Bimbang rakyat tidak memaafkan ahli Parlimen - Utusan Malaysia

Bimbang rakyat tidak memaafkan ahli Parlimen

SIDANG Dewan Rakyat bukannya kongres dipenuhi wakil rakyat dengan kepentingan sendiri dan saling bermusuhan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI semua sedia maklum, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos.

Mesyuarat bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan sidang Parlimen diadakan secara hibrid.

Amat diharapkan ahli-ahli Parlimen benar-benar menggunakan sesi sidang secara bersemuka seperti kebiasaan itu sekurang-kurangnya bagi mendengar rintihan rakyat serta menunjukkan mereka bersedia untuk bermuafakat, bekerjasama dan menjaga kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian yang terbatas.    

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pernah mengingatkan, Parlimen perlu menjadi satu perhimpunan yang membincangkan hal-hal melibatkan kepentingan negara dan bukannya satu kongres dipenuhi wakil rakyat dengan kepentingan sendiri dan saling bermusuhan.

Suka atau tidak, setiap wakil rakyat seharusnya mengetepikan agenda peribadi, menyingkirkan perasaan balas dendam dan buruk sangka kerana ini semua hanya akan menghancurkan diri dan karier mereka sendiri.

Sekarang adalah masa untuk semua pemimpin politik mendengar suara rakyat yang berkuasa memberikan mandat kepada mereka untuk terus berada dalam Dewan Rakyat.  

Bagi rakyat, soal politik tidak penting kerana sekarang mereka bukan sahaja bergelut melawan pandemik Covid-19 bahkan ekonomi mereka juga terancam. Justeru, wakil rakyat dan ahli politik harus berjiwa besar. Jika tidak, rakyat tidak akan memaafkan mereka.

Pun begitu, rakyat juga tidak seharusnya terlalu bergantung kepada wakil rakyat semata-mata. Cara berfikir bahawa wakil rakyat sepatutnya menguruskan seluruh urusan hidup adalah amat tidak wajar. Namun, apa yang perlu difahami adalah wakil rakyat sepatutnya berada di nadi rakyat. Memahami dan mengambil maklum akan keresahan rakyat.  

Hakikatnya, ekonomi kini menjadi taruhan termahal disebabkan terdapat segelintir pihak yang hanya tahu mengkritik dan mencari alasan untuk menunjukkan persepsi negatif ke atas kerajaan.

Perlu disedari, tanggungjawab kerajaan menjadi lebih besar ketika ini bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Penggantungan Parlimen walaupun dilihat oleh sesetengah pihak sebagai antidemokrasi, namun tindakan tersebut adalah perlu bagi memastikan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dapat berjalan lancar tanpa sebarang kerenah birokrasi dan politik yang rumit. 

Amat diharapkan apabila Parlimen kembali bersidang nanti, tiada pihak yang memanipulasi keadaan dan bermain politik. Selama ini ahli politik sering menggunakan alasan tindakan mereka bersandarkan kemahuan dan aspirasi rakyat, maka sudah sampai waktunya sekarang rakyat pula bersuara menyatakan keinginan mereka.

Sidang Parlimen akan menjadi perhatian rakyat. Rakyat akan kecewa jika ia tidak digunakan untuk mengangkat kembali darjat hidup mereka yang semakin tertekan akibat pandemik.

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya