Sejak kebelakangan ini, negara sering kali dikejutkan dengan krisis-krisis Perlembagaan. Daripada isu perletakan jawatan secara mengejut oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, tahun lalu sehinggalah isu keabsahan pengisytiharan darurat, baru-baru ini. Ia seolah-olah memperlihatkan negara kita memerlukan sebuah institusi khusus bagi menangani permasalahan-permasalahan berkaitan Perlembagaan. Namun persoalannya, adakah penubuhan Mahkamah Perlembagaan satu keperluan atau sekadar kehendak?
Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia mempunyai Perlembagaan bertulis yang dikanunkan. Memiliki Perlembagaan bertulis bukanlah hanya bersifat kosmetik tetapi memberi kesan amat besar kepada tafsiran perundangan. Hal ini kerana secara perundangannya, ia menjadikan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di dalam sesebuah negara. Dalam konteks negara kita, ia ditegaskan melalui Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan di mana apa-apa undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan dianggap tidak sah.
Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai unggul (supreme), maka timbullah satu keperluan yang menuntut tafsiran sama ada sesebuah tindakan atau undang-undang, bertentangan mahupun selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Dalam istilah perundangan, proses ini dipanggil sebagai Semakan Perlembagaan (constitutional review). Secara amnya, tanggung jawab untuk mentafsir dan menyemak Perlembagaan digalas oleh institusi kehakiman.
Secara asasnya, Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan memberikan punca kuasa kepada institusi kehakiman. Bahagian sama juga mengiktiraf dua sistem mahkamah yang selari diamalkan di negara ini iaitu mahkamah syariah menerusi Perkara 121(1A) dan mahkamah sivil di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah sivil boleh dipisahkan kepada dua peringkat iaitu mahkamah bawahan dan mahkamah atasan. Secara strukturnya, mahkamah bawahan terbahagi kepada dua iaitu mahkamah majistret dan mahkamah sesyen manakala mahkamah atasan merangkumi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Secara ringkasnya, peranan dan bidang kuasa setiap mahkamah adalah berbeza. Pada masa sama, sistem kehakiman dibantu tribunal atau mahkamah khas bagi melicinkan pentadbiran kehakiman seperti mahkamah perusahaan dan mahkamah tentera.
HIERAKI
Namun demikian, kita masih belum mempunyai sebuah mahkamah khusus untuk menyemak Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, peranan ini dipikul oleh kesemua mahkamah sivil sedia ada secara bersama tanpa mengira hieraki. Walaupun begitu, keputusan muktamad bagi sesebuah tafsiran Perlembagaan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dan mahkamah terakhir untuk membuat rayuan.
Saya secara peribadi berpendapat, tiada keperluan mendesak untuk menubuhkan sebuah mahkamah khas yang hanya membicarakan isu-isu Perlembagaan buat ketika ini. Hal ini kerana saya merasakan kerangka perundangan sedia ada masih lagi mampu untuk menyelesaikan isu-isu Perlembagaan yang dihadapi. Tambahan pula, Malaysia bukanlah sedang mengalami suatu reformasi Perlembagaan yang benar-benar menuntut sebuah Mahkamah Perlembagaan ditubuhkan.
Namun demikian, saya juga bersikap terbuka sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu meneruskan penubuhan sebuah Mahkamah Perlembagaan di negara ini. Bagaimanapun saya mengingatkan, ada beberapa isu kritikal yang harus dipertimbangkan sebelum mahkamah tersebut diwujudkan.
Pertama, hakim yang dilantik haruslah benar-benar bebas daripada segala pengaruh politik dan tidak berkecenderungan untuk bersifat memihak. Hakim-hakim Mahkamah Perlembagaan haruslah terdiri daripada individu-individu yang bukan sahaja benar-benar pakar, malahan memahami secara mendalam latar belakang, sejarah dan budaya masyarakat tempatan. Dalam pada itu, komposisi majlis hakim juga haruslah mencerminkan komposisi sosial masyarakat. Ketelusan dalam proses pelantikan juga haruslah dititikberatkan.
KONFLIK
Kedua, bidang kuasa antara Mahkamah Perlembagaan dan mahkamah-mahkamah sedia ada haruslah dinyatakan secara jelas bagi mengelak percanggahan dan pertindihan kuasa. Hal ini bagi mengelak sebarang konflik bidang kuasa antara kedua-dua mahkamah tersebut sepertimana sering kali berlaku terhadap mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Seterusnya, semua pihak haruslah melindungi Mahkamah Perlembagaan daripada dipolitikkan. Keputusan mahkamah haruslah dihormati dan diterima secara terbuka, apatah lagi kebanyakan kes yang didengari di
Mahkamah Perlembagaan adalah mesra politik. Kritikan-kritikan melampau terhadap Mahkamah Perlembagaan hanya akan merosakkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman sedia ada.
Ketiga, perhatian khusus haruslah diberikan kepada struktur asas pengasingan kuasa di Malaysia. Hal ini penting kerana kebiasaannya hanya terdapat tiga bahagian asas dalam demokrasi yang berperanan melaksanakan doktrin semak dan imbang iaitu badan kehakiman, kerajaan (eksekutif) dan legislatif. Persoalannya, di manakah tempat Mahkamah Perlembagaan dalam struktur sedia ada? Adakah ia akan menjadi sebahagian daripada cabang badan kehakiman atau membina sebuah cabang baharu? Apakah peranannya dalam mengimbangi kuasa? Adakah ia akan mengganggu keharmonian perkongsian kuasa sedia ada?
Oleh itu, saya berpendapat, sekiranya ada usaha-usaha untuk mewujudkan Mahkamah Perlembagaan, maka ia haruslah dilakukan secara teliti dan berhati-hati. Hal ini kerana penubuhan sebuah badan baharu seperti Mahkamah Perlembagaan tidaklah semudah disangkakan, malahan bersifat sangat teknikal dan kompleks. Tambahan pula, tiada sebarang jaminan segala permasalahan berkaitan Perlembagaan dapat diselesaikan dengan berkesan sekiranya Mahkamah Perlembagaan ditubuhkan. Peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran haruslah menjadi tauladan dan panduan kita dalam membicarakan isu ini.
DR. Hafidz Hakimi Haron ialah Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka.










