Jangan politikkan pandangan mufti - Utusan Malaysia

Jangan politikkan pandangan mufti

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA April lalu, beberapa pihak mempertikaikan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah yang menyatakan hukum melanggar larangan merentas negeri ditetapkan kerajaan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah haram.

Pandangan itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menyebut, umat manusia perlu mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar dari kawasan berkenaan.

Jelas, pandangan yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan mengenai larangan merentas negeri adalah tepat.

Pandangan ini pada asalnya mendapat respons negatif sebahagian masyarakat kerana beranggapan ia seolah-olah mendukung kehendak kerajaan atau sebagai jalan untuk menghalang mereka pulang ke kampung menyambut lebaran.

Bahkan, ada pihak yang menyatakan imej mufti terjejas apabila meletakkan hukum haram merentas negeri.

Kenyataan pihak tersebut berbaur politik apabila menyatakan institusi fatwa bersikap lepas tangan apabila melibatkan pemerintah, namun campur tangan dalam urusan rakyat khususnya perkara melibatkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Pihak tersebut dilihat tidak memahami realiti institusi fatwa di Malaysia apabila mengaitkan pandangan peribadi mufti dengan fatwa yang dikeluarkan oleh institusi itu.

Begitu juga tidak memahami asas pandangan mufti terhadap isu tersebut.

Hukum haram yang diputuskan bukanlah satu hukum yang bersifat mutlak tetapi ia berkait dengan alasan dan perincian tertentu.

Ia berkait rapat dengan izin dan kebenaran pemerintah. Jadi, barang siapa yang merentas negeri tanpa keizinan sudah tentu ia diharamkan kerana dua sebab secara umum.

Pertama, melanggar perintah pemerintah yang dikeluarkan kerana maslahah (kepentingan umum). Perlu difahami juga, hukum haram ini akan terpakai kepada semua termasuk pemimpin ataupun golongan ‘kayangan’ jika merentas negeri tanpa keperluan dan tanpa izin.

Kedua, menyebabkan penularan risiko penyakit berjangkit. Sebagaimana kita sedia maklum, kaedah pengawalan penyakit berjangkit yang diperakui oleh pakar perubatan bahkan ulama Islam sendiri adalah mengehadkan pergerakan, duduk di rumah atau mengasingkan diri.

Perlu diketahui juga, larangan itu bergantung kepada individu. Bermakna jika seseorang amat berisiko membawa penularan wabak dengan merentas negeri, maka jelas haram bagi dia berbuat demikian walaupun dengan izin.

Namun, jika seseorang itu tiada risiko membawa atau mendapat wabak, maka hukumnya tidak sampai kepada tahap haram, namun langkah pencegahan tetap perlu diambil.

Sudah menjadi tanggungjawab mufti untuk mengemukakan penyelesaian atau pandangan mewakili keadaan yang bersifat kepentingan umum secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan individu atau sekumpulan orang.

Justeru, kenyataan mengharamkan adalah lebih tepat dan selari dengan sifat hukum itu sendiri iaitu mencegah dan mengambil pendekatan sadd al-dharai’ (menutup pintu kemungkaran).

Kaedah sadd al-dharai’ digunakan untuk menutup ruang berlakunya sesuatu mudarat yang lebih besar berasaskan jangkaan dan data yang ada.

Banyak kaedah bersifat kepentingan umum yang mendukung penggunaan kaedah ini seperti hendaklah mengambil kemudaratan yang lebih ringan dan menanggung mudarat yang khusus untuk mengelakkan berlaku mudarat yang lebih umum.

Tambahan pula hari ini, pihak barisan hadapan sedang serius membendung penularan wabak Covid-19.

Kluster-kluster yang disebabkan aktiviti merentas negeri adalah antara penyumbang terhadap peningkatan kes.

DR. MUHAMMAD IKHLAS ROSELE
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.