Nek We, Atuk Din jadi inspirasi - Utusan Malaysia

Nek We, Atuk Din jadi inspirasi

Sentiasa bersikap positif menjadikan Atuk Din (kiri) dan Nek We kekal aktif serta ceria pada usia emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kakak sulung saya suka mengait. Ke mana sahaja Kak Aiman berada, pasti ada jarum dan benang kait bersamanya. Kak Aiman belajar daripada nenek saudara kami, Nek We yang juga dikenali sebagai Teacher Nong.

Kerana tidak mahu ilmu dan kebolehannya hilang dan dilupakan, Nek We mewariskan kemahiran ini kepada kami. Berguru dengan Nek We memang menyeronokkan. Suasana kelas kami sentiasa ceria dengan gurau senda serta gelak ketawa. Lebih mengujakan, kami dihadiahkan segala kelengkapan mengait pada hari pertama kelas.
Nek We pernah menulis dua buah buku tentang seni ini pada 1968. Ketika itu, belum ada buku berbahasa Melayu tentang cara-cara mengait. Maka karyanya itu menjadi panduan serta sumber inspirasi kepada mereka yang mahu mendalami seni ini.

Kalau Nek We aktif dengan hobinya, suaminya, Atuk Din pula suka bersukan dan bercucuk tanam. Aktiviti sedemikian membantu Atuk Din kekal sihat dan cergas sehingga kini. Walaupun mencapai usia emas, Atuk Din masih aktif bermain badminton bersama rakan-rakannya. Setiap kali kami ke rumah mereka, Atuk Din pasti akan membawa kami melihat tanaman baharu di taman yang sentiasa terjaga rapi.

MEMBAZIR

Saya amat mengagumi kegigihan dan semangat yang ada pada atuk dan nenek. Mereka mempunyai semangat yang kental serta tidak suka membazir masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah. Malah sikap yang sentiasa positif menjadikan mereka kekal aktif dan ceria walaupun pada usia emas.

Semangat dan nilai hidup Nek We dan Atuk Din menjadi inspirasi dan dorongan kepada saya untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri. Walaupun tanpa kemudahan teknologi seperti yang kita nikmati sekarang, mereka berupaya mencapai pelbagai kejayaan pada usia muda. Justeru, tiada sebab untuk kita tidak cuba melakukan perkara serupa.

Generasi muda seharusnya menghargai, menghormati serta mencontohi kekuatan serta jati diri generasi terdahulu. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada pengalaman dan ilmu yang mereka ada dalam usaha kita membentuk diri menjadi insan lebih baik.

PENULIS ialah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN