fbpx

Perkim bimbang agenda politik murahan

BANTUAN daripada Perkim adalah semata-mata atas dasar kebajikan dan kemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERMULA 1 Jun lalu, rakyat Malaysia sekali lagi menjalani sekatan penutupan penuh (total lockdown) selama dua minggu sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Meskipun sedar tentang kepentingan pelaksanaan langkah ini, namun kegusaran tetap ada bagi mereka yang mempunyai risiko kehilangan punca rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) turut serta turun padang bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membantu masyarakat yang dihimpit kesusahan sepanjang tempoh mencabar ini.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan atas kesempitan hidup masyarakat demi kepentingan agenda politik mereka semata-mata.

Perkim ingin menyatakan pendirian kami bahawa pemberian bantuan yang bermotifkan politik adalah perbuatan keji.

Sejak penubuhannya pada 1960, Perkim terus komited memberikan bantuan sehingga sekarang tanpa mengira kaum dan agama serta tidak berselindung di sebalik agenda politik murahan.

Bantuan daripada Perkim adalah semata-mata atas dasar kebajikan dan kemanusiaan, sesuai dengan ajaran Islam.

Kami berharap organisasi politik mengamalkan nilai-nilai etika dengan menjauhkan daripada melakukan sebarang kegiatan yang boleh ditafsirkan sebagai menangguk di air keruh dan berlakon mempamerkan sifat penyayang palsu untuk membeli maruah orang Islam dengan wang ringgit.

TAN SRI DR. MOHD YUSOF NOOR
Setiausaha Agung Kehormat Perkim