fbpx

11 April 2021, 3:28 pm

  TERKINI

Tidak matang tegur menteri dalam laman sosial

Rina Mohd. Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TINDAKAN seorang selebriti memperbetulkan sebutan bahasa Inggeris, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam satu ucapan adalah kurang matang.

Ini kerana selebriti berkenaan tidak perlu memalukan seseorang secara umum, sebaliknya boleh menegur secara peribadi.

Status Rina sebagai menteri kini seolah-olah menjadi bahan jenaka orang ramai selepas selebriti berkenaan memperbetulkan sebutan doubt, menjadi tular dalam laman sosial.

Begitu juga dengan kejadian seorang penyampai radio mengetawakan seorang guru yang sedang menyampaikan ilmu di kaca televisyen melalui program DidikTV iaitu satu inisitiaf Kementerian Pendidikan dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dapat berjalan dengan berkesan.

Malah perbuatannya itu menyebabkan masyarakat menjadi takut untuk bertutur menggunakan bahasa antarabangsa di khalayak ramai kerana bimbang diketawakan. Maklumlah orang Malaysia makan belacan, mahu tidak mahu sebutan bahasa Inggeris tetap berbunyi Melayu.

Sebaliknya, lebih wajar bagi kedua-dua selebriti tersebut memberi galakan agar rakyat di negara ini bertutur menggunakan bahasa Inggeris dengan betul walaupun terdapat beberapa kesalahan seperti sebutan, tatabahasa dan susunan ayat.

Justeru, sebagai orang yang dikenali dan memiliki kelebihan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, mereka mempunyai peranan besar untuk bersikap lebih matang terutama dalam laman sosial agar setiap tindakan dapat diikuti oleh orang awam.

Bagi mereka yang sedang berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris teruskan usaha itu dan jangan mudah mengaku kalah walaupun menerima kritikan. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan dunia luar. Bak kata orang, latihan berterusan akan menjadikan seseorang itu sempurna.

NAZRI SALLEH
Shah Alam, Selangor

BERITA BERKAITAN