Jangan buang masa pihak berkuasa - Utusan Malaysia

Jangan buang masa pihak berkuasa

Audio mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kiri) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (bersongkok) tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebenarnya, rakaman perbualan telefon antara dua tokoh politik yang tular di media sosial baru-baru ini tidak perlu disiasat untuk memastikan ketulenannya, meskipun dinafikan oleh pihak yang disyaki terlibat. Ini kerana kandungan perbualannya yang dapat didengar dengan jelas tidak sesekali menggugat ketenteraman awam yang boleh pula mengancam keselamatan negara. Ia bersifat peribadi, yakni sulit lagi tersendiri antara dua pihak tentang perancangan politik mereka. Oleh itu, ia keutamaan yang salah jika masih mahu juga disiasat untuk mengetahui ketulenannya.

Isu yang jauh lebih penting di sini ialah perbuatan mengintip percakapan melalui telefon dan peranti lain yang berasaskan internet oleh pihak ketiga yang dilakukan secara rahsia. Ia bukan sahaja bertentangan dengan etika baik, ia salah di sisi perundangan kerana mencabuli hak bersendirian yang merupakan hak asasi manusia.

Walaupun begitu, ia boleh dilakukan oleh pihak berwajib atas kebenaran tertentu untuk tujuan memperoleh bukti dalam mengesan kegiatan jenayah dan subversif yang boleh membawa kemudaratan kepada negara. Rakaman begini tidak merupakan perbuatan salah tetapi menjadi kesalahan untuk yang dicuri rakam dan pihak yang melakukannya hendaklah didakwa.

Apabila kandungan perbualan itu didapati tidak ada sebarang unsur jenayah dan tidak pula melanggar mana-mana perundangan negara, ia tidak perlu disiasat untuk memastikan ketulenannya. Ini kerana ia bukan sahaja membuang masa pihak berkuasa, ia memperlihat kita gagal mengenal pasti isu yang lebih penting, iaitu kesalahan menggodam dan memuat turun perbualan telefon untuk ditularkan tanpa pengetahuan pihak yang terlibat, apatah lagi memperoleh kebenaran mereka untuk menyebarkannya.

Inilah yang sepatutnya kita lakukan agar ia dapat dibendungkan setelah sudah dua kali berlaku di negara ini melibatkan sebilangan individu berprofil tinggi, yakni mereka yang dikenali ramai dan mendapat liputan luas. Kes kali pertama melibatkan perbualan bekas kepimpinan tertinggi kerajaan, manakala kes kedua melibatkan tokoh besar politik negara.

Untuk kes kedua yang mahu dijadikan isu oleh sesetengah pihak, ia sebenarnya lebih merupakan isu moral. Ia antaranya menyangkut persoalan tingkah laku tidak beramanah yang ditafsir sebagai pengkhianatan oleh pihak terkesan. Sehubungan ini ialah natijah sama ada perbuatan itu satu kesalahan pada Kanun Keseksaan kita sehingga perlu disiasat untuk mengenakan hukuman.

CAP SUARA

Sesungguhnya, pembuktian untuk memperoleh maklumat tentang identiti suara dan seterusnya pemiliknya yang dilakukan di makmal forensik oleh pihak berkuasa, boleh juga dilakukan oleh masyarakat umum. Untuk itu, kita perlu memberi tumpuan kepada cap suara yang seperti cap jari adalah tidak sama pada setiap manusia walaupun sesama pasangan kembar seiras. Cap suara ialah catatan percakapan yang dianalisis dari segi kekerapan, tempoh dan kelantangan suara yang diukur secara jalur gelombang akoustik. Dengan kata lain, ia merupakan maklumat pertuturan pada suara manusia yang bersifat amat khusus pada seseorang individu itu sahaja.

Oleh itu, cap suara boleh berperanan sebagai kaedah pengidentifikasian yang tepat. Ia tanda biometrik unik yang terdiri daripada sifat fizikal yang tersendiri pada pertuturan seseorang itu. Ini adalah hasil daripada proses pembentukan dan keadaan kesemua alat pertuturannya pada sesuatu masa yang eksklusif sifatnya, iaitu hanya ada padanya. Dengan ini, meskipun betapa hampir sekalipun suara seseorang itu ditiru, ia masih berlainan dari segi cap suara.

Selain cap suara sebagai pengesahan untuk mengenali pertuturan seseorang yang boleh dilakukan pada komputer biasa menggunakan perisian tertentu, ideolek juga didapati penting dalam usaha kita membuat pengidentifikasian terhadap seseorang. Ideolek ialah amalan berbahasa yang didapati hanya terkhusus pada seseorang itu sahaja. Ia pola linguistik yang merupakan cara berbahasa tersendiri seperti cara penyebutan, gaya bercakap, pemilihan kata dan sebagainya. Dengan kata lain, ideolek ialah kelainan bahasa yang hanya istimewa sifatnya kepada seseorang. Oleh itu, tidak ada dua orang yang akan berbahasa serupa sepenuhnya dengan segala ciri linguistik yang sama, baik secara lisan mahupun tulisan, biarpun ia mampu ditiru dengan sebaik-baiknya.

Melalui penilaian terhadap cap suara dan ideolek, didapati tidak sukar untuk dikenal pasti pemilik suara pada rakaman perbualan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia dirujuk pula untuk dibandingkan dengan banyak rakaman pertuturan pihak yang disyaki itu, yang boleh diperoleh dengan mudah kerana mereka merupakan tokoh terkenal di negara ini. Bukti melalui cap suara yang kuantitatif sifatnya bukan sahaja saintifik, ia objektif berbanding dengan ideolek yang bersifat kualitatif, justeru subjektif sifatnya.

Balik kepada isu mencuri rakam perbualan sulit pihak lain untuk didengar, tanpa dukungan perundangan yang membenarkannya dan lebih dahsyat lagi disebarkan pula, ia memang perbuatan jenayah terkutuk yang bukan sahaja perlu diberi perhatian serius ekoran dua kes yang berlaku setakat ini. Ia juga hendaklah ditangani segera agar tidak berlaku lagi kerana ia mencabuli hak bersendirian kita yang dijamin pada Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan tentang kehidupan bebas tanpa diganggu gugat mana-mana pihak.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×