DALAM keriangan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 15 Jun 2018, tidak terbayang kehidupan saya bakal berubah hanya kurang dua minggu selepas itu.
Itulah kali terakhir saya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan bergambar bersama ayah, sebelum dia kembali ke rahmatullah, 13 hari kemudian. Ayah pergi secara tiba-tiba ketika saya masih memerlukan kasih sayang dan bimbingannya. Namun, saya bersyukur kerana telah dianugerahkan 15 tahun yang sangat indah bersama ayah.
Saya sangat merindui ayah setiap kali tiba Ramadan, apatah lagi apabila datangnya Syawal. Pada masa-masa begini memang saya amat terasa kehilangan ayah. Saya amat merindui keceriaan di malam raya ketika ayah masih ada. Bertakbir tanpa ayah rasanya begitu berbeza, amat sepi rasanya. Malah, saya masih terdengar-dengar suara ayah bertakbir sepanjang malam.
Setiap pagi hari raya, sedang ibu sibuk menyiapkan sarapan, ayah menolong saya memakai samping sambil mengusik saya. Walaupun ayah seorang yang sangat tegas, namun dia suka bergurau. Biasanya ayah akan menjamah sedikit sarapan sebelum kami bertolak ke masjid.
Usai solat, kami bersiap-siap untuk beraya bersama saudara-mara. Kalau kami beraya di ibu kota, saya dan kakak-kakak akan ternanti-nanti untuk beraya dan menikmati juadah air tangan Nek We yang sangat istimewa setiap hari raya kedua.
Kalau dahulu, saya mengeluh kepenatan kerana terpaksa mengikut ayah beraya, namun kini kalau boleh saya ingin merasakan saat-saat itu sekali lagi. Kadangkala kita akan lebih menghargai sesuatu yang kita miliki hanya setelah kita kehilangannya.
Walaupun sedih kerana tidak dapat lagi menyambut hari raya seperti dahulu bersama ayah, namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya berada dalam sebuah kejiranan yang mengambil berat dan menyayangi kami.
Saya sedar, masih ramai lagi insan menghadapi ujian yang jauh lebih hebat daripada saya. Malah, ada yang kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam hanya sekelip mata sedetik sebelum hari raya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya amat menghormati dan mengagumi kekuatan mereka dalam menghadapi situasi begitu berat.
Semoga Allah merahmati dan memberkati mereka dan kita semua.
Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf zahir dan batin atas segala kesilapan diri saya selama ini. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










