Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Seorang wanita yang dilihat lemah boleh bangkit dan berkorban apa sahaja demi memperjuangkan nasib anaknya jika keadaan memerlukan.
Menurut sejarah, Nusantara ini mempunyai ramai pahlawan dan pemerintah wanita yang hebat lagi disegani seperti Che Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, Sultanah Nahrasiyah, ratu-ratu Pelangi, Laksamana Keumalahayati, Cut Nyak Dhien dan ramai lagi.
Banyak rekod sejarah alam Melayu yang mencatatkan tentang kehebatan dan keberanian kaum wanita. Hal ini turut digambarkan melalui lagu Tari Tualang Tiga. Lagu patriotik warisan ini mempunyai gerak tari yang tangkas. Bak bunga dan buah silat yang berseni dan dengan helah, begitulah juga lirik dan gerak tari lagu ini. Ia menceritakan tentang kekuatan semangat wanita di sebalik watak yang dianggap lemah oleh sesetengah pihak. Musuh tidak menyangka wanita yang pada satu sisi tampak lemah lembut gerak tarinya, tapi tangkas bertindak apabila berhadapan musuh.
Namun, hari ini masih ada yang memandang rendah kebolehan kaum wanita. Terdapat juga persepsi tentang pengaruh gender dalam menentukan keupayaan seseorang untuk menguasai sesuatu bidang.
Kedudukan seorang ibu sangat mulia di sisi agama. Bagi saya, ibu adalah tonggak kekuatan keluarga kami. Arwah ayah tidak dapat selalu bersama kami melainkan pada hari-hari cuti. Kerjaya ayah menuntut banyak masanya dihabiskan di luar rumah. Justeru, ibu berkorban segala-galanya untuk mendidik kami sepenuh masa. Ibu juga adalah guru yang mengajar kami membaca, menulis dan mengira, seterusnya membimbing saya dalam pelajaran sehingga kini.
Kasih ibu membawa ke syurga. Ibu sangat gigih dan cekal dalam membesarkan kami. Kasih sayang seorang ibu memang tiada tolok bandingnya. Walaupun kami terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan keperitan setelah ayah meninggal dunia, namun ibu teguh melindungi kami. Ibu tetap berusaha mencari jalan untuk mencukupkan keperluan kami serta mendidik kami menjadi lebih cekal dan kuat.
Islam memartabatkan kedudukan wanita serta menetapkan hak dan tanggungjawab bagi lelaki dan wanita bersesuaian dengan fitrah mereka. Masing-masing mempunyai kekuatan dan kehebatan yang tersendiri. Justeru, insan yang mulia adalah mereka yang teguh akidahnya serta patuh pada perintah Allah.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.










