fbpx

9 Disember 2021, 5:37 pm

  TERKINI

Apa KPM boleh buat sekarang?

GAMBAR HIASAN MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh DR. ANUAR AHMAD

Badan dunia OECD dengan kerjasama World Bank, UNESCO dan UNICEF mengeluarkan laporan khas bertajuk The State of School Education: One Year into the COVID Pandemic pada 13 April 2021. Laporan ini mengumpulkan pengalaman dan strategi sejak setahun lalu dalam kalangan 33 negara di dunia di dalam menguruskan sistem pendidikan negara masing-masing dalam persekitaran pandemik Covid-19. Laporan ini, satu-satunya berskala besar peringkat global yang ada untuk menjadi rujukan kebanyakan negara lain di dalam menguruskan pendidikan dalam tempoh ini.
Tiga perkara utama yang dilaporkan oleh OECD ini iaitu kesan pandemik kepada keciciran pembelajaran sejak setahun lalu terhadap murid-murid apabila sekolah ditutup sepenuhnya. Kedua, laporan ini mengenal pasti strategi pelaksanaan pembelajaran dari rumah (PdPR) di 33 negara tersebut. Ketiga, laporan khas OECD ini melaporkan proses dan pelan tindakan bagi pembukaan semula sekolah.
Selain itu, mengikut laporan Global Monitoring of School Closures yang dikendalikan oleh UNESCO, sehingga 22 April 2021 masih terdapat 16 negara di dunia menutup sepenuhnya sesi persekolahan. Antaranya Mexico, Arab Saudi, Filipina, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Bosnia Herzegovina, Turki, Iran, Iraq dan beberapa negara di benua Afrika. Di negara ini, Kementerian Pelajaran (KPM) membuka semula sekolah pada Januari 2021 untuk sekolah rendah dan awal April bagi menengah.
Bila KPM mengambil keputusan membuka sepenuhnya sekolah, banyak pihak termasuk kalangan pakar kesihatan dan pendidikan menyatakan kebimbangan mereka. Pakar kesihatan awam berpandangan PdPR masih perlu walaupun sekolah dibuka semula. Pakar-pakar pendidikan pula menegaskan kaedah terbaik untuk membuka sekolah adalah dengan melakukan pengiliran kehadiran murid-murid untuk mengurangkan kesesakan di dalam bilik darjah, sewaktu kehadiran dan ketika penyuraian keluar dari kawasan sekolah.
Pakar pendidikan mencadangkan supaya pengiliran dilaksanakan sehingga program vaksinasi negara selesai atau sekurang-kurangnya mencapai tahap 80 peratus. Kita sedia maklum semua sekolah di negara ini telah dibina sebelum adanya pandemik Covid-19. Struktur dan sistem persekolahan sedia ada tidak dapat sepenuhnya mengawal SOP Covid-19. Tandas dikongsi. Laluan koridor tidak cukup luas untuk penjarakkan fizikal. Bilik darjah pula saling bersebelahan.
Malangnya KPM tidak mahu mengambil perhatian. Sebaliknya membuka sepenuhnya sesi persekolahan. Akhirnya, keputusan ini menyebabkan tercetusnya penularan Covid-19 yang mewujudkan ‘kluster pendidikan’. Sejak seminggu lalu kebimbangan pakar kesihatan awam dan pendidikan nampaknya menjadi kenyataan, malah yang dibimbangi risiko penularan di sekolah bukan hanya pada murid tetapi kebolehjangkitan akan menular ke dalam keluarga di rumah khsususnya ahli keluarga yang berumur.
Dilaporkan sejak Januari 2021 sehingga pertengahan April 2021 terdapat 83 kluster pendidikan melibatkan 4,868 orang yang positif Covid-19. Beberapa negeri menunjukkan peningkatan. Akibatnya banyak sekolah mula diarahkan tutup. Sekali lagi pembelajaran anak-anak kita tergendala.

Kebaikan pengiliran
Pertama, melalui sistem pengiliran kehadiran murid ke sekolah, penjarakkan fizikal murid-murid di sekolah akan dapat ditingkatkan. Penjarakkan fizikal adalah sistem pertahanan paling berkesan buat masa ini dalam mencegah penularan Covid-19 selagi program vaksinasi belum selesai.
Sistem pengiliran hadir ke sekolah akan mengurangkan 50 peratus bilangan murid di sekolah pada satu hari. Misalnya, murid tahun satu, dua dan tiga datang ke sekolah pada Isnin, Rabu dan Jumaat. Pelajar tahun empat, lima dan enam datang pada Selasa dan Khamis.
Kedua, sistem pengiliran ke sekolah juga akan menyebabkan guru dapat memantau SOP lebih berkesan ketika murid masuk ke sekolah, semasa dalam kelas dan waktu penyuraian murid. Bayangkan kalau satu kelas ada 30 murid. Bagaimana penjarakkan fizikal dapat dilaksanakan secara berkesan selama 4 hingga 5 jam sesi persekolahan setiap hari?
Ketiga, pengiliran juga akan menjadikan platform PdPR sama ada pembelajaran atas talian dan TV Didik kekal signifikan untuk diteruskan sebagai satu pilihan pada hari tidak bersekolah. Keempat, pengiliran akan dapat mengurangkan contact rapat dengan lebih berkesan jika berlaku kes positif. Hanya pelajar yang hadir pada hari sama sahaja perlu dikuarantin manakala murid giliran seterusnya boleh meneruskan persekolahan setelah sanitasi sekolah dilakukan.

Apa tindakan KPM?
Dalam mengurus persekolahan ketika pandemik, KPM mempunyai hanya tiga pilihan. Pilihan pertama, boleh terus membuka sekolah dan laksanakan SOP lebih ketat. Semua pelajar dibenarkan hadir ke sekolah. Maksud ‘SOP yang ketat’ bukan hanya guru dan pelajar sahaja mesti patuhi SOP tetapi guru dan ibu bapa juga mesti patuh SOP dalam kegiatan seharian mereka.
Sebagai contoh jika ada ahli keluarga yang menghadiri sesuatu perjumpaan, kenduri atau keraian dan berlaku kes positif, ibu bapa wajib tidak membenarkan anak mereka ke sekolah walaupun sihat. Begitulah juga dengan guru. Mereka juga tidak boleh datang ke sekolah bertugas. Jika ada ahli-ahli keluarga tidak sihat, ibu bapa sepatutnya tidak benarkan anak ke sekolah. Begitu juga dengan guru. Itu contoh amalan SOP yang ketat.
Pilihan kedua, KPM tutup semua sekolah untuk satu tempoh masa dan melaksanakan PdPR sepenuhnya. Ini mungkin pilihan yang sukar dan telah pun dilaksanakan oleh KPM sebelum ini. Kita dapat lihat apabila sekolah ditutup, murid-murid miskin dan di pedalaman berhadapan dengan masalah pembelajaran yang kritikal.
Akibat ketiadaan peranti dan tiada akses internet menyebabkan PdPR dalam talian gagal dilakukan secara berkesan. Ramai murid khususnya dari keluarga miskin ‘hilang dari radar’ guru. Pilihan ini jika diteruskan akan menyebabkan kesenjangan akses pembelajaran antara murid kaya dan miskin lebih membesar.
Pilihan ketiga dan inilah satu-satunya pilihan masih belum digunakan sehingga hari ini iaitu dengan melaksanakan sistem penggiliran kehadiran ke sekolah. Mengikut laporan khas OECD, banyak negara di dunia telah melaksanakan sistem pengiliran sekolah dan berkesan dalam mengekang penularan Covid-19 di sekolah. Negara jiran kita di selatan juga melaksananya dengan baik dan berkesan dalam menurunkan risiko penularan Covid-19.

Dr. Anuar Ahmad

Pusat Kajian Pendidikan dan kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN