PdPR: Saranan Mahdzir satu wake-up call untuk ibu bapa, murid - Utusan Malaysia

PdPR: Saranan Mahdzir satu wake-up call untuk ibu bapa, murid

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Sebagai seorang pegawai yang masih berkhidmat dan terlibat secara langsung dalam menjayakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), saya amat bimbang melihat ada ibu bapa dan pelajar yang beranggapan belajar secara dalam talian adalah bersifat sementara dan akan berakhir dalam masa terdekat. Perlu diingatkan, tiada garis masa yang tepat bila ia akan ditamatkan kerana semua ini bergantung kepada faktor di luar jangkaan.

Apabila berbicara tentang PdPR, kita sebenarnya bercakap tentang pembelajaran secara synchronous dan asynchronous. Synchronous ialah apabila PdPR dijalankan secara langsung dengan keberadaan guru dan murid pada masa sama. Sementara asynchronous, PdPR yang dijalankan dalam talian tetapi tidak secara langsung di mana murid boleh belajar atau menyiapkan tugasan diberikan oleh guru pada masa yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan kesediaan murid. Kita sentiasa cuba memenuhi  keperluan murid untuk belajar.

Sebagai pegawai yang mengawal selia pengajaran guru, saya dapati guru-guru bekerja keras dalam menjayakan pendidikan anak-anak didik mereka dengan mengambil kira semua faktor. Ada dalam kalangan mereka yang bekerja hingga larut malam melayan keperluan pendidikan murid-murid mereka. 

“Malam-malam saya sekarang ini dipenuhi dengan melayan pertanyaan murid-murid dan ibu bapa mereka. Namun saya bimbang dengan murid-murid yang langsung tidak ‘kelihatan’ semasa era PdPR ini,” kata seorang ketua panitia bahasa Inggeris di sebuah sekolah kebangsaan. 

Perkara paling utama yang diambil kira oleh guru ialah peranti murid. Menyedari ada kekangan akses capaian internet murid-murid, guru-guru  mengambil langkah-langkah alternatif agar kekangan ini tidak menafikan murid dapat belajar sebaik mungkin. 

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan  Kementerian Pendidikan juga perlu melihat dari aspek teknikal dan teknologi yang mampu memenuhi keperluan murid sepanjang menjalani sesi PdPR. Bimbang murid-murid yang tidak menyertai PdPR, Mahdzir turut mencadangkan proses rehabilitasi untuk murid yang tidak dapat mengambil bahagian dalam PdPR apabila sekolah dibuka semula secara bersemuka seperti sedia kala.

Hakikatnya setelah langkah-langkah proaktif diambil oleh guru-guru, keberadaan murid semasa PdPR masih rendah. Justeru, setelah semua ini diambil kira, Mahdzir mencadangkan seseorang murid yang sengaja tidak kelihatan semasa PdPR digantung persekolahannya. Ada netizen yang menyuarakan sikap kurang senang mereka dengan saranan tersebut. Walhal cadangan itu merupakan satu wake-up call amat berguna bagi para pelajar yang langsung tidak berusaha untuk hadir dalam sesi PdPR mereka. Mereka yang tidak pernah berkhidmat dalam bidang pendidikan  mungkin begitu takut dengan perkataan ‘gantung’ sedangkan perkataan gantung sekolah hanya bertujuan mendidik dan bukannya menghukum. Ia bagi menentukan murid yang bermasalah dibantu untuk mengatasi masalah dihadapinya agar dia kembali dalam sistem persekolahan  diharapkan seperti rakan rakan-rakannya yang lain.    

Seorang guru besar yang enggan namanya disebut berkata, “apa yang disuarakan oleh Mahdzir itu adalah tepat sekali kerana sebagai guru besar, saya amat bimbang apabila ada dalam kalangan pelajar yang mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap PdPR ini. Saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh guru-guru saya. Mereka telah melakukan yang terbaik bagi memastikan tidak ada murid yang tertinggal. 

“Perlu diingatkan, PdPR ini telah bermula sejak tahun lepas lagi. Sepatutnya tidak ada alasan yang boleh diterima jika seseorang murid itu tidak menyiapkan tugasan diberikan. Sekolah kami seperti sekolah-sekolah lain, menyediakan modul-modul secara manual bagi murid-murid yang menghadapi masalah belajar dalam talian.”

Seorang guru besar wanita yang berkhidmat di sebuah lagi sekolah kebangsaan beranggapan, “masanya telah tiba untuk para pelajar  menerima hakikat bahawa belajar secara dalam talian merupakan sesuatu yang biasa dalam norma baharu ini. Lambat laun saranan Mahdzir ini merupakan sesuatu yang perlu demi kepentingan pendidikan murid.

“Tambahan pula saranan ini bukannya ditujukan kepada murid-murid yang mempunyai masalah peranti atau akses internet. Ia ditujukan kepada mereka yang sengaja ‘ponteng’ semasa Pdpr dijalankan. Jika kita tidak buat sesuatu, mereka akan jauh ketinggalan apabila sekolah dibuka semula seperti biasa.”

Sebagai seorang bekas pengetua sekolah, Mahdzir tahu apa yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah keciciran pelajar. Netizen tidak perlu bimbang hanya kerana tidak membaca saranan penuh beliau.

Cikgu Kamarul
Pegawai SISC Bahasa
Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya