Kawalan pergerakan yang tak dikawal? - Utusan Malaysia

Kawalan pergerakan yang tak dikawal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA beza Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ? Pada kebanyakan orang, ia tidak membawa beza apa-apa. Apatah lagi makna.
Selangor dan Kuala Lum­pur contohnya telah melalui PKPB sudah beberapa bulan. Namanya saja kawalan pergerakan tetapi tiada per­ge­rakan yang dikawal. Hakikatnya, orang dari kawasan zon merah ini, boleh merentas negeri dan daerah manakala penduduk dari zon hijau dan kuning pun boleh masuk ke Selangor dan Kuala Lumpur.
Bulan lalu, pusat peranginan penuh dengan orang ramai. Masih lagi ketika ini, selagi sekolah tidak dibuka. Orang ramai dari segala zon warna bercampur. Yang dari zon merah (PKPB) juga meriah balik kampung, berpelukan dengan ibu bapa dari zon hijau. Tiada apa yang bersyarat di sini. Mana-mana pusat beli belah juga sendat, terutamanya pada hujung minggu. Ibu bapa dengan gembira membawa anak-anak keluar. Agak menghairankan ibu bapa begitu cemas apabila anak-anak dibenarkan bersekolah tetapi tidak cemas atau selamba saja membawa anak ke hulu ke hilir bercuti dan membeli-belah.
Tidak pula mereka takut anak-anak terdedah dengan pendemik ini atau buat bantahan kenapa pusat beli-belah dibuka. Kalau ia melibatkan aktiviti ‘jalan-jalan’ sekeluarga, soal keselamatan dan nyawa buat-buat lupa pula. Bergembira dulu, yang sedih-sedih dan susah fikir kemudian. Itu konsepnya.
Dan apabila akhirnya, negara ini mencapai 3,000 lebih kes Covid-19 dalam sehari, saya agak ia sebenarnya cerminan kepada segala kelonggaran PKPB ini. Jika setakat memakai pelitup muka dan mengambil suhu masuk ke setiap premis ini dikatakan patuhi SOP PKPB, ia bukanlah satu masalah besar sangat. Ia masih lagi boleh dipatuhi.Tetapi membiarkan pusat beli-belah penuh di kawasan zon merah, adakah ini boleh menjamin tidak berlakunya penularan Covid-19? Begi­tu juga membenarkan pen­duduk dari zon merah pulang ke kampung dan bercuti di kawasan zon hijau. Kita juga ada kes berlakunya penularan Covid-19 ketika bercuti.
Kes Covid-19 semakin tinggi di negara ini dan kita juga sudah dikira termasuk dalam kategori paling tinggi kes Covid-19 harian dunia. Dan apabila kita mengharapkan rakyat patuh SOP, duduk di rumah jika tiada keperluan, percayalah itu agak susah dipatuhi.
Khamis lalu, Kementerian Kesihatan menjangkakan statistik kes baharu Covid-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan. Jika kita mengikuti setiap kenyataan Kementerian Kesihatan, kita dapati jangkaan pihak ini sentiasa benar belaka.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah melebihi angka 3,000 seperti dicatatkan kali pertama boleh berterusan sehingga minggu keempat pada bulan ini.
Jadi apa solusinya? Kita jangan cerita pasal mengekang pandemik ini 100 peratus. Mengurangkan pun nampak masih sukar lagi. Adakah perlu tunggu sampai pusat kuarantin dan hospital untuk kuarantin pesakit Covid ini sendat dan tiada ruang lagi, baru langkah menyekat semula merentas daerah dan negeri mahu dilaksanakan semula? Bolehkah percaya kepada pesakit Covid-19 yang diminta kuarantin di rumah?
Justeru apabila Kementerian Kesihatan mencadangkan PKP bersasar bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan, ia sepatutnya dipandang serius kerajaan kerana negara kini berdepan dengan situasi kritikal dan memerlukan solusi ‘pemutus litar’ dalam menurunkan kes Covid-19.
Larangan merentas daerah dan negeri untuk zon merah perlu dilaksanakan semula. Larangan ini ternyata berkesan sebelum negara ini dilanda gelombang kedua. Ramai juga mengharapkan PKP di seluruh negara. Tetapi kerajaan memikirkan kesannya pada ekonomi negara. Nanti macam-macam lagi bantuan kewangan yang perlu diberikan. Iyalah, yang dapat keluar wang simpanan i-Sinar pun sepatutnya memikirkan lebih baik simpan duit itu untuk masa genting pada masa akan datang. Bukan berbelanja dan bercuti di Genting Highland atau membeli motosikal besar ketika ini untuk membuat hutang baru.
Hakikatnya, ramai lebih suka membelanjakan wang daripada belajar menguruskan wang. Bila dapat wang pergi bercuti dan bila habis wang desak semula bantuan diberikan atas alasan terjejas dengan Covid-19. Pusing-pusing begitu juga lah.
Esok Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi membimbangkan ini. Adakah PKP, PKPD, PKPB, PKPP? Apa pun perintah kawalan pergerakan, ia patut terkawal dan dikawal. Bukan hilang kawalan. – Ahad dah ke?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya