Bukan semua ada belas kasihan - Utusan Malaysia

Bukan semua ada belas kasihan

ROSLAND MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIDAK dinafikan kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghulurkan bantuan kepada rakyat yang sengsara akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, masih ada syarikat yang bertindak kejam untuk menganiaya rakyat bagi membolehkan tauke yang sudah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit terus kaya.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), ROSLAND MOHD. ARIF mendedahkan ada mangsa yang 100 peratus orang Melayu teraniaya kerana mereka kurang arif tentang undang-undang.

Ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, FARIZ RUSADIO di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini, Rosland yang nampak lebih muda walaupun berusia melebihi enam dekad masih sempat melayan panggilan telefon daripada beberapa individu yang menagih pertolongannya.

Sebarang aduan juga boleh dihantar kepada beliau melalui e-mel, [email protected].

SENARAI HITAM

UTUSAN: Apakah bentuk penipuan yang persatuan mahu dedahkan?
ROSLAND: Ada beberapa syarikat yang mengambil kesempatan menjual alat-alat keselamatan kenderaan, belajar bahasa Inggeris dan penapis air dengan harga setiap barang antara RM1,000 hingga RM2,000.

Isu utama yang kita hendak bangkitkan ialah kebanyakan alat-alat ini tidak berfungsi dengan baik kerana berkualiti rendah. Mereka tidak dapat mengembalikan barang-barang ini dan apabila hendak dihantar ke pusat servis, pusat itu tidak wujud atau tidak dapat memberikan servis yang baik.

Mereka sepatutnya membayar ansuran secara bulanan. Tetapi bila barang ini tidak berfungsi, kebanyakan orang kita tidak bayar, jadi mereka telah dikira berhutang.

Akibatnya mereka disenarai hitam oleh syarikat terbabit dengan jumlah hutang terkumpul begitu besar sekali, ada dari RM1,000 naik sampai RM10,000 dan ada hingga RM19,000 dengan kadar faedah sebanyak 18 peratus setahun.

Bagaimana mangsa tahu telah disenarai hitam?
Apabila mereka hendak membuat pinjaman kereta atau rumah, berdasarkan rekod senarai hitam yang terdapat dalam sistem agensi pelaporan kredit swasta.

Ada dua agensi pelaporan kredit swasta yang paling popular, tapi kita tidak boleh sebut nama, sensitif. Tidak pernah satu orang pun membangkitkan masalah ini. Bank masih menggunakan maklumat agensi ini untuk mengeluarkan pinjaman.

Salahkah syarikat terbabit menuntut hutang?
Isunya sekarang, yang kita kena faham, apabila mereka hendak disenarai hitam, apakah jenis dokumen yang diserahkan syarikat itu kepada agensi pelaporan kredit?

Pernahkah kita tahu, apa dokumen dipakai? Perlu dibangkitkan, perlu dipecahkan rahsianya.

Setelah saya sendiri pergi ke salah satu agensi terbabit, saya mendapati dokumen yang digunakan tidak sah untuk menyenaraihitamkan orang-orang tersebut. Hanya sekeping surat yang tidak layak untuk menyenarai hitam seseorang. Sepatutnya bila pinjaman dibuat, ada satu borang perjanjian pinjaman membeli alat yang bersetem dan ada saksi untuk setiap perjanjian.

Ramai rakyat tidak tahu mereka disenarai hitam dengan dokumen tidak sah. Sedihnya dengan orang Melayu kita, mereka tidak mahu ambil tahu dan hanya berserah apabila kena senarai hitam. Syarikat ini ambil kesempatan ke atas beberapa ribu mangsa ini kerana ada agensi pelaporan kredit swasta yang membenarkan perkara ini berlaku.

Jadi, bila disenarai hitam, orang kena rujuk balik kepada syarikat untuk membuat bayaran yang begitu besar dan di sinilah syarikat mula ambil kesempatan. Syarikat tidak hantar pemungut hutang pun. Mereka biar sahaja (hutang) bertahun-tahun, ibarat api dalam sekam. Suatu ketika, bila mereka buat pinjaman (baharu), barulah syarikat-syarikat ini akan mendapat keuntungan yang besar.

Mereka menuntut secara ‘gila-gila’ daripada peminjam. Syarikat betul-betul ambil kesempatan untuk ‘membelasah’ peminjam tersebut. Saya sudah berjumpa dengan tauke-tauke ini, dia cakap sebelum kau kacau aku, pendapatan aku RM3 juta sebulan, sekarang tergugat.

Saya selalu berdoa supaya Allah beri hidayah dan balasan yang setimpal kepada orang ini kerana menjahanamkan orang-orang Melayu kita.

KEJAM

Betulkah ramai jadi mangsa?
Orang ramai pun boleh periksa di enjin carian popular, Google tentang syarikat-syarikat jualan langsung berkenaan. Taip sahaja mangsa-mangsa (nama syarikat), keluar semua beribu yang mengadu masalah syarikat tersebut. Sudah terbukti orang awam mengatakan tentang kejahatan mereka.

Di sini jelas kita nampak, betapa jahatnya mereka dan betapa kejamnya syarikat-syarikat ini.

Adakah aduan telah dibuat kepada agensi terbabit?
Bila saya tegur dengan menyatakan sepatutnya tidak boleh berbuat demikian, agensi pelaporan kredit terbabit terkejut dan keluarkan ramai nama orang-orang ini daripada senarai hitam. Saya cakap kalau rakyat tahu mereka disenarai hitam dengan dokumen tidak sah, kau orang (agensi) boleh disaman. Dia orang takut.

Agensi ini tidak tulus (jujur), mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit semata-mata untuk menyenaraihitamkan orang dengan dokumen tidak tepat dan tidak betul.

Yang menderita ialah penama, peminjam dan pembeli.

Di sini jelas agensi ini tiada integriti, Hendak buat duit, dia belasah sahaja. Tidak sepatutnya agensi pelaporan kredit bersekongkol dengan syarikat terbabit. Tetapi bila saya tegur, kenapa agensi keluarkan nama? Kerana memahami dokumen ini memang tidak patut pun. Sekarang masih ada nama yang dimasuk balik dalam senarai hitam, kalau saya tegur agensi akan keluarkan.

SAMAN

Apa yang berlaku selepas nama dikeluarkan?
Syarikat yang menjual barangan itu tidak puas hati dan menyaman pula agensi pelaporan kredit terbabit. Tidak ke mana kes ini dan kena ingat, agensi ini bukan bodoh.

Walaupun tahu dokumen digunakan tidak sah, syarikat cuba menunjukkan kehebatan, sebab ada duit. Syarikat-syarikat ini berduit dan kaya raya. Mereka mendapat antara RM3 juta hingga RM4 juta sebulan.

Apa jadi selepas itu? Syarikat ini memang terkenal dan sangat besarlah, telah menyaman nama-nama yang telah dikeluarkan dari senarai hitam.
Ini disebabkan individu terbabit sebelum itu telah membuat laporan polis menyatakan barangan dijual syarikat lain (syarikat A) tetapi yang menuntut hutang ialah syarikat lain (syarikat B). Syarikat ini tahu laporan polis dibuat, dia nak lindungi diri, dia saman individu-individu ini walaupun tahu dokumen yang digunanya tidak sah.

Kenapa mahkamah melayan tuntutan remeh seperti ini?
Awak tahulah peguam hendak buat duit. Rembat sahaja kes-kes seperti itu. Samanlah. Tetapi saman itu untuk apa? Saman sekadar untuk menjaga maruah dia orang.

Konon mereka di pihak yang benar, tetapi mereka tidak benar.

Dia (syarikat) pun saman saya berjuta-juta ringgit kerana memfitnah sehingga perniagaan mereka rugi. Kes ini tidak boleh pergi jauh kerana saya satu NGO yang menegur mana yang tidak betul.

Dalam perlembagaan persatuan dibenarkan menegur badan kerajaan, syarikat kewangan atas kepincangan mereka. Untuk apa saya nak memfitnah mereka, siapa yang bayar saya untuk menjatuhkan mereka?

Syarikat bawa kes ke mahkamah kerana hendak kenakan orang. Kes ini berjalan. Bayangkan macam mana peguam boleh ambil kes ini, sedangkan kalau diteliti betul-betul, dokumen tidak sah langsung.

Syarikat tak nak fikir sampai ke situ, dia hanya fikir pasal ada isu-isu lain, contoh laporan polis itu mangsa menyatakan mereka tidak kenal (syarikat B), tidak pernah jumpa dan mereka tidak tahu.

Jadi, dia jadikan satu isu. Dia jadikan isu panas, jadi ramailah orang Melayu kita kena saman. Syarikat tidak puas hati kerana orang-orang ini dalam laporan polis menggunakan ayat, mereka ditipu.

KERAJAAN

Kenapa tidak bawa kes ini ke pengetahuan kerajaan?
Kita pernah pergi ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi mereka sudah bertahun-tahun masih dalam siasatan, tidak selesai-selesai masalah. Jadi, apa yang mereka buat? Mereka (KPDNHEP) tidak boleh berdiam diri. Kena aktif dan profesional bila NGO ataupun individu melaporkan setiap masalah.

Kementerian kena serius. Mesti ambil tahu dan bukan ambil mudah bila setiap satu perkara itu dilaporkan. Perlu disiasat sampai ke akar umbi. Kena ada badan siasatan bebas yang tidak menyembunyikan apa-apa.

KPDNHEP dan NGO mesti bekerjasama dan menyiasat secara bersama-sama setiap aduan yang telah dibuat kerana perkara macam ini tidak boleh diambil mudah.

HUTANG LAPUK

Ada isu lain selain dokumen tidak sah?
Kes ini sudah lama berlaku, sudah berbelas-belas tahun. Isunya syarikat masih menuntut duit walaupun telah berada dalam kategori hutang lapuk selepas tempoh enam tahun. Apabila menjadi hutang lapuk, sudah tidak boleh dituntut.

Kenapa masih ada pihak yang menuntut hutang lapuk?
Ini pun satu isu yang perlu dibangkitkan suatu hari nanti mengenai syarikat-syarikat yang membeli hutang lapuk daripada bank. Syarikat terbabit mempunyai kekuatan dengan mendapat arahan daripada mahkamah untuk memungut hutang dengan cara membuat gangguan.

Dia kacau orang bagai hendak gila, akhirnya apa jadi? Orang tiada pilihan terpaksa meminjam dengan along untuk membayar. Memang tidak patut bayar, tetapi sebagai orang Islam, hendak bayar ikut kemampuan. Tetapi syarikat pemungut hutang ini tidak peduli tentang kemampuan. Dia tekan sahaja sampai orang terduduk dan ramai yang hendak membunuh diri.

KES MUFLIS SUDAH TIDAK TERHITUNG

Boleh komen isu muflis yang dikatakan semakin meningkat?
Saya tidak terlalu fokus isu ini kerana terlalu ramai dan sudah tidak terhitung lagi. Jika mendapat aduan, saya hanya menyelesaikan sahaja mengikut kes seperti individu bankrap, syarikat digulung serta harta dan emas dilelong.

Cuma saya hendak sentuh mengenai bank sekarang yang mengambil kesempatan. Sebenarnya kita sudah ada akta baharu yang mana hendak membankrapkan orang mesti serahkan saman secara peribadi.

Isu sekarang, saya masih mendapat aduan pada 2018, 2019 dan 2020, orang yang duduk di rumah sama dan tidak berpindah-randah telah dibankrapkan sedangkan dia tidak dapat saman pemula dan tidak dipanggil pun untuk dibicarakan. Tahu-tahu sudah kena bankrap. Ini satu isu perlu dibangkitkan dan tidak boleh ambil mudah.

Kenapa ini berlaku?
Ini berpunca kerana bank-bank yang sombong. Sebelum hendak menjatuhkan hukum (muflis), bank kena panggil dan berbincang dengan peminjam. Tanyalah masalah kehidupan mereka dan berapa yang mereka mampu bayar?

Kalau dulu bayar RM2,000 dan sekarang mampu bayar berapa supaya tidak diteruskan notis kebankrapan. Ini apabila tidak bayar, dijatuhkan hukum bankrap seolah-olah orang ini penjenayah. Kenapa tidak panggil berunding? Bank boleh bagi duit, pemasaran cantik tetapi bila masa membuat kutipan jadi jahanam, tiada sifat perikemanusiaan dan kasihan kepada seseorang.

Sepatutnya kerajaan tidak benarkan bank bankrapkan orang selagi tiada rundingan. Berapa ramai orang Malaysia hendak bankrap? Akhirnya nanti separuh daripada 33 juta rakyat Malaysia bankrap, tak rugikah kita?

Kerajaan patut ambil tahu pasal kehidupan dan nasib orang-orang yang bakal hendak bankrap ini dan pastikan harta mereka tidak kena lelong.

Kalau harta dilelongkan pun, bank kena pastikan ia dijual mengikut harga pasaran dan lebihan setelah tolak hutang dibayar kepada pemilik lama supaya tidak bankrap.

Itu prosedur operasi standard (SOP) yang patut diikuti bank tetapi dilanggar oleh pekerja-pekerja mereka yang korup, yang mendapat habuan daripada sindiket yang membeli harta di bawah harga pasaran. Kalau cara kejam ini diteruskan bank, akan ramai yang jatuh muflis.

Adakah masalah-masalah lain?
Banyak kecurangan, kepincangan, penganiayaan berlaku di Malaysia dan kerajaan tidak sedar. Saya sedih. Contohnya, syarikat pemberi pinjam wang sekarang tiada pun menyediakan dokumen perjanjian.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus mengkaji semula undang-undang sedia ada kerana setiap pinjaman perlu ada dokumen perjanjian. Cuba tanya kepada peminjam, adakah mereka mendapat dokumen berkenaan? Kenapa syarikat tidak bagi dokumen itu?

Ini satu isu yang kena diketengahkan. Jangan syarikat pemberi pinjam wang membebankan peminjam. Cuba (bersikap) tulus dan profesional.

Setiap orang mesti ada satu dokumen perjanjian pinjaman yang bersetem. Ada tempoh bila kena setem dan bila peminjam akan mendapat satu salinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×