fbpx

Gagal hadir janji temu vaksin: Di mana silapnya?

PELBAGAI pihak perlu bekerjasama dalam memastikan janji temu vaksin dipenuhi terutama bagi golongan warga emas.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI saat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) rancak dijalankan, masih ada individu yang tidak hadir janji temu terutama golongan warga emas untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 

Tinjauan kami sebagai pengurus harian di salah sebuah PPV mendapati  antara sebab utama mereka tidak hadir kerana tidak sedar janji temu yang diberikan di aplikasi MySejahtera disebabkan tidak mengemaskini aplikasi tersebut. Ada dalam kalangan mereka yang tidak menyemak janji temu kerana tidak menggunakan aplikasi ini untuk memasuki mana-mana premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.  

Selain itu, kadar celik teknologi maklumat (IT) dan kebolehan menggunakan aplikasi adalah terhad. Tidak kurang yang terpaksa menunggu anak-anak ataupun saudara untuk mengemaskini dan menyemak MySejahtera. Ada juga yang langsung tidak tahu menahu tentang aplikasi MySejahtera kerana proses pendaftaran vaksin dilakukan secara manual oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat atau klinik kesihatan berhampiran. 

Tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV juga salah satu sebab yang menghalang mereka untuk hadir. Ada warga emas yang terpaksa bergantung kepada anak-anak atau saudara-mara selain lokasi PPV yang jauh dari rumah dan kos perjalanan yang tinggi.

Keadaan diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKP di seluruh negara. Anak-anak tidak dapat pulang ke kampung bagi menemani ibu bapa ataupun kerana ketiadaan wang akibat diberhentikan kerja. Anak-anak yang tinggal berhampiran pula mungkin mengalami kesukaran untuk mengambil cuti. Tarikh janji temu yang berasingan dalam kalangan pasangan menyukarkan lagi rancangan perjalanan mereka. Kos perjalanan berganda dan anak-anak terpaksa mengambil cuti empat hari (untuk dos pertama dan kedua). 


Ada bakal penerima vaksin yang mempunyai penyakit serius dan takut untuk mendapatkan vaksin kerana bimbangkan kesan sampingan atau merasakan mereka tidak layak menerima vaksin. Ada juga yang terlantar di rumah akibat komplikasi penyakit darah tinggi yang menyebabkan mereka lumpuh setelah mendapat serangan angin ahmar. 

Saban hari, ada sahaja berita palsu mengenai kesan sampingan vaksin yang diedarkan oleh individu tidak bertanggungjawab. Golongan ‘atas pagar’ yang telah mendaftar dan menerima janji temu, terpengaruh dengan dakyah palsu ini menyebabkan mereka tidak hadir ke PPV. Ada individu yang membuat perbandingan jenis-jenis vaksin yang diberikan di PPV sehingga mendatangkan ketakutan bakal penerima vaksin. Ada juga yang menghujahkan bahawa penerima sesetengah jenis vaksin dilarang memasuki negara-negara tertentu menyebabkan vaksin ini ditolak untuk diberikan kepada mereka.

Oleh itu, diharap orang ramai sentiasa menyemak MySejahtera, pihak yang terlibat dan anak boleh membantu menyemak tarikh janji temu ibu bapa, penambahbaikan seperti lokasi PPV yang lebih dekat serta servis  pengangkutan dan menawarkan khidmat membawa dan meneman warga emas ke PPV dilihat dapat membantu negara mencapai  imuniti kelompok dengan segera.

PROF. MADYA DR. MOHD. DZULKHAIRI MOHD. RANI dan PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI