Melayu lebih terima MCA berbanding DAP - Utusan Malaysia

Melayu lebih terima MCA berbanding DAP

MCA tidak terdesak untuk bertukar menjadi lebih ekstrem semata-mata untuk menarik hati pengundi Cina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BIARPUN sedang hebat bergelut dengan pandemik Covid-19, negara kita tetap tidak pernah sunyi daripada gegak-gempita kecelaruan politik seperti cadangan jajaran baharu yang dikatakan melibatkan UMNO, PKR dan DAP.

DAP dilihat dapat menggantikan MCA yang dianggap segelintir pemerhati politik sebagai sudah hilang taring dan pihak lebih radikal menganggap komponen Barisan Nasional (BN) itu sudah lenyap daripada radar politik tanah air.

Sebenarnya, adalah tidak adil untuk menyimpulkan MCA tidak relevan dalam arena politik semasa memandangkan parti itu masih aktif mencurahkan bakti di seluruh negara.

Ia juga mempunyai kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, malah turut memiliki wakil di peringkat kerajaan Pusat buat masa ini.

Penolakan masyarakat Cina terhadap MCA disebabkan DAP memperdayakan kaum itu bahawa parti berkenaan mampu melakukan perubahan drastik dalam mempromosikan Malaysian Malaysia dan menentang ketuanan Melayu yang selama ini dijuarai oleh UMNO.

Masyarakat Cina mula melihat UMNO sebagai sebuah parti yang terlalu dominan sehinggakan MCA didakwa tidak mampu berdiri mempertahankan masyarakat Cina.

Akhirnya, masyarakat Cina terutama golongan muda menganggap parti konservatif seperti MCA sudah tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman.

Relevan atau tidaknya MCA hanya sekadar pendapat dan bersifat subjektif. Sehingga kini, MCA kekal komited dan konsisten dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat di kawasan pilihan raya mereka.

Populariti MCA dan BN juga dilihat kian pulih, terutama apabila BN dan Muafakat Nasional (MN) berjaya memenangi tujuh daripada 12 pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk Parlimen Tanjung Piai yang dimenangi oleh MCA dengan peningkatan undi mendadak daripada masyarakat Cina.

Isu yang sering menghimpit MCA seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dilihat mengecewakan masyarakat Cina. DAP sebelum ini memberi jaminan isu terbabit akan diselesaikan sekiranya mereka berjaya ke Putrajaya.

Namun, DAP tidak mampu untuk melakukan sebarang perubahan seperti yang diharapkan ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan. Malah dalam isu UEC, wakil DAP yang menjawat Timbalan Menteri Pendidikan turut gagal untuk menunaikan apa yang dijanjikan kepada masyarakat Cina.

Seperkara yang jelas di sini ialah MCA tidak pernah mencetuskan sebarang isu perkauman mahupun melahirkan keresahan dalam menarik sokongan masyarakat Cina berbanding DAP.

Parti itu sudah cukup terbiasa dengan semangat kebersamaan, toleransi dan setiakawan yang diwarisi dan dipupuk melalui BN.

Rekod MCA yang bersih dan sentiasa menghormati UMNO, MIC dan rakan komponen lain dalam BN sebelum ini sudah cukup untuk menjelaskan perbezaan antara kedua-kedua parti itu.

Pada pandangan kebanyakan orang Melayu pula, MCA adalah sebuah parti yang lebih diterima berbanding DAP.

Tidak seperti DAP, MCA kelihatan tidak terdesak untuk menukar orientasinya menjadi lebih ekstrem hanya semata-mata untuk menarik hati pengundi Cina.

MCA juga tidak perlu apologetik (menyesali sesuatu perbuatan yang telah terlanjur) dalam perjuangan mereka untuk membela nasib masyarakat Cina jika dibandingkan dengan DAP yang berselindung di sebalik propaganda Malaysia milik rakyat Malaysia.

RIZAL JOHAN
Pelajar pascasiswazah di sebuah universiti awam tempatan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya