Azhar Azizan ‘diikat’ untuk halang Parlimen bersidang? - Utusan Malaysia

Azhar Azizan ‘diikat’ untuk halang Parlimen bersidang?

Azhar Azizan Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UMUM mengetahui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkeras dengan kenyataannya bahawa Parlimen tidak akan bermesyuarat sepanjang tempoh darurat kerana Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021 menggantung semua persidangan termasuklah jawatankuasa pilihan.

Ini tidak terkecuali bagi fungsi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang didakwa ‘lumpuh’ dengan lima laporan maklum balas kementerian gagal dibentangkan manakala 15 prosiding bagi tahun ini tergantung tidak bertali.

Berbeza dengan timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said yang bersungguh-sungguh menegakkan sistem demokrasi berparlimen kerana penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjejaskan kelestarian doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Sampai satu tahap, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbangkan keputusan membuka semula Parlimen bagi memastikan persidangan dapat berjalan.

Pendirian Azhar Azizan dalam usaha memperjuangkan demokrasi berparlimen tidaklah sekuat timbalannya yang mahukan Parlimen berfungsi sekali pun darurat hanya akan berakhir pada 1 Ogos ini.

Apa sebenarnya yang ‘mengikat’ beliau jika benar kuasa Parlimen menjangkaui batas politik dan pengaruh kerajaan? Seolah-olah bagi beliau, ordinan tersebut adalah ‘perlembagaan’ yang tidak boleh dipinda untuk membolehkan semak dan imbang terhadap kerajaan berlaku.

Tidak dinafikan di bawah ordinan tersebut, apa sahaja prosiding yang menuntut kepada perbahasan di Parlimen tidak berfungsi dan ini sudah diketahui semua pihak.

Namun, beliau tidak perlu mengulangi kenyataan sama bersandar kepada ordinan hanya untuk ‘mematikan’ desakan ramai pihak untuk Parlimen bersidang.

Tindakan Speaker Dewan Rakyat hari ini sama sekali tidak mencerminkan janji ditabur pada 12 Januari lalu bahawa PAC dan jawatankuasa pilihan Parlimen akan terus menjalankan fungsinya.

Tempoh lapan bulan ke belakang ini disia-siakan sedangkan banyak hal negara boleh diselesaikan.

NORMAN HAKIMIE
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.