Kakak-kakak saya suka berkebun walaupun halaman rumah tidak luas.Kami lebih suka menanam pohon yang boleh dimakan berbanding pokok perhiasan.
Moringa, kadok, kangkong, belalai gajah, terung pipit membekalkan ulam dan sayuran hijau untuk kami sekeluarga. Juga tumbuh segar pohon-pohon tomato, cili, betik daripada kompos yang kakak hasilkan dengan sisa-sisa dapur. Apa yang menarik, kalau buah, rasanya lebih manis dan enak.
Arwah ayah juga suka berkebun. Sementara ibu membeli-belah di pasar tani, saya dan ayah akan menunggu di gerai Pak Cik Sham sambil memilih anak-anak pokok dan baja.Itulah rutin kami semasa saya kecil kalau ke pasar tani.
STRAWBERI
Suatu hari, saya terpegun melihat pohon-pohon strawberi yang berbuah ranum tersusun rapi di gerainya. Dengan penuh harapan, saya bertanya kepada ibu kalau boleh dibelikan sepohon strawberi. Mungkin kerana strawberi adalah buah kegemaran saya, maka ibu benarkan.
Saya teruja apabila disuruh memilih sendiri pokok untuk dibeli. Saya memilih pohon yang paling banyak buahnya. Dalam perjalanan pulang, saya memeluk pohon strawberi yang saya namakan Strawy.
Melihat kakak-kakak selalu bercakap dengan pohon-pohon mereka, saya turut bercakap dengan Strawy setiap hari. Pernah suatu hari. Kami sekeluarga pulang ke kampung di Kuala Terengganu. Saya bawa sekali Strawy.
Malangnya, pohon kesayangan itu mati, mungkin disebabkan cuaca yang tidak sesuai. Pada usia enam tahun, itulah kehilangan paling besar bagi saya. Namun, saya diajar bahawa begitulah kitaran hidup.
Kemudian ayah menghadiahkan sepohon pokok roselle. Pengalaman menanam roselle amat menyeronokkan kerana saya bukan sahaja boleh memetik bunganya tetapi diajar mendapatkan biji daripada bunga-bunga roselle untuk ditanam.
Aktiviti berkebun umpama mempelajari asas mata pelajaran sains secara praktikal. Ayah dan ibu kami selalu mengajar tentang rantaian makanan, pencemaran, ekosistem dan ekologi daripada pengalaman sehari-hari.
Dalam keadaan sekarang yang memerlukan kita untuk duduk di rumah, berkebun boleh menjadi satu terapi bagi melapangkan minda di samping memberikan hasil tanaman yang segar dan berkhasiat.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










