Berbakti tak perlu tunggu pilihan raya - Utusan Malaysia

Berbakti tak perlu tunggu pilihan raya

PENYEBARAN maklumat berkaitan kebaikan vaksin bukan menjadi tugas pegawai kesihatan semata-mata sebaliknya perlukan kerjasama ahli politik yang memiliki pengaruh besar di kawasan masing-masing. – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SITUASI semasa jangkitan Covid-19 amat menakutkan sehingga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyifatkan sebagai detik hitam kerana jumlah kematian merekodkan angka yang besar. Malah sistem kesihatan negara berada pada tahap tenat apabila doktor terpaksa membuat pilihan sukar dengan mengutamakan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh lebih tinggi.

Disebabkan itu, banyak pihak menggesa kerajaan untuk memperhebat dan mempercepatkan aktiviti pemberian vaksin Covid-19 agar mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Sebagai contoh, di United Kingdom, kira-kira 50 peratus penduduknya telah melengkapkan dua dos vaksin. Kadar jangkitan dan kematian dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas turut menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

Sebenarnya stok vaksin dunia terhad. Ia sampai di negara kita dalam beberapa fasa penghantaran daripada pengeluar. Kita sedia maklum, seluruh dunia bersaing untuk memperoleh vaksin.

Faktor kewangan memainkan peranan penting dalam memperoleh vaksin. Dikhabarkan negara-negara kaya sanggup membayar pada harga tinggi supaya mereka terlebih dahulu mendapat vaksin. Malah, mereka juga membeli vaksin dengan jumlah yang banyak dan berlipat kali ganda daripada jumlah penduduk negara.

Kita harus bersyukur kerana masih mempunyai peruntukan untuk membeli vaksin, namun tidak mampu mendahului kuasa-kuasa besar dalam mendapatkan vaksin dengan kadar segera.

Apabila vaksin sampai ke negara kita, kadar pemberian antara lainnya bergantung kepada keberadaan stok, jumlah kakitangan kesihatan yang terlibat, jumlah fasiliti pusat pemberian dan faktor logistik itu sendiri memerlukan pengendalian tertentu termasuk suhu khas bagi penyimpanannya.

Bahkan, vaksin apabila dibuka dan terdedah kepada suhu bilik, ia perlu diberikan dengan segera. Namun, dengan jumlah pendaftaran dan ketidakhadiran individu yang diberikan janji temu amat mengecewakan. Ia menyumbang kepada pembaziran sedangkan boleh diberikan kepada individu lain.

Pemimpin masyarakat di semua peringkat wajar memainkan peranan penting menyebarkan maklumat sahih berkaitan vaksin, membantu proses pendaftaran, membuat semakan janji temu, mengingatkan jadual janji temu dan menyediakan kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin.

Kami beranggapan pemimpin masyarakat khususnya ahli politik tidak perlu menunggu pilihan raya untuk menyumbang bakti, sebaliknya boleh dilakukan sepanjang pandemik ini dengan berkongsi kebaikan vaksin kepada masyarakat umum menerusi pelbagai kaedah termasuk infografik.

Data itu dapat membantu perancangan dalam meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin, lebih-lebih lagi di kawasan zon merah. Langkah ini akan membantu negara mencapai kelompok imuniti selain mengekang penularan Covid-19.

PROF. MADYA DR. MOHD. DZULKHAIRI MOHD. RANI dan PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya