fbpx

Komunikasi korporat nafikan maklumat golongan antivaksin

Iklan korporat menggalak warga Kementerian Sumber Manusia mendaftar imunisasi vaksin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SARJANA Komunikasi Korporat, Van Riel pada 1992 menakrifkan komunikasi korporat sebagai proses pengurusan strategik organisasi berkomunikasi dengan khalayak sasaran atau para pelangganya untuk memperoleh manfaat bersama dan meningkatkan peluang persaingan pelbagai tujuan.

Ia memberi penekanan bahawa pengurusan strategik dan pemahaman yang jelas mengenai disiplin adalah teras dalam amalan komunikasi korporat.

Seorang lagi sarjana, Argenti pada 1998 pula menyatakan, komunikasi korporat merupakan cara organisasi berkomunikasi dengan kumpulan manusia.

Menurutnya, kumpulan manusia ini merangkumi publik dalaman seperti pekerja dan publik luaran seperti pesaing, pembekal, pelanggan, kumpulan rentan, pengundi, orang kurang upaya dan orang perseorangan.

Dalam konteks sektor awam, tanggungjawab mereka adalah besar untuk menjaga kepentingan rakyat. Dalam situasi hari ini, mereka perlu memainkan peranan memastikan mesej berkaitan kepentingan vaksin kepada orang awam dilakukan dengan baik.

Ini termasuk menyediakan bahan dokumentasi yang mudah dengan mesej yang jelas bagi menarik kesedaran rakyat selain memudahkan proses penerimaan vaksin seperti menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk warga emas.

Selain itu, mereka juga berperanan menyakinkan warga emas tentang kebaikan vaksin. Cadangan oleh Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhamad Fahmi Rusli supaya para ilmuan agama yang mempunyai pengaruh di media sosial diberi vaksin bagi menyakinkan golongan rakyat khususnya warga emas agar tidak lagi ragu untuk menerima suntikan vaksin ini disambut baik.

Tugasan lain adalah menyelesaikan segala kecelaruan rakyat berhubung maklumat golongan antivaksin yang tular di media sosial. Kenyataan itu perlu dinafikan kerana menakutkan rakyat untuk menerima vaksin, selain menyediakan kenyataan media bagi memudahkan penyampaian maklumat di media massa.

Kami juga harus menyelia urusan aduan dan keluhan rakyat serta reaksi yang pelbagai dirumus serta mencari jalan penyelesaian dan khidmat pelanggan berteraskan tempoh masa.

Justeru, fungsi serta peranan pasukan komunikasi korporat sama ada sektor awam dan swasta penting bagi mengangkat imej dan reputasi organisasi. Tugasan perlu dipikul dengan baik dan berhati-hati agar tidak dilabel tidak cekap, tidak kompeten dan kurang berusaha hanya semata-mata kerana mengambil sikap tunggu dan lihat dalam keadaan penularan wabak Covid-19.

YOSRI ABU MAHSIN
Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat
Kementerian Sumber Manusia