Jangan asyik salahkan artis, menteri sahaja - Utusan Malaysia

Jangan asyik salahkan artis, menteri sahaja

MASYARAKAT gemar mencari kesalahan artis tidak mematuhi SOP tetapi salah sendiri tidak nampak. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TANGGAL 18 Mac 2020 menyaksikan kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 daripada terus menular dalam negara kita.

Langkah ini dilihat amat penting walaupun membawa beberapa kesan negatif terutama aspek ekonomi dan sosial.

Pada masa itu, Malaysia dilihat seolah-olah sangat tertekan bagi membendung permasalahan tersebut. Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) menjadi salah satu perkara paling dititikberatkan oleh kerajaan bagi memastikan wabak tidak terus merebak.

Namun, jika diperhatikan sejak bermulanya wabak, rata-rata masyarakat sering menyalahkan pihak tertentu kerana berlakunya penyebaran Covid-19.

Sebagai contoh, kesalahan diletakkan di bahu kerajaan pada awal pandemik bermula kerana masih membenarkan warga China masuk ke Malaysia. Kemudian, warganet juga menghentam habis-habisan jemaah tabligh yang mengadakan perhimpunan beramai-ramai di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur hingga menyebabkan wujud kluster paling besar pada masa itu.

Seterusnya disalahkan kluster Sivagangga dan kluster-kluster lain yang berpunca daripada Pilihan Raya Negeri Sabah.

Perkara pokok yang ingin disampaikan adalah kesalahan berlakunya penyebaran wabak tidak pernah diletakkan pada diri masing-masing. Walhal jika kesemua SOP yang ditetapkan dipatuhi, sudah tentu penyebaran wabak dapat dibendung dengan lebih efisien atau sekurang-kurangnya diperlahankan.

Sebagai contoh, pertama, jika kita perhatikan masih ramai yang tidak mencuci tangan sebelum masuk dan keluar premis dengan pensanitasi tangan atau sabun walaupun memakai pelitup muka dengan baik.

Kedua, semasa pergi ke pasar, masih ramai yang bergesel badan antara satu sama lain kerana berebut membeli sayur atau ikan.

Ketiga, masih ramai ketika di pejabat datang berborak sambil tidak memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal kononnya bukan berada di tempat awam dan tiada pengawasan pihak berkuasa.

Keempat, masih ramai yang memakai dengan betul pelitup muka ketika hendak masuk ke masjid dan mengimbas suhu tetapi membukanya dan memakai di bawah dagu ketika sedang solat kerana menganggap sukar untuk bernafas.

Tambahan pula, selesai solat Jumaat khususnya mereka berebut-rebut keluar melalui pintu masjid kerana sikap tidak sabar sehingga membuatkan mereka terlupa untuk mematuhi penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi tangan.

Natijahnya, kealpaan dan sikap acuh tidak acuh kebanyakan rakyat menjadi faktor utama penyebaran wabak dalam kalangan komuniti, tempat kerja, aktiviti sosial dan sebagainya.

Tidak hairanlah jika kebanyakan kes positif ini tidak disedari di mana puncanya walhal pematuhan kepada SOP diambil mudah kerana mentaliti sebahagian daripada kita yang menganggap Covid-19 tidak terlalu bahaya pada golongan muda.

Jika ingin dipaparkan masih terdapat 1,001 ketidakpatuhan rakyat pada SOP tetapi mereka masih lagi tidak sedar hingga ke hari ini.

Malahan mereka mencari kesalahan tidak mematuhi SOP orang lain terutamanya golongan menteri, artis, bangsawan dan seumpamanya. Bak kata pepatah, kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak kelihatan.

RADZI ABDUL RASIH
UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya