Kisah bangsa yang sombong dan hina… - Utusan Malaysia

Kisah bangsa yang sombong dan hina…

Gambar anak yatim, Nazik, yang terselamat dalam runtuhan selepas bangunan tempat dia berlindung di Wehda di tengah Gaza ranap dibom rejim Zionis bulan lalu mengundang simpati pelbagai pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAMBAR anak yatim, Nazik, yang terselamat dalam runtuhan selepas bangunan tempat dia berlindung di Al Wehda Street di tengah Gaza ranap dibom rejim Zionis bulan lalu mengundang simpati pelbagai pihak.

Umurnya panjang tetapi hari-hari mendatang untuk kanak-kanak ini, bergantung kepada ihsan saudara mara dan keprihatinan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin.

Ketika dibawa keluar, dia tidak mengalami kecederaan teruk sepertimana ibu saudara yang menjaganya selama ini, Diana Abu Al Awf .

Selepas dua minggu serangan berakhir, Nazik diuji lagi.

Kali ini, Diana yang menjadi tempat menumpang kasih selepas kematian ibu kandung sejak dilahirkan, gagal diselamatkan akibat kecederaan parah yang dialami sebelum ini.

Umurnya tidak sampai tiga tahun, tetapi dugaan kanak-kanak ini seakan tiada penghujung.

Nasibnya kini terkontang-kanting.

Kisah Nazik mengingatkan lirik lagu puisi Balada Seorang Gadis Kecil yang pernah didendangkan Allahyarham Zubir Ali ketika penyembelihan tentera Israel di kem Sabra dan Shatila pada 17 September 1982.

Gadis kecil itu telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita
Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering airmata
Menangisi kematian
Ayahbonda dan saudara
Pada suatu senja
Langit Syatila
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita
Munir ditembak
Penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia
Peristiwa hitam 17 September
Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Suatu bangsa yang sombong dan hina

Penulis bersama anak-anak muda Palestin di Gaza ketika membuat liputan pada penghujung 2008 dan awal 2009.

Kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak pernah bernoktah dan serangan ke atas penduduk Gaza ketika umat Islam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, adalah bukti jelas Zionisme adalah musuh kemanusiaan sejagat.

Sepanjang 11 hari pengeboman tanpa henti ke atas Gaza, serangan pada malam Ahad, 16 Mei 2021, dikatakan paling sengit apabila tentera Israel melancarkan lebih 150 serangan roket ke atas Gaza dan lebih separuh ditala ke Al Wehda Street yang padat dengan penduduk.

Dalam sekelip mata, lebih 35 nyawa orang awam melayang!

Jumlah korban terus bertambah selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat dibuat sejurus selepas pengeboman reda.

Sejak serangan pertama bermula pada 10 Mei 2021 yang berakhir 11 hari kemudian, sekurang-kurangnya 254 terbunuh termasuk lebih 66 kanak-kanak.

Penduduk Gaza telah membayar dengan nyawa untuk mempertahan setiap inci tanah air mereka dari terus dirampas pendatang Yahudi.

Kemaraan mereka berjaya disekat.

“Kita berpisah di sini dan kita akan jumpa di syurga” kata pejuang Hamas ini ketika penulis mengucapkan selamat tinggal sebelum meninggalkan bumi Gaza pada Januari 2009.

Namun di satu bahagian lagi, di Tebing Barat, tanah penduduk Palestin berterusan dirampas dengan pelbagai alasan.

Selepas Sheikh Jarrah, kini penduduk Silwan pula menjadi mangsa.

Meski dikena pelbagai larangan dan tekanan, semangat penduduk Palestin untuk membebaskan tanah air yang kini dijajah Zionis tidak pernah luntur.

“Satu anak aku mati, aku akan beranak lagi kerana aku bangga menjadi Ummu Syuhada dan aku akan terus beranak untuk melahirkan Jundallah (tentera Allah)” kata salah seorang wanita kepada penulis ketika membuat liputan ketika Perang Gaza pada Disember 2008-Januari 2009.

Jangan biarkan mereka bersendirian, tanggungjawab kita juga sama kerana menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam untuk membebaskan masjid ketiga suci bagi umat Islam, Masjid Al Aqsa yang kini dikuasai Zionis. – UTUSAN

Razali Awang adalah bekas wartawan TV3 yang pernah membuat liputan di Gaza

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya