Kemiskinan struktural yang berpanjangan - Utusan Malaysia

Kemiskinan struktural yang berpanjangan

SOFIYA TAMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekiranya masih ada segelintir yang mengatakan kemiskinan itu adalah mitos, maka golongan ini layak dilabel sebagai orang yang malas berfikir, kerana dengan itu mereka melabel kemiskinan dan kemalasan itu sebagai sesuatu yang sangat sinonim. Sejak pandemik Covid-19 melanda, jumlah mereka yang jatuh miskin semakin ketara, malahan tidak sedikit bilangan mereka yang mempunyai tabungan yang semakin menyusut.

Kajian dalam Families on The Edge oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bagi keadaan isi rumah golongan rentan menunjukkan kadar kemiskinan meningkat daripada 42 peratus pada Disember 2020 kepada 45 peratus pada Mei 2021. Malahan, ada kajian turut melaporkan sekitar 70 peratus individu sudah tidak ada simpanan sejak berlakunya krisis disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kajian UNICEF Malaysia terhadap 500 keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) juga mendapati sejak pandemik, 57 peratus daripada mereka mengalami kemerosotan kewangan. 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, antara kesan PKP khususnya terhadap keluarga berpendapatan rendah adalah terjejas  pendapatan serta pendidikan dan tahap kesihatan mental. Namun, masih ada segelintir masyarakat kita yang mempunyai tanggapan salah terhadap orang susah. Antara tanggapan sering kali kita dengar adalah miskin kerana malas, miskin kerana tidak bertanggungjawab, mahupun miskin kerana terlalu memilih pekerjaan. Hakikatnya, jumlah jam orang-orang miskin bekerja adalah lebih tinggi, namun disebabkan kos pendapatan mereka rendah, maka gaji mereka pun kekal rendah. 

Secara prinsip, tiada seorang pun yang bekerja sepenuh masa patut kekal berada dalam kemiskinan. Maka ini boleh kita tanyakan pada diri kita sendiri misalnya, mengapa golongan petani yang bekerja keras tetap miskin? Hal ini kerana mereka berada dalam tatanan struktural perekonomian yang menjadikan mereka sebagai pihak yang lemah dan ditindas. Justeru, sekalipun sudah bekerja keras, golongan petani akan tetap juga miskin kerana mereka dimiskinkan oleh struktural.

Faktor kemiskinan struktur ini adalah disebabkan oleh beberapa punca, antaranya dominasi, diskriminasi, eksploitasi, konflik dan bencana alam. Justeru, kemiskinan dan keterbelakangan adalah disebabkan oleh kekuatan luar yang bersifat terlalu dominan dan eksploitatif. Maka apa yang perlu difahami adalah isu kemiskinan merupakan sesuatu yang kompleks dan bersifat sistemik. 

Pakar ekonomi dari Developing Malaysia (DM) Analytics, Dr. Muhammed Abdul Khalid menyebut, langkah pertama untuk menyelesaikan isu kemiskinan adalah dengan tidak melabelkan orang miskin itu malas secara generalisasi, di samping berhenti daripada terus-menerus menidakkan realiti ketidaksamarataan khususnya dari aspek sistem pengagihan ekonomi yang tidak adil.

Susulan kempen bendera putih, tidak dinafikan ada juga sebahagian masyarakat yang mempunyai anggapan terdapat segelintir golongan miskin yang seakan-akan berasa selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapatkan bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Ironinya, ada sindiran terhadap golongan miskin yang berbunyi seperti ‘perangi kemalasan sebelum mencuba untuk mengatasi kemiskinan.’ Mengaitkan kemiskinan dengan kemalasan adalah satu alasan yang tidak lagi munasabah kerana hakikatnya dapat kita perhatikan secara langsung pada realiti yang sedang berlaku ketika ini apabila terdapat ramai orang yang kehilangan pekerjaan, kehabisan pendapatan dan ketandusan keperluan asas harian dalam keadaan yang benar-benar terdesak. Tidak dinafikan memang ada golongan miskin yang mempunyai pola pemikiran yang suka disuap-makan, tetapi memukul rata semua orang miskin sebegitu adalah sama sekali tidak adil.

Dalam soal agenda pembasmian kemiskinan, barangkali ada yang mengatakan mengangkat taraf ekonomi rakyat bukanlah dasar perjuangan  utama. Sehinggakan, ada segelintir masyarakat yang datang dengan hujah seperti menyuruh kita melihat semula bagaimana pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang pemerintahannya, yakni meletakkan kepentingan aqidah, agama dan tarbiah mengatasi kepentingan ekonomi.

Ini juga yang pernah disebut oleh Profesor Dr. Jasser Auda bahawa Islam tidak meletakkan suatu perintah secara mutlak untuk membasmi kemiskinan, bahkan tiada juga perintah untuk mengejar pembangunan.

Namun, apa yang perlu kita mengerti secara jelas di sini, dari sudut perspektif Islam, tidak membasmi kemiskinan bukanlah bermaksud Islam tidak mengendahkan isu ekonomi. Justeru, apa yang sebenarnya ditekankan oleh Islam adalah lebih kepada keadilan sosial seperti kecukupan, kesaksamaan dan keamanan asasi.

Masalah sistemik seperti kemiskinan ini kerap kali dibincangkan dalam kalangan ahli akademik, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pembuat polisi baik dari blok kerajaan mahupun pembangkang. Oleh yang demikian, antara perkara mustahak untuk difikirkan adalah dasar perancangan dan perangkaan yang dapat dimanfaatkan untuk memerangi kemiskinan yang semakin serius serta isu ketidaksamaan yang terus berpanjangan bagi mencapai kepada hasil pembangunan lebih inklusif.

Sekiranya mahu menolong orang miskin, maka ia tidak terhad kepada kegiatan turun padang lihat dan jenguk sahaja. Sebaliknya, ia harus disertai dengan usaha-usaha untuk merancang dasar di samping merangkul pelbagai agensi untuk turut bersama mengambil tindakan bersepadu bagi membantu golongan yang dicengkam dengan kemiskinan ini.

Pada waktu getir pandemik Covid-19 ini, terdapat keperluan yang lebih penting dan mustahak untuk membuat tinjauan serta penilaian semula terhadap golongan miskin. Ramai dalam kalangan kita yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, justeru kadar kemiskinan di Malaysia yang turut dikira berdasarkan cerapan data terhadap tinjauan pendapatan isi rumah (HIS) wajar dinilai dan diteliti semula untuk mengetahui kadar kemiskinan semasa. Kekurangan maklumat dalam mengenalpasti golongan miskin atau berpendapatan rendah inilah yang dipanggil sebagai kesenjangan data. Kesenjangan data ini akan menyebabkan kurangnya maklumat yang boleh diekstrak dan dikumpulkan bagi tujuan mendapatkan keputusan, analisis serta unjuran lebih tepat.

Satu kompendium analisis yang dibuat sekitar 2020 berjudul Miskin Bandar & Pandemik Covid-19 oleh Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan, antara cabaran dalam kesenjangan data ialah ketersediaan data, proses pengumpulan data, kemasukan data serta koordinasi antara agensi terlibat. Terkait dengan koordinasi secara bersama antara agensi lain yang terlibat ini turut membawa kepada satu persoalan, iaitu bagaimana untuk memastikan semua kementerian, agensi mahupun badan pemikir tertentu menggunakan data yang sama pada dapatan akhir kajiannya? Maka ini penting untuk diselaraskan agar data yang digunakan adalah tepat dan selari.

Peranan ahli akademik dan pembuat dasar adalah mengurangkan jurang ekonomi yang terlalu besar seterusnya menjamin keseimbangan ekonomi antara semua kelas masyarakat. Miskin tidak pernah menjadi keperluan. Kaya juga tidak pernah menjadi kewajipan. Tetapi mana satukah antara keduanya yang ternyata lebih menguntungkan umat?

PENULIS ialah Pelatih Praktikal di Pejabat Parlimen Setiawangsa dan Exco Pendidikan & Intelektual Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.