SAUDARA PENGARANG,
GOLONGAN berpendapatan rendah (B40) sebenarnya amat memerlukan perlindungan takaful untuk melindungi mereka daripada risiko kewangan atau sekurang-kurangnya dapat membantu pada saat-saat getir seperti kehilangan punca pendapatan.
Maka timbul persoalan, adakah golongan itu mampu untuk memiliki sijil takaful? Ini kerana kebanyakan sijil takaful yang ditawarkan di pasaran menawarkan kadar bayaran bulanan RM100 ke atas bersesuaian dengan perlindungan yang ditawarkan.
Justeru, Bank Negara Malaysia telah menggalakkan syarikat takaful swasta mengeluarkan produk perlindungan takaful mikro.
Apa itu takaful mikro? Takaful mikro adalah perlindungan patuh syariah yang berkonsepkan mampu milik dan menawarkan perlindungan yang betul-betul diperlukan oleh golongan B40. Pelbagai produk telah ditawarkan oleh pihak swasta termasuk takaful mikro yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu MySalam.
Namun, statistik menunjukkan kadar penyertaan golongan B40 terhadap takaful mikro masih lagi rendah. Hal ini terjadi disebabkan beberapa perkara seperti kurangnya kesedaran dalam kalangan B40 untuk memiliki perlindungan diri dan keluarga selain tidak didedahkan dengan kepentingan memiliki sijil takaful.
Ejen takaful juga kurang berminat untuk menerangkan produk takaful mikro kepada masyarakat awam disebabkan komisen yang rendah.
Golongan B40 perlu diutamakan perkara asasi seperti makan dan minum sebelum digunakan untuk perkara-perkara lain seperti takaful.
Justeru, bagi mengatasi perkara tersebut, semua pihak mestilah bekerjasama untuk mempromosikan kepentingan takaful mikro melalui media sosial dan televisyen.
Selain itu, syarikat swasta perlu memperomosikan produk takaful mikro kepada masyarakat awam dengan lebih meluas.
Penyediaan takaful mikro percuma dengan menggunakan dana kerajaan, wakaf dan zakat dapat membantu mengurangkan beban B40 untuk membuat pembayaran secara bulanan.
IHSAN ILAHI MOHD. SABRI
Pelajar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia










