MUKADIMAH
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD. YUSOF sejak dahulu lagi konsisten berpegang kepada pemikiran kritis dan sentiasa berterus terang mengenai perkara yang beliau rasakan betul.
Oleh itu, tidak mengejutkan apabila beliau melontarkan pelbagai idea bernas untuk memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan betul melawan pandemik Covid-19 yang disifatkannya bakal menentu survival gabungan itu dalam politik tanah air.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM serta jurugambar, FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, ahli perniagaan yang terjun dalam politik bagi memperjuangkan nasib orang Melayu itu turut meluahkan kekecewaan dengan perpecahan yang berlaku dan mahu semua ahli politik menghormati Raja-raja Melayu.
TAMBAH BAIK
UTUSAN: Boleh komen kempen dalam alam maya menggunakan tanda pagar #kerajaangagal?
MOHD. REDZUAN: Kerajaan hari ini tidak gagal! Ia akan membuat sebaik mungkin untuk memerangi Covid-19 yang seantero dunia mengalami pandemik sama.
Ia adalah unprecedented (belum pernah terjadi sebelumnya) dan tiada seorang pun berpengalaman untuk menguruskannya. Jadi, kita selalu hendak memastikan apa yang telah kita tetapkan untuk dilaksanakan, kita boleh ubah untuk penambahbaikan.
Kadang-kadang kita tersasar, contohnya dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sudah habiskan sampai RM600 bilion untuk urusan pandemik tetapi tiada pengurangan, masih lagi lebih 5,000 kes baharu.
Sebab itu kita mengumpul data bagi mengetahui sebab apa ini berlaku untuk kita tambah baik sama ada cara kita mengawal pergerakan atau prosedur operasi standard (SOP).

Bolehkah kita menang melawan Covid-19?
Kalau kita tengok setakat (wawancara) hari ini, jumlah kes keseluruhan seramai kira-kira 740,000 orang. Daripada jumlah itu, angka kematian antara 0.6 hingga 0.8 peratus.
Maksudnya, kalau kita mempunyai sistem kesihatan awam yang bagus yang digabungkan dengan antibodi dalam tubuh yang kuat, ia penyakit yang boleh dipulihkan.
Daripada data ini, yang mati ialah gabungan mereka yang mempunyai komorbiditi (lebih daripada dua penyakit) dan tiada antibodi kuat.
Masalah kita yang antara 0.6 hingga 0.8 peratus, untuk mengurangkan kematian. Kita mungkin boleh kurangkan jumlah yang meninggal dunia dengan mengadakan infrastruktur sistem kesihatan awam lebih besar dan efektif.
STRATEGI KOMUNIKASI
Nampaknya yang ditonjol ialah mereka yang mati?
Ini strategi komunikasi yang mengambil pendekatan menakutkan, kau tak buat ini, kau mati. Kalau kita tengok di kaca televisyen pun hari ini telah nampak begitu, menunjukkan kes-kes yang teruk supaya orang akan sedar.
Kita juga tidak boleh salahkan rakyat (sebar berita menakutkan) kerana negara kita tidaklah besar sangat. Saya berpendapat kita kena buat pendekatan untuk memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit ini, bukan menakutkan rakyat.
Selain itu, kita (kerajaan) buat banyak benda yang baik, tetapi lambat sampai. Mesej disampaikan kepada rakyat tidak pantas
Contohnya, kerana kurang maklumat berkesan ke akar umbi, dinampakkan sektor kilang sebagai penyumbang utama kes Covid-19.
Sebenarnya, bagi tempoh 1 hingga 26 Jun lalu, sebanyak 156,065 kes positif telah direkodkan. Daripada jumlah tersebut, kurang 10 peratus kes positif direkodkan daripada sektor kilang.
Dilaporkan 70 peratus kes positif dari 1 Januari sehingga 19 Jun tahun ini ialah kes sporadik (yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada).
Oleh itu, bagi saya kesedaran kepatuhan kepada SOP perlu ditingkatkan dalam kalangan komuniti bagi membolehkan kerajaan melawan pandemik ini.
PERMUDAHKAN KE MASJID
Boleh bandingkan strategi komunikasi di negara yang telah berjaya?
Kalau kita lihat hari ini, SOP kita bagus, tetapi kadang-kadang ia terlampau susah untuk difahami.
Di negara yang telah menyelesaikan masalah ini, senang sahaja. Diperkenalkan SOP generik (umum) dan mudah iaitu memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, mengelak tempat sesak dan sanitasi diri.
Tetapi di Malaysia kenapa hendak buat SOP tambahan contohnya untuk orang pergi masjid? Itu sebabnya timbul bermacam-macam kritikan.
Saya sendiri pun tidak selesa, kerana orang hentam saya hari-hari. Mereka telefon, apa ini kerajaan Islam, masjid pun tak boleh masuk.
Dalam aspek penjarakan fizikal, pendapat orang awam, sebesar-besar Masjid Putra, Putrajaya ialah tempat yang paling disiplin. Kalau jarakkan satu saf tak cukup, buat jarak dua saf, kalau satu meter tidak cukup, buat empat meter. Jadi, orang yang dalam keadaan murung sekalipun hendak beribadat kita permudahkan pergerakan mereka.
Saya juga berpendapat, kalau masjid sebesar-besar masjid jamek (utama) kalau had 12 orang bersembahyang, ini tidak kena. Dikatakan sebab tidak mahu orang keluar berpusu-pusu. Kenapa kita tidak mudahkan cara seperti di Mekah, beri plastik dan letak kasut di sebelah ketika sembahyang, taklah keluar berpusu-pusu.
Kadang-kadang kita tidak faham orang yang beragama ini. Kena tunjuk perjuangan kita. Jangan sebut maqasid syariah untuk mendahulukan nyawa, kalau usaha kita tidak buat sepenuhnya lagi. Kita boleh dahulukan nyawa dengan mengawal pergerakan bukan mengekang pergerakan.
BAIK DUDUK HOTEL
Apakah cara mengurangkan penularan di kilang?
Sektor kilang perlu dibuka untuk memenuhi rantaian bekalan global. Saya berpendapat, antara punca penularan ini adalah daripada warga asing terutama yang duduk di asrama yang budaya mereka berbeza dengan kita.
Jadi, kita kena asingkan mereka. Contohnya kita ada Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990) yang boleh digunakan dan kerajaan boleh mengarahkan majikan mengasingkan pekerja mereka di hotel. Secara tidak langsung, hotel pun boleh berjalan kerana kos dibayar majikan.
Tidak payahlah buka kantin kerana kita tengok ada kes penularan di kilang berpunca dari situ.
Kita tahu data ini, jadi SOP kenalah dibentuk dari segi memudah cara bagi membantu pergerakan, bukan kita hendak menjadi polis. Sudah tentu sesiapa yang ingkar, kita hukum, itu tiada masalah.
RESET EKONOMI
Kerajaan tidak menutup kilang kerana bimbang pelabur lari?
Dalam jangka masa panjang, kita kena reset (tetapkan semula) bagi mewujudkan circular economy (ekonomi kitaran) dengan menggunakan kepakaran anak tempatan untuk menjadi negara pengeluar dan bukan negara pengguna.
Hari ini kita mengambil jalan mudah dengan mengeksport barangan mentah, ditambah nilai oleh orang lain dan kita bawa masuk balik. Kenapa kita tidak tambah nilai di Malaysia dan kita eksport?
Kita juga boleh membantu syarikat anak tempatan seperti Grab untuk membesarkan modal mereka dengan meletakkan di pasaran antarabangsa tetapi kita tak mahu mempromosikan mereka.
Bayangkan syarikat serupa, kita bawa ke New York Stock Exchange, kita dapatkan modal dari situ berbilion ringgit dan sebahagian daripada kecairan tunai kita bawa masuk ke dalam negara, tidak perlu pinjam pun untuk membangunkan negara kita.
Terdapat isu pemvaksinan yang perlahan?
Hari ini kita cuma menggunakan tiga yang kita nampak, AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac yang mendapat kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) dari negara pengeluar atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kita kena pelbagaikan sumber vaksin yang telah mendapat EUL walaupun belum diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sebelum ini kluster kayangan boleh gunakan Sinopharm yang belum diluluskan oleh NPRA. Jadi, kena konsisten dari segi pelaksanaan.
Kita perlu menggunakan semua premis di seluruh negara untuk memberi vaksin termasuk klinik dan bangunan yang tidak dipakai.
Proses juga boleh dipercepatkan jika kita suntik vaksin terlebih dahulu, kemudian baru daftar dalam MySejahtera.
Bolehkah Kit Siang nasihat Agong?
Boleh komen titah Yang di-Pertuan Agong supaya Dewan Rakyat dan Dewan Negara kembali bersidang?
Agong ialah payung rakyat. Kalau rakyat tidak boleh mengadu kepada kerajaan berhubung perkara yang tidak memberi kesejahteraan kepada mereka, dia akan mengadu kepada raja-raja.
Ada pihak yang bertanya, kenapa perlu raja-raja hendak sibuk tentang pentadbiran negara, walhal dalam Perlembagaan menyatakan Agong memperkenankan apa sahaja nasihat daripada Perdana Menteri?
Sebab itu saya mencadangkan diwujudkan Suruhanjaya Kedaulatan Negara supaya tidak timbul krisis dan salah faham tentang Perlembagaan, kuasa kerajaan, Kabinet dan Perdana Menteri serta kuasa raja-raja.
Janganlah kita sahaja yang membuat keputusan tanpa dinasihati orang lain termasuk suruhanjaya. Dalam situasi sekarang, kerajaan kena sentiasa berlapang dada untuk menerima teguran daripada rakyat ataupun istana.
KRISIS PERLEMBAGAAN
Mungkin terjadi krisis Perlembagaan?
Ya, jika berdasarkan kenyataan dikeluarkan beberapa individu yang mempunyai pengalaman dan kepakaran.
Saya hendak berfikir di luar kotak ekoran banyak sentimen yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong kena mendengar nasihat daripada kerajaan.
Saya nak tanya satu soalan, saya tak boleh jawab. Sekiranya hari ini orang yang bernama Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri, (adakah) Agong kena dengar nasihat Kit Siang?
Kita ini masih duduk dalam kepompong selesa dalam politik. Tiada dalam Perlembagaan menyatakan Perdana Menteri seorang Melayu.
Disebut dalam Perlembagaan ada dua jenis sahaja, Melayu dan bukan Melayu. Melayu itu anak yang duduk di sini. Lim Guan Eng ialah anak Melayu berketurunan Cina dan beliau boleh menjadi Perdana Menteri.
Adakah itu yang kita mahu lihat dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang? Adakah kita nak letak institusi diraja ke tepi?
BERPECAH
Nasihat kepada pemimpin Melayu?
Saya nak tanya kepada semua pemimpin politik, termasuk diri saya sendiri, apa yang kita hendak? Adakah kita nak lestarikan (kekalkan) perjuangan hak anak bangsa ataupun kita nak jadi Perdana Menteri, menteri atau pemimpin pelapis?
Kalau kita hendak memperjuangkan kedudukan anak Melayu berketurunan Melayu yang ketinggalan di belakang dalam pendidikan dan ekonomi, patutnya kita bersatu. Dari segi politik, kita di ambang perpecahan lebih dahsyat lagi.
Dalam konteks Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kerajaan PN amat sukar untuk bertahan kalau diteraskan kepada kepimpinan Melayu-Islam kerana kewujudannya adalah ihsan daripada orang bukan Islam yang mengundi pada pilihan raya lalu.
Masa ke depan tiada satu parti pun yang boleh mendapat majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan. UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kena bersatu. Kluster mahkamah, ikutlah undang-undang dan jalani proses.
Tentang jawatan Perdana Menteri, carilah pemimpin yang boleh kita angkat ke situ. Buat masa ini yang kita nampak Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dikekalkan. Walaupun banyak kritikan, tetapi kita telah berusaha seboleh mungkin.
BERSATU TINGGAL KENANGAN?
Pandangan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, adakah parti akan terus menerajui PN?
Saya telah mengukur sokongan rakyat sebagai parti tunggak dalam PN. Saya bimbang sekiranya kita tidak mendekati penyatuan, Bersatu akan menjadi parti yang mungkin tinggal dalam kenangan.
Bersatu kena perkasakan akar umbi dan melestarikan apa yang telah kita mulakan iaitu memerangi rasuah, mengikut tadbir urus, menurunkan orang yang membawa pendekatan kleptokrasi dan warlords (panglima perang).
Saya tidak boleh hendak menafikan wujud sedikit sebanyak budaya warlords dalam Bersatu, tetapi tidak begitu besar, sebab kita parti kecil. Kita ada kelemahan yang boleh diperbetulkan.
Dalam keadaan UMNO tidak begitu stabil apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin mereka, inilah masa Bersatu menunjukkan boleh menyatukan parti-parti politik Melayu.









