
SAYA dan kakak-kakak suka bergurau. Sebagai adik bongsu, saya sering diusik oleh kakak-kakak semasa kecil. Setelah besar, saya pula yang lebih kerap mengusik mereka. Suasana menjadi lebih meriah apabila kami dapat berkumpul bersama anggota keluarga lain termasuk ayah, ibu, atuk dan nenek.
Kini atuk, nenek dan ayah telah pergi meninggalkan kami. Namun, kenangan bergurau-senda bersama mereka sentiasa segar dalam ingatan. Sehingga kini, masih terngiang-ngiang di telinga suara mereka mengusik saya. Setiap kali melihat kami adik-beradik bergurau senda sambil ketawa terbahak-bahak, atuk akan menegur supaya berpada-pada dalam berseronok. Pesan atuk, jangan terlalu banyak ketawa, nanti ada yang menangis.
Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati. Sesuatu yang menyeronokkan bagi kita, tidak semestinya membuatkan orang lain gembira. Dalam kalangan adik-beradik sekalipun, tidak semuanya sama, apatah lagi dengan orang lain yang baharu kita kenali. Jangan sampai gurauan kita menyakiti hati orang lain. Bayangkan jika kita yang menjadi mangsa gurauan yang memalukan, apalagi berlaku di khalayak ramai.
PRANK
Lihat sahajalah budaya prank. Perbuatan mengenakan orang lain ini menjadi ikutan ramai untuk dikongsi di media sosial. Prank sering dianggap hanya sekadar gurauan oleh pelakunya, tanpa mempedulikan adab dan etika serta perasaan mangsa.
Dalam banyak keadaan, ia bukan sahaja mengaibkan pihak yang dikenakan, malah boleh menyebabkan kecederaan. Adakah berbaloi menyusahkan dan menyakiti hati orang lain hanya dengan alasan kita cuma mahu berjenaka dan bergurau senda?
Bergurau tidak salah tetapi janganlah sehingga melampaui batas. Sebagai insan yang bertanggungjawab, kita mesti mempunyai sifat prihatin dan bersikap saling hormat-menghormati. Mencari keseronokan secara membuta-tuli adalah bercanggah dengan nilai hidup orang beriman. Berhibur ada cara dan etika. Janganlah kita terpengaruh dengan budaya hedonisme yang hanya mementingkan keseronokan hidup.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










