SAYA cukup teruja apabila diajukan WhatsApp beberapa hari lepas yang memaparkan senarai 10 akhbar yang mengungguli edaran harian tertinggi di dunia tahun 2020.
Diketuai akhbar harian Jepun, Yomiuri Shimbun, dengan purata edaran 9.101 (9 juta) naskhah sehari, jelas mengejutkan populariti laman web dalam talian yang kian meningkat.
Ini bermakna orang masih lagi gemar mempunyai cawan kopi pagi mereka dengan akhbar di tangan. Data itu seperti satu dorongan kilat kepada akhbar-akhbar tempatan negara ini ketika sering dimomokkan konon akhbar ‘sekadar memapar berita basi dan layak menjadi pembungkus nasi lemak’.
Apatah lagi banyak akhbar yang terkesan akibat peningkatan kos kerana pandemik Covid-19 terpaksa ditutup tahun lepas, antaranya Messenger di Adelaide, Australia; The Bunyip serta percetakan 60 “tajuk komuniti” di New South Wales, Victoria, Queensland dan Australia Selatan yang digantung, seterusnya kandungan (content) diterbitkan dalam talian.
UBAH SUAI
Akibat transformasi media cetak kepada digital juga, banyak akhbar berpengaruh dunia terpaksa membuat pengubahsuaian termasuk aspek penjimatan. Antaranya akhbar New York Times mengurangkan saiznya sebanyak 5 peratus pada April 2008. Perubahan itu menjimatkan AS$42 juta setahun. Majalah berita mingguan Newsweek pula ditamatkan versi cetak pada 2012 setelah wujud sejak 1933. USA Today turut melaksanakan pembuangan pekerja terbesar pada 2014 melibatkan kira-kira 70 kakitangan atau 50 peratus di dalam bilik berita.
Akhbar kewangan Financial Times memberi akses percuma FT.com selama sebulan, sebelum pembaca dikenakan caj, sementara versi cetak terakhir akhbar The Independent UK pada 26 Mac 2016.
Akhbar tempat saya bekerja, Utusan Malaysia turut tidak terkecuali dari penangan lambakan berita dalam talian dan kekangan kos.
Ditamatkan terbitan akhbar berusia 80 tahun itu pada 9 Oktober 2019, yang bagaimanapun syukur Alhamdulillah dibuka semula “dengan kandungan berteraskan denyutan nadi rakyat asalkan benar dan berfakta” menerusi terbitan sulung 20 Julai 2020.
LAGAKAN PEMIMPIN
Ya, data dari WAN-IFRA’s World Press Trends yang memaparkan senarai 10 akhbar yang mencatat edaran harian tertinggi dunia tahun 2020 itu telah membangkitkan semangat juang saya.
Mengapa agaknya edaran akhbar berbahasa Melayu, yang mewakili majoriti penduduk negara ini tidak boleh sehebat senarai 10 akhbar berkenaan?
Saya cukup yakin andai akhbar berpegang kepada perjuangan kewartawanan (journalism) sebenar, ia tidak akan mati sampai bila-bila. Selain memastikan berita-berita premium (eksklusif) sahaja disiarkan dalam akhbar – dengan tanpa rasa cuak melepaskan segala berita yang berlaku hari ini (semalam) ke dalam talian – jurus-jurus akhbar akan lagi tangkas dan laris naskhahnya.
Namun hakikat yang agak menonjol menyebabkan kemerosotan pengaruh suratkhabar dan media elektronik dikatakan apabila kedua-duanya dikuasai oleh kerajaan, harus tidak diketepikan. Mereka (akhbar) berpesta-pesta melaga-lagakan para pemimpin dan pengikut mereka. Tiada sedikit pun mereka gusar mengeluarkan kisah dan laporan yang menyinggung perasaan atau semata-mata bidaah, walaupun edaran mereka laku atau tidak.
Asalkan pihak berkuasa puas hati dengan mereka dan editor mereka, soal-soal lain dianggap kecil dan remeh.
Journalism objektif sudah matikah? Dan perpaduan saban hari bertambah jauh oleh kerana tiadanya wartawan/editor yang profesional ke arah mewujudkan laporan dan berita yang objektif.
Objektif mereka ini hanya satu iaitu melindungi sifat pihak berkuasa satu-satu negara yang keji dan gembira memaparkan berita-berita pihak yang tidak tidak sehaluan dengan pemegang politik kuasa.
Sebilangan besar para editor yang mengarang suratkhabar pula bergantung nasib kepada kuasa politik yang meletakkan mereka di kerusi editor itu. Maka, timbullah berita dan liputan picisan yang langsung tidak memberi peluang kepada pihak-pihak yang ingin menyuarakan sesuatu yang benar.
Apabila kecenderungan sesuatu media itu sudah jelas terhadap sesuatu haluan, seperti mana juga sebahagian besar golongan yang kononnya memanggil diri mereka cendekiawan, maka perpaduan jadi melarat dan merana olehnya.
Tanpa peranan media massa dan cendekiawan yang tidak berat sebelah, perpecahan akan menjadi semakin buruk. Apa lagi dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.
KEMANUSIAAN
Mengamati pencapaian edaran akhbar tertinggi dunia, Yomiuri Shimbun dan Asahi Shimbun, saya tidak terkejut kerana rakyat Jepun sendiri memiliki minat membaca sungguh luar biasa.
Bagi rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, untuk berdaya tahan sebagai sebuah negara, sama ada di dalam wilayah Nusantara atau di luarnya, aset utama kenegaraan ialah manusianya.
Soal kemanusiaan sesebuah negara perlu dijadikan pemacu atau penggerak kemajuan. Jika lemah daya saing kemanusiaannya, maka lemahlah hasil yang diidamkan.
Sebaliknya jika kemanusiaannya berdisiplin, mencapai tahap pendidikan yang membina dan menghasilkan pendekatan perubahan positif, maka negara akan terus menjurus kepada kegemilangan dalam erti kata kesejahteraan buat rakyatnya.
Pada masa sama, saya turut terkesima dengan potensi USA Today, akhbar ketiga yang mencatat edaran 4 juta naskhah sehari itu. Dicetak di 37 tempat di Amerika Syarikat dan lima destinasi antarabangsa lainnya, USA Today diedarkan di semua negeri AS dan juga DC dan Puerto Rico. Edisi antarabangsa diedarkan di Kanada, Kepulauan Pasifik, Asia, dan Eropah.
Ya, bukankah hakikatnya bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta manusia di wilayah dunia Melayu Indonesia-Malaysia-Brunei-Singapura dan selatan Thailand?
Dengan alasan penutur 300 juta itu sudah memadai bagi ASEAN menerima bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN itu satu hal, tetapi satu hal lagi, bukankah itu potensi untuk akhbar berbahasa Melayu mengembangkan pengaruh di Nusantara ini, sekali gus membantu peningkatan edarannya yang kini ‘suam-suam kuku’ sahaja? – Mingguan Malaysia










