jugalah yang dimaklumkan disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan bersama ketua-ketua parti politik.
Bagi tujuan memanifestasikan politik baharu ini, paling tidak ada tiga faktor kenapa Kabinet ini dicadangkan perlu benar-benar lari dari imej Kabinet selama ini dengan menampilkan wajah-wajah baharu dari pelbagai parti dari kedua-dua pihak dan memasukkan lebih ramai wakil sektor profesional serta golongan muda.
Pertama, walaupun Malaysia sedang bertempur berat melawan pandemik, ahli politiknya kelihatan seperti lali dan tidak secara lebih serius meletakkan strategi melawan Covid-19 sebagai agenda utama. Malah mereka berterusan berbalah sesama sendiri.
Ini membayangkan walaupun kita sudah merdeka selama 64 tahun, masih sukar untuk mengubah budaya ahli politik.
Maka dirasakan hanya dengan memperkenalkan perubahan struktur secara drastik dengan menggabungkan ahli Kabinet dari kedua-dua pihak maka nada dan isi perbincangan dapat dimatangkan dengan adanya suasana semak dan imbang berteraskan budaya bipartisan.
Selagi mana ahli Kabinet masih dari kumpulan yang sama, sukar untuk dipastikan pola perbincangan dan proses pembuatan keputusan melalui anjakan paradigma berbanding amalan sebelum ini.
Sekiranya ini tidak berlaku, maka agak sukar untuk mengharapkan sesuatu yang benar-benar memanfaatkan rakyat hasil daripada perubahan kerajaan ini. Amat malanglah sekiranya ia sekadar pertukaran wajah baharu dalam kerangka kerja yang sama.
Kedua, dengan andaian undi percaya akan diusulkan di Parlimen pada awal September nanti bagi memastikan keabsahan Perdana Menteri yang terpilih, dan juga pilihan raya yang akan berlaku dalam masa terdekat, maka beliau perlu dengan segera membina keyakinan terhadap kerajaan yang akan dibentuk.
Dengan perbezaan yang amat tipis dan krisis keyakinan yang sedang berlaku, sekiranya Kabinet yang dibentuk masih mengikut acuan yang sama tanpa penglibatan daripada blok pembangkang yang jelas bezanya hanya sedikit undian, maka amat mencabar untuk kerajaan yang akan dibentuk meraih kepercayaan.
Dalam keadaan begini, kesediaan membentuk sebuah Kabinet perpaduan dilihat paling tidak memberikan peluang yang lebih baik bagi mendapatkan sokongan pihak pembangkang.
Bagaimanapun, kedua-dua faktor ini adalah dengan andaian dan harapan bahawa ahli Parlimen daripada blok pembangkang bersedia untuk mengetepikan kepentingan parti demi agenda mengeluarkan Malaysia daripada pandemik ini dan mematangkan politik negara.
Ia juga memerlukan ahli Parlimen dari kumpulan Perdana Menteri yang baharu pula bersedia mengetepikan ego dan menghulurkan tangan untuk menjemput ahli dari blok pembangkang bersama di dalam barisan Kabinet perpaduan ini.
Andainya kedua-dua pihak masih kekal dengan ego masing-masing, harapan untuk politik baharu adalah tipis dan akan kekal sebagai seruan kosong.
Ketiga, sejak perubahan politik pada 2018, kemampuan kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang serta parti yang menganggotainya dalam mentadbir negara sudah teruji.
Jelas tahap kematangan dan kompetensi untuk mentadbir mereka masih banyak yang perlu diperbaiki demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar maju.
Maka dalam keadaan pentadbiran Malaysia yang sedang diuji dengan berat oleh keperluan menguruskan pandemik ini, tidak ada cara selain menggabungkan kekuatan masing-masing sebagai sebuah negara.
Semoga dengan semangat bulan kemerdekaan ini, ahli politik kita bersedia memulakan era baharu politik dengan membebaskan diri daripada ego kepartian demi makna sebenar sebuah perpaduan sebagai bangsa Malaysia yang merdeka.
DR. Zainal Abidin Sanusi ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Pusat Pengajian Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).